Home / Berita Terkini / KLSCM 2026: Pelari Kenya, Ezekiel Kemboi Ungguli Marathon Penuh

KLSCM 2026: Pelari Kenya, Ezekiel Kemboi Ungguli Marathon Penuh

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2026 – Edisi ke-18 Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan meriah di Dataran Merdeka, menghimpunkan seramai 43,800 peserta dari 53 negara yang membanjiri jalan-jalan utama ibu kota.

Ezekiel Kemboi

Dominasi Sengit Kategori Marathon Penuh

Kategori Marathon Penuh dan Separuh Marathon yang berlangsung hari ini menyaksikan aksi sengit membabitkan pelari-pelari elit. Gelaran juara Terbuka Lelaki Marathon Penuh dikuasai pelari Kenya apabila Ezekiel Kemboi berjaya mengejar juara bertahan, John Nzau Mwangangi, di garisan penamat untuk merangkul hadiah wang tunai AS$15,000 (RM61,065.00). Kemboi mencatatkan masa 02:21:19, manakala Mwangangi di tempat kedua (02:21:27) dan Moses Kibet Kipsang ketiga (02:21:32).

Ezekiel Kemboi (tengah) Juara Terbuka Lelaki Marathon Penuh

Bagi kategori Terbuka Wanita, gelaran juara menjadi milik Alemitu Ajema Lema dari Ethiopia (02:39:29), diikuti Lucy Nthenya Ndambuki dari Kenya di tempat kedua (02:39:59) dan rakan senegaranya, Caroline Cheptonui Kilel, di tempat ketiga (02:40:17).

Alemitu Ajema Lema dari Ethiopia (tengah) Juara Kategori Terbuka Wanita Marathon Penuh

Semua mata turut tertumpu kepada kategori Marathon Penuh Malaysia yang menjadi medan penting pemilihan awal rasmi Sukan SEA 2027. Yeow Ni Jia menamatkan lariannya dengan catatan rekod peribadi baharu 02:33:52 untuk dinobatkan sebagai juara kategori tempatan. Lai Yi Hng menyusul di tempat kedua (02:34:16), manakala pemegang rekod kebangsaan, Tan Huong Leong, di tempat ketiga (02:39:17).

Dari kiri: Tan Huong Leong (tempat ketiga), Yeow Ni Jia (juara) & Lai Yi Hng (naib juara) dalam kategori Marathon Penuh Malaysia

Dalam kategori Wanita Malaysia pula, Esther Joy Chen Hong Li melakar kejutan apabila merangkul gelaran juara pada penampilan sulung marathon penuh dengan masa 03:05:22. Tempat kedua disandang Elaine Koon (03:12:43) dan Lai Wei Ling ketiga (03:14:37).

Aksi Separuh Marathon & Kategori 10km (Hari Pertama)

Hari kedua turut meriah dengan aksi Separuh Marathon ASICS yang disertai ribuan peserta. Pelepasan larian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

Sementara itu, hari pertama perlumbaan menyaksikan lebih 9,800 pelari beraksi dalam kategori IHH 10km dan lebih 3,500 peserta dalam kategori 5km di Dataran Merdeka. Kategori 5km turut menyerlahkan suasana santai apabila sebahagian peserta tampil berbusana kreatif termasuk kostum Tyrannosaurus Rex dan karakter animasi.

Impak Komuniti dan Misi Amal RFAR

Selain aspek perlumbaan, KLSCM 2026 terus utuh sebagai platform perpaduan komuniti apabila program amal Run For A Reason (RFAR) berjaya mengutip sumbangan melebihi RM1.1 juta. Dana ini disalurkan kepada badan amal rasmi termasuk Yayasan Standard Chartered, Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen, Teach for Malaysia, serta penyertaan baharu Yayasan Jantung Kongenital Malaysia.

Penganjuran bertaraf dunia ini terus mengharumkan nama negara apabila mengekalkan pengiktirafan berprestij World Athletics Elite Label. Kejayaan kejohanan ini disokong rakan penaja utama Standard Chartered Malaysia, penaja Emas ASICS dan IHH Healthcare, serta pelbagai rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di bawah penganjuran rasmi Dirigo Events.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari laman web rasmi KLSCM di www.kl-marathon.com/ atau ikuti halaman media sosial

Check Also

Lotus’s Ceria Charity Run 2026 Berjaya Mengumpul Rekod RM500,000

Share this on WhatsApp Ara Damansara, 28 September 2026 – Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!