Home / Artikel Menarik / Interviu: Leo Tan – Pelari Marathon Terpantas Malaysia

Interviu: Leo Tan – Pelari Marathon Terpantas Malaysia

Leo_Tan_Huong_Leong_002

Tan Huong Leong atau lebih mesra dengan panggilan Leo, kini secara rasminya bergelar pelari marathon terpantas Malaysia setelah rekod catatan masanya, 2:28:19 di Tokyo Marathon telah diiktiraf oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (MAF) sebagai rekod kebangsaan. Pelari yang berusia 29 tahun ini kini bekerja dan menetap di Taiwan. Selain daripada berlari, Leo suka meluangkan masa untuk mendengar muzik dan menonton wayang.

Leo pada memulakan perjalanannya dalan sukan larian dalam tahun 2008 secara suka-suka. Dengan minat yang mendalam dan latihan yang tidak mengenal penat lelah, kini beliau berjaya mendapatkan slot untuk mewakili negara dalam acara marathon di Sukan SEA pada 19 Ogos ini, bersama seorang lagi pelari hebat, Muhaizar Mohamad.

Dalam kepulangannya ke tanahair untuk Sukan SEA, Leo Tan sempat meluangkan masa untuk berbicara dengan #jomkitalari tentang pengalamannya memecahkan rekod kebangsaan untuk acara marathon. Jom kita baca…

Apakah perasaan apabila kamu sekarang diiktiraf sebagai pelari marathon terpantas Malaysia?
Saya amat merasa bangga apabila rekod yang saya capai di Tokyo Marathon pada 26 Februari lalu diiktiraf sebaga rekod kebangsaan oleh MAF.

Bagaimanakah kamu mula berlari?
Pada mulanya, saya berlari untuk suka-suka dan kesihatan sahaja. Ketika saya melanjutkan pelajaran ke universiti di Taiwan, saya berlatih berperingkat-peringkat untuk 5K, 10K, 21K dan seterusnya jarak marathon.

Apakah marathon pertama kamu?
Marathon pertama saya adalah Sheng Gang Dong Nang Cup National Marathon (2013神岗东南杯全国马拉松)dalam tahun 2013. Saya dah tak berapa ingat tentang pengalaman saya di marathon tersebut. Yang saya ingat, saya tak pernah merasa sebegitu penat dalam hidup saya selepas menamatkan marathon pertama itu.

Leo_Tan_Huong_Leong_003

Kamu telah memecahkan rekod kebangsaan di Tokyo Marathon tahun ini. Cuba ceritakan persiapan dan pengalaman kamu untuk acara tersebut?

Ya, sebenarnya sasaran awal saya adalah untuk mendapatkan kelayakan masa untuk Sukan SEA. Saya tidak menjangka yang saya dapat memecahkan rekod kebangsaan.

Pelan untuk Tokyo Marathon dimulakan selepas saya menamatkan Taipei Marathon di bulan Disember 2016 di mana saya mencatatkan masa 2jam dan 35minit. Saya beritahu jurulatih tentang hasrat saya untuk menamatkan Tokyo Marathon dalam masa sekitar 2:28. Dia berpendapat hasrat saya terlalu tinggi dan secara optimis, saya patut letakkan sasaran di sekitar 2:33. Bagaimananpun, jurulatih saya masih memberikan dorongan yang kuat dan mengubahsuai jadual latihan saya.

Secara ringkasnya, jarak latihan dalam kedua-dua LSD dan lactate-threshold pace run dikurangkan tetapi average pace untuk T-pace run dipercepatkan. Selain daripada itu, saya membuat latihan mental secara bersendirian, cuba untuk meyakinkan subconcious yang saya mampu berlari 2:28.

Sebagai pelan sandaran sekiranya misi saya gagal di Tokyo Marathon, saya mengambil bahagian dalam Kaohsiung Marathon dengan catatan masa 2h33’ dua minggu sebelum ke Tokyo. Keyakinan saya turut bertambah apabila saya mendapat catatan peribadi terbaik (PB) dalam perlumbaan trek 5K dalam masa 15’46” seminggu sebelum Tokyo Marathon.

Saya tiba di Jepun dua hari sebelum perlumbaan. Selepas daftar masuk ke hotel, saya keluar untuk membuat larian santai. Mungkin badan saya masih belum lagi menyesuaikan diri dengan cuaca Tokyo, saya merasa kejang di betis kiri. Selepas itu saya pergi ke ekso untuk mengambil bib dan mengunjungi beberapa booth termasuk Phiten untuk mendapatkan pita kinesiologi. Selepas mandi saya merawat otot-otot kaki dengan foam roller, melekatkan pita kinesiologi dan masuk tidur.

