Home / Berita Terkini / IRONMAN MALAYSIA, LANGKAWI – Kejuaraan Hatrik Buat Riesler

IRONMAN MALAYSIA, LANGKAWI – Kejuaraan Hatrik Buat Riesler

swim-4

 

PETALING JAYA, 21 NOVEMBER – Siri perlumbaan lasak terkemuka, IRONMAN Malaysia edisi 2016 telah berlangsung pada 12 November lalu dengan Langkawi menjadi lokasi pilihan sejak perlumbaan ini kembali ke pulau terkemuka ini pada 2014.

Tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 1,100 peserta yang diwakili dari lebih 63 buah negara. Peserta antarabangsa merangkumi 74% penyertaan tersebut dengan negara seperti Jepun, Filipina, Australia dan Malaysia mencatatkan penyertaan terbesar. 87 % peserta adalah peserta lelaki dan baki 13 % merupakan peserta wanita. Turut menyertai edisi kali ini adalah 48 orang atlet profesional dari 25 buah negara yang bersaing bagi mencatat masa terbaik sekaligus merebut hadiah wang tunai keseluruhan bernilai USD 40,000. Selain itu, 40 slot kelayakan ke Kejuaraan Dunia IRONMAN 2017 di Kailua-Kona, Hawaii turut ditawarkan pada perlumbaan ini.

swim-9

“Mewakili Kementerian Pelancongan dan Kebudyaan Malaysia, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada pemenang dan juga kepada semua peserta IRONMAN Malaysia, Langkawi atas usaha dan semangat luar biasa mereka dalam misi menamatkan perlumbaan. Anda membuktikan tiada apa yang mustahil dalam hidup ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan pujian kepada penganjur, World Endurance Malaysia bersama-sama penaja dan rakan usahasama mereka atas kejayaan penganjuran acara ini dalam mengumpulkan atlet, penggemar acara kecergasan serta rakan-rakan, keluarga dan penyokong mereka untuk menyaksikan acara yang penuh gemilang ini” kata Datuk Zulkefli Haji Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB.

immy-2016_bike-1

“Kami berharap semua yang hadir ini gembira sambil menikmati keindahan Pulau Langkawi – baik kecantikan pantai dengan pasir yang putih mahupun kehebatan hutan geoforest sepanjang keberadaan anda di sini dengan harapan ia akan menjadi memori terindah selepas anda semua pulang ke rumah masig-masing. Besar harapan kami agar anda akan kembali semula untuk meneroka lagi Malaysia, Truly Asia” tambahnya.

pro-male-champion-fredrik-croneborg-swe-claims-his-first-ironman-victory-in-langkawi

Fredrik Croneborg dari Sweden berjaya mendapatkan kejayaan sulung IRONMAN beliau walaupun berdepan cabaran sengit pencabar lain serta sesi latihan yang terhad disebabkan kecederaan dan juga kelahiran anak sulungnya. Pada tahun 2014 dan 2015, Croneborg sekadar berpuashati di tempat kedua. Kali ini, beliau mencatatkan catatan 8:39:11 sekaligus mengetepikan cabaran sengit dari peserta Brazil, Thiago Vinhal, di tangga kedua serta peserta yang mencatatkan masa terpantas dalam disiplin larian iaitu Kaito Tohara dari Jepun di tempat ketiga.

Mengulas mengenai kemenangannya, Croneborg berkata, “Satu perasaan yang menakjubkan. Ada banyak sebab kejayaan ini cukup manis. Ia adalah gelaran juara IRONMAN pertama buat saya selepas dua kali berada di tempat kedua. Ia perlumbaan yang cukup sengit sehingga ke penamat larian. Persiapan saya juga tidak berapa lengkap. Apabila kesemua faktor ini digabungkan ditambah pula tekanan sebelum perlumbaan, sememangnya satu perkara yang menakjubkan untuk menang. Saya dapat rasakan sokongan padu dari penonton dan juga peserta lain. Jelas, ini perlumbaan kegemaran saya.

pro-female-champion-diana-riesler-ger-claims-her-third-consecutive-victory

Bagi kategori wanita, rekod baharu telah dicipta oleh Diana Riesler selepas peserta Jerman ini memenangi gelaran IRONMAN Malaysia, Langkawi buat kali ketiga berturut-turut walaupun terkebelakang ketika disiplin renang namun bangkit pada disiplin berbasikal dan larian. Riesler menghabiskan perlumbaan yang dibasahi dengan hujan itu dengan catatan 9:25:34 dketika melintasi garisan penamat di Pantai Cenang.

“Saya rasa saya ketinggalan dan berada di tempat ketiga ketika berenang sebelum menjadi pendahulu selepas 30km di disiplin berbasikal. Bermula dari itu, saya kekal fokus untuk terus berada di hadapan. Saya cukup gembira untuk kembali ke Malaysia dan memenangi perlumbaan ini. Saya telah memenanginya sebanyak 3 kali jadi sudah tentu, IRONMAN Malaysia merupakan perlumbaan kegemaran saya” kata Riesler.

“Perlumbaan hari ini satu perlumbaan yang menakjubkan. Cuaca memihak kepada kami ketika disiplin renang.

Para peserta juga menampilkan aksi yang cukup bertenaga. Mereka harus berbangga dengan diri mereka atas kejayaan ini” jelas pengarah perlumbaan dan Pengurus Operasi IRONMAN Asia, Carl Smith.

Antara nama-nama terkenal yang menamatkan perlumbaan kali ini ialah duta pertama IRONMAN Asia, Rupert Chen (10:31:29), Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Dato’ Razlan Razali (16:14:44) dan Ketua Pegawai Eksekutif iflix, Azran Osman Rani (13:31:49).

Beberapa atlet terkemuka dari semua kategori menerima slot kelayakan Kejuaraan Dunia IRONMAN dalam satu majlis penutup yang diadakan pada 13 November. Kejuaraan Dunia IRONMAN 2017 akan diadakan pada 14 Oktober 2017 di Pulau Besar, Kailua-Kona, Hawaii. Antara yang menerima salah satu slot dari 40 yang ditawarkan ini ialah Yoshihito Munemasa, 70 tahun. Munemasa berlumba dalam kategori 70-74 tahun dengan catatan 13:53:09. Beliau pernah berlumba di Kona sebanyak 6 kali. Ini kali pertama beliau layak menerusi kelayakan di IRONMAN Malaysia selepas 15 tahun.

mohd-amran-abdul-ghani_best-malaysian-male-2

Kesemua pemenang dari semua kategori menerima trofi mereka dalam satu majlis makan malam dan penganugerahan yang diadakan di Meritus Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi.  Ahli bomba, Amran Abdul Ghani yang merupakan atlet terbaik lelaki Malaysia pada tahun 2014 kembali merampas gelaran tersebut tahun ini dengan catatan 10:09:04. Mei See Chin pula sekali lagi muncul Atlet Terbaik Wanita Malaysia dengan catatan 12:02:27, memperbaiki catatan 12:53:28 yang dibuat tahun lalu.

mei-see-chin-best-malaysian-female

Geoff Meyer, Pengarah Urusan IRONMAN Asia dalam ucapannya berkata, “Kami ingin mengucapkan tahniah buat para pemenang – Fredrik Croneborg dan Diana Riesler serta kepada semua yang menyertai perlumbaan tahun ini. Anda semua menggambarkan erti sebenar IRONMAN – kekuatan, keinginan dan ketabahan anda adalah satu inspirasi untuk kami semua dan ia merupakan perlumbaan yang menakjubkan. Ironman telah mendapat sokongan hebat dari komuniti triathlon serta para penaja dan rakan usahasama kami sepanjang tahun ini. Masyarakat Langkawi juga sama-sama menjayakan acara ini sekaligus menjadikannya antara perlumbaan terbaik di dunia.

Veteran IRONMAN Malaysia, Yee Sze Mun, 79 tahun turut melancarkan bukunya yang bertajuk “The Bumble Bee in me – Living the IRONMAN Dream” pada minggu perlumbaan tempoh hari. Buku tersebut mengisahkan kehidupannya sebagai seorang atlet IRONMAN walaupun hanya mula menamatkan marathon pertamanya pada usia 50 dan triathlon pertama pada usia 52.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia di Hawaii sebanyak 6 kali. “IRONMAN membentuk diri saya. Mengejar impian ini untuk tempoh 21 tahun telah membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih baik dari segi fizikal dan mental serta dalam setiap aspek kehidupan. Saya berharap buku ini dapat memberi inspirasi kepada semua yang ingin bergelar IRONMAN dan seterusnya menjadi seorang insan yang lebih baik.

ironkids-4

IRONKIDS yang dilangsungkan pada 11 November lalu menyaksikan penyertaan 200 orang kanak-kanak dari umur 5 hingga 13 tahun. Mereka berlari sejauh 500m atau 1km sepanjang Pantai Cenang – berkongsi gerbang penamat yang sama dengan peserta IRONMAN. IRONMAN Malaysia memperkenalkan IRONKIDS pada 2015 untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada golongan kanak-kanak selain memberi peluang buat mereka merasai pengalaman sama melepasi lintasi penamat di Meritus Pelangi Beach Resort & Spa.

Ekspo perlumbaan yang diadakan pada 9 hingga 13 November pula menghimpunkan jualan dari pelbagai pempamer barangan dan servis sukan serta gaya hidup selain barangan cenderahati rasmi IRONMAN. Turut dijual disini ialah buku penulisan Yee Sze Mun.

IRONMAN Malaysia Langkawi 2016 2016 telah disokong oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Malaysia Major Events, Malaysia Year of Festivals 2016, Kerajaan Negeri Kedah, Langkawi Development Authority (LADA), Naturally Langkawi, Discover Kedah 2016, The Danna Langkawi, Meritus Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi, Active, Brooks, Compressport, PowerBar, FinisherPix, Triathlon Association of Malaysia, Zoot dan LILA.

Maklumat lanjut boleh dilayari di www.IRONMANMalaysia.com.

Check Also

SHOKZ Lancar Fon Kepala OPENRUN PRO2 dengan Teknologi DualPitch™

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, Malaysia, 23 September 2024 – Jenama elektronik pengguna terkemuka …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!