
Putrajaya, 18 Mei 2026 – Acara PERKESO Run & Ride 2026 hari ini mencatatkan kejayaan luar biasa apabila lebih 12,000 peserta membanjiri Dataran Wawasan, Putrajaya, sejak awal pagi. Suasana penuh keterujaan jelas kelihatan apabila peserta mula berkumpul seawal subuh, dengan pelbagai lapisan masyarakat hadir bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti masing-masing untuk menikmati hujung minggu yang sihat dan positif.

Edisi 2026 menampilkan kategori larian sejauh 3KM, 6KM dan 12KM sebagai teras utama, di samping kategori berbasikal sejauh 35KM.

Penglibatan aktif peserta berusia antara 40 hingga 50 tahun, yang melebihi 30 peratus daripada keseluruhan penyertaan, jelas membuktikan bahawa kesihatan tidak mengenal batas usia. Lebih menyentuh hati, semangat kental komuniti OKU yang turut serta menjadikan penganjuran tahun ini benar-benar istimewa serta penuh inspirasi.

Lebih istimewa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERKESO, Dr. Azmin turut menyertai dan menamatkan acara larian 6KM bersama para peserta, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan sokongan terhadap gaya hidup sihat.

Cuaca yang baik sepanjang pagi menjadikan suasana lebih meriah, dengan peserta menikmati aktiviti bersama keluarga dan komuniti. Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menyaksikan ramai peserta membawa pulang hadiah menarik, termasuk sebuah kereta Proton Saga.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri KESUMA, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, dengan kehadiran barisan kepimpinan termasuk Dr. Shaharin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) KESUMA yang menanggung tugas Ketua Setiausaha KESUMA; Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan; Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA; Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO; Dr. Helmy Nadine Haja Mydin, Pengerusi Lembaga Pusat Rehabilitasi PERKESO; serta YBhg. Dato’ Haji Mohd Sakeri Abdul Kadir, Presiden Perbadanan Putrajaya.

PERKESO Run & Ride 2026 sekali lagi membuktikan bahawa aktiviti sukan komuniti bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan.