Saya tidak dapat tidur lena pada malam itu. Mungkin saya terlalu cemas memikirkan perlumbaan besar itu. Saya bangun pada jam 6 pagi dan bersarapan pada masa yang lebih awal dari yang dijadualkan.
Dalam perjalanan ke zon permulaan, subway dan jalan raya dipenuhi dengan pelari marathoner. Saya merasa bimbang andainya saya sesat. Dengan bantuan pelari-pelari marathon yang lain, saya dapat mencari jalan ke pintu masuk ke zon permulaan yang telah ditetapkan.

Selepas pemeriksaan keselamatan, saya membuat senaman memanaskan badan dan meletakkan bagasi di tempat yang disediakan. Tiga puluh minit sebelum permulaan, saya masuk ke kawasan permulaan untuk mendapatkan tempat yang ideal. Saya berada di barisan ketiga dalam blok permulaan A di mana saya terlihat pelari-pelari marathon yang terkenal seperti Wilson Kipsang, Sara Hall dan Arata Fujiwara (wakil Jepun ke Olimpik sebanyak dua kali).

Pada mulanya, saya cuba merancang untuk mengikuti pace Sara Hall. Setelah perlepasan, saya mengekori 200m di belakang Sara. Disebabkan kecerunan yang menurun, pace peloton besar adalah sekitar 3’20/km. Walaupun dengan pace yang agak laju dari saya jangkakan, saya tidak dapat memperlahankan diri dalam kumpulan yang besar tersebut. Kami melepasi tanda 10 km dalam masa 34 minit dan keadaan saya masih lagi baik.

Dalam pelan supplemen, saya merancang untuk mengambil separuh porsi gel tenaga setiap 10km dan minum di hentian minuman. Semuanya berjalan lancar. Peloton semakin mengecil selepas tanda separuh marathon, catatan masa saya sekitar 73~74 minit.

Laluan dari 20km sehingga 25km adalah agak medatar dan pace saya menurun ke 3’30/km. Saya mula merasa ketidakselesaan di betis kiri seperti mana yang telah dialami sebelum ini. Saya cuba untuk menumpukan perhatian kepada pergerakan tangan (arm swing) dan melupakan kekejangan di betis.

Pada masa itu saya teringat akan slogan dari video promosi Taipei Summer Universiade yang berbunyi, “Walaupun impian yang besar akan membawa kamu pergi jauh tapi kali ini, marilah kita berjuang di tempat asal sendiri.”

Saya mula berlari selepas saya berhijrah ke Taiwan. Bagi saya, semua perlumbaan yang saya sertai adalah perlumbaan “overseas”. Sebab utama saya menyertai Tokyo Marathon adalah untuk berjuang bagi mewakili negara saya Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti. Maka, saya harus berjuang!

Orang kata marathon bermula apabila melepasi tanda 30km. Peloton saya bersurai selepas 35km dan saya terpaksa mengekalkan pace saya bersendirian. Dalam 4km yang terakhir, pace saya adalah sekitar 3’40/km.

Oleh kerana, ini adalah fasa terakhir larian, maka saya lupakan tentang masa di jam tangan dan fokus untuk berlari dengan segala kudrat yang ada.

Setelah melepasi garisan penamat, saya memandang ke arah jam yang memaparkan 2jam 28minit. Saya hampir tidak percaya! Ia bagaikan sebuah mimpi! Saya pasti yang saya telah berjaya apabila masa di jam tangan saya adalah sama dengan jam rasmi.

Leo_Tan_Huong_Leong_001

Apakah regim latihan kamu untuk perlumbaan yang utama seperti Sukan SEA Games?
Untuk Sukan SEA saya mengubahsuai jadual latihan asal saya (2 x interval & 1 x 16km tempo run setiap minggu) ke menu latihan baru (2 x 16km tempo run, 1 x interval setiap minggu). Saya juga menjalani latihan di bawah cuaca yang panas.

Apakah harapan kamu untuk Sukan SEA?
Saya berharap saya dan Muhaizar dapat mengharumkan nama Malaysia dengan membawa pulang pingat yang belum pernah dimenangi oleh Malaysia sebelum ini.

Apakah kata-kata semangat paling digemari?
Go hard or go home. No shortcut!

Apakah nasihat kamu untuk pembaca #jomkitalari?
Believe in yourself. Discipline yourself. Train smart but don’t be greedy.

#JOMKITALARI
Foto Ihsan: Tey Eng Tiong.

Check Also

Bawa Prestasi Larian Anda Ke Tahap Seterusnya Dengan Kasut Plat Karbon BMAI JING TAN FLY

Share this on WhatsApp Sejak pelancarannya pada 2014, BMAI, jenama kasut Cina yang ditransliterasi daripada …

One comment

  1. This page is good for my life…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!