Pulau Pinang, 18 Dec 2016 – Edisi pertama OSIM Sundown Marathon Penang berjaya meletakkan satu penanda aras yang tinggi sebagai acara luar pertama buat larian ikonik malam dari Singapura ini selepas berjaya menarik penyertaan lebih dari 2,600 orang peserta.
Pulau Pinang telah mengalu – alukan lebih daripada 500 orang peserta antarabangsa dari Singapura, Kenya, China, Indonesia dan Filipina dalam acara tersebut yang turut memberi komuniti larian di Pulau Pinang untuk berlari bersama-sama. Tema “Sleep Can Wait” mencabar para peserta untuk mengorbankan waktu tidur mereka dengan berlari sepanjang malam sambil menikmati keindahan Pulau Pinang pada waktu malam.
Acara Half Marathon 21.1km, 10 km dan Fun Run 5km masing-masing dilepaskan mengikut urutan bermula pada jam 12.01 pagi, 12.05 pagi dan 12.10 pagi. Peserta-peserta yang mahu menamatkan larian mengikut masa yang telah ditetapkan akan dibantu dengan kehadiran ‘pacers’. Mereka dapat dikenalpasti melalui belon helium yang diikat pada badan mereka.
Para penyokong dan peserta yang telah menamatkan larian kemudiannya akan turut serta bersama pengunjung-pengunjung yang lain di Race Village yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti persembahan kugiran Shades of Dreams serta tayangan filem blokbluster seperti Transformers: Age of Extinction.
“Kami sangat berpuas hati selepas melihat acara OSIM Sundown Marathon Singapore berevolusi sehingga menjadi salah satu acara sukan yang terkemuka di rantau Asia. Kami telah membuat perancangan hampir 7 tahun bagi merealisasikan perkara ini dan pada hari ini, kami boleh berbangga dengan apa yang telah dicapai di Pulau Pinang. Ia menjadi satu lembaran baru buat kami dan pastinya ia akan menjadi sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang” kata Adrian Mok, Pengarah Urusan HiVelocity Events Pte Ltd, penganjur OSIM Sundown Marathon Penang.
John Cheong, Pengarah Pemasaran OSIM yang melakukan acara pelepasan peserta-peserta berkata; “Kami sangat gