Nama aku Muizz. Aku suka berlari. Aku adalah anak sulung di dalam keluarga dan aku mempunyai seorang adik yang dilahirkan dengan kecatatan genetik, sindrom 48XXYY. Ini adalah kisah bagaimana adik aku membantu aku mencapai rekod peribadi terbaik dalam larian Saucony 30km .
Sebagai abang kepada seseorang yang mempunyai Sindrom 48XXYY Syndrome, aku diuji dengan pelbagai cabaran. Individu dengan konsidi ini adalah lebih agresif, dengan perbezaan kelakuan dan intelek dengan insan normal.
Lazimnya dia merasa gembira apabila bersama ahli-ahli keluarga yang lain, tetapi suka mengambil kesempatan apabila berseorangan di bawah jagaan ibubapa aku. Kerenah adik bertambah-tambah apabila hanya ditemani oleh kedua ibubapa aku. Ini membuatkan kami adik-beradik terpaksa berada di sampingnya setiap masa kerana “mood-swing”nya memang tidak dapat dijangkakan.
Aku tidak mempunyai kebebasan seperti orang lain untuk melakukan aktiviti kegemaran aku iaitu berlari. Aku hanya boleh keluar berlari apabila ada orang yang menjaga adik aku. Laluan larian biasa aku adalah di trek Universiti Islam Antarabangsa atau di sekitar LHDN, Jalan Duta, bergantung kepada situasi.
Walaupun sudah hampir setahun aku berlari, aku rasa tidak ada kemajuan dalam prestasi aku. Rekod peribadi terbaik untuk larian 21km aku masih di takuk lama – 2 jam 25 min dan sukar bagai aku untuk memperbaharuinya. Aku sedar aku tidak cukup mileage jika dibandingkan dengan pelari lain. Tetapi itu tidak dapat menghalang aku dari terus berlari.
Aku merasa amat teruja apabila mendapat tahu pendaftaran Saucony Run 30km 2018 telah dibuka. Ia adalah larian 30km pertama dalam hidup aku!
Dua bulan sebelum larian, aku merasa agak cuak melihat persiapan pelari-pelari yang lain, sedangkan aku masih “struggle” untuk mendapatkan mileage.
Adik aku pintar sebenarnya. Dia tahu aku keluar rumah senyap-senyap untuk berlari. Dan pada masa itulah dia membuat kerenah yang menjadi-jadi. Jangan salah sangka, adik aku adalah budak yang baik. Tetapi fungsi otaknya agak berbeza dengan orang yang lain. Dia berkelakuan baik bila kami ada tetapi berubah menjadi “taiko” jika dibiarkan berseorangan dengan ibubapa kami.
Dengan kerenahnya tersebut, aku terpaksa menukar laluan larian ke sekitar tempat tinggal aku di mana jarak satu pusingan hanya 625m. Aku melalui depan rumah setiap 3-4 minit. Jika ada apa-apa masalah, Baba atau Ummi akan menunggu di depan pintu rumah.
Aku tidak mempunyai pilihan lain lagi untuk membuat persiapan bagi Saucony Run 30km. Maka, berlarilah aku mengelilingi kawasan perumahan. Setiap sesi latihan hanya akan bertahan kira-kira 30 minit. Kalau mood adik aku baik, aku dapat meneruskan larian untuk satu jam. Aku merasa sukar untuk mendapatkan sasaran 70km seminggu yang aku rencanakan.
Dalam latihan, aku menumpukan perhatian kepada postur atau gerak gaya larian dengan menggunakan teknik larian yang betul. Memandangkan laluan larian aku agak berbukit, sesi latihan aku adalah lebih mencabar. Apabila aku tidak berpeluang untuk keluar berlari, aku akan melakukan senaman kekuatan teras (core strength) seperti planking dan tekan tubi.
Beberapa minggu menjelang Saucony Run, mileage aku masih tidak mencecah sasaran, hanya 30km seminggu – satu jumlah yang sangat kecil berbanding dengan persiapan untuk 21km sebelum ini. Tetapi aku sudah lakukan apa yang aku mampu.
Pada hari perlumbaan, aku merasa teruja tetapi gusar. Adakah aku dapat menamatkan larian dengan baik?
Sejurus pelari-pelari 30km dilepaskan pada jam 5 pagi, aku mulakan larian dengan perlahan. Aku berhenti seketika di km-11 untuk solat Subut dan meneruskan larian sehingga km-23 di mana aku berhenti kepenatan. Dengan perlahan aku teruskan tetapi aku berhenti lagi di stesen minuman di km-25.
Dengan segala kudrat yang ada, aku cuba terus melangkah ke depan. Aku tahu jika aku berhenti lagi, aku mungkin tidak dapat menamatkan larian. Aku tidak mahu membuang masa lagi!
Alangkah gembiranya aku apabila dapat melepasi garisan penamat! Tidak disangka juga, aku dapat mencantas 10 minit dari rekod peribadi terbaik sebelum ini untuk 21.1km. Aku rasa amat bersyukur dengan catatan masa 2jam 15 minit untuk 21.1km dan 3 jam 28 minit untuk 30km.
Rasa berbaloi dapat membuat latihan pusing-pusing kawasan perumahan yang berbukit tanpa berjauhan dengan adik aku. Mungkin dia tidak mengerti akan semua pengorbanan yang aku lakukan untuknya. Segalanya aku lakukan kerana aku amat sayang padanya. Tapi kalau bukan sebab kerenahnya, mungkin aku tidak akan mendapat rekod peribadi yang baru!
Hari itu, aku mendapat suatu pengajaran yang amat bernilai. Dalam larian, kualiti latihan adalah lebih penting daripada kuantiti. Menurut kata-kata mutiara Abigail Adams – “Learning is not attained by chance, it must be sought with ardor and diligence.”
Jika tidak kerana adik aku, mungkin aku tidak dapat memecahkan rekod peribadi aku untuk 21km dan menamatkan 30km di bawah 3:30.
Dalam hidup, kita perlu berusaha tak kira apa halangan yang melanda.
When life gives you lemons, you make the best ever lemonade!
42.2km, aku datang!
Sumber: Sila berikan LIKE kepada Muizz di sini => https://www.facebook.com/abdulmuizz13/posts/2168494736496516