Sukacita dimaklumkan bahawa Capsters, jenama hijab sukan pertama di dunia, kini telah diambil alih oleh syarikat Malaysia.
Pereka Belanda, Cindy van den Bremen, telah menghasilkan hijab sukan pertama pada tahun 1999 sewaktu masih di kolej. Ia bermula dengan suatu kes murid di Belanda yang tidak dibenarkan bersukan menggunakan hijab yang dikatakan tidak selamat. Atas perasaan kasihan, Cindy telah merekabentuk suatu hijab khas yang menggunakan fabrik yang sesuai dan tidak berpin untuk tesis akademik beliau di Design Academy Eindhoven. Ini telah mendapat perhatian ramai dan pesanan khas mula masuk dari serata dunia. Pengkomersilan bermula pada tahun 2001 dengan lahirnya jenama Capsters.
Pengiktirafan Dunia
Capsters telah memenangi Good Design Award di Jepun pada tahun 2002 dan dipamerkan sebagai koleksi tetap di Museum of Modern Art (MoMA), New York semenjak 2005. Pada tahun 2012, Capsters telah berkolaborasi bersama Putera Jordan, Ali bin Al Hussein, untuk membatalkan larangan hijab oleh FIFA. Capsters Football telah direkabentuk khas dan diiktiraf oleh FIFA. Empat tahun selepas itu, Capsters telah bersama-sama menyokong usaha atlet bola keranjang professional seperti Indira Kajlo dan Asma el Badawi untuk FIBA menamatkan larangan hijab. Produk hijab sukan Capsters kini dijual di 16 negara seluruh dunia termasuk di Eropah, Asia Tenggara, Amerika Utara, Afrika dan Australia.
Pengambilalihan oleh Syarikat Malaysia
Pasaran hijab sukan dijangka akan terus berkembang bersama dengan kesedaran akan pentingnya cara hidup sihat. Jenama Capsters dimiliki oleh Innovacia Sdn Bhd mulai penghujung tahun 2019. Melalui pengambilalihan oleh suatu syarikat berteraskan teknologi, adalah menjadi harapan agar Capsters dapat terus menghasilkan produk inovatif dan berkembang menjadi suatu jenama Malaysia bertaraf global.
Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Laman Web: https://www.capsters.my/
Facebook: https://www.facebook.com/capsters/
Instagram: https://www.instagram.com/capsters/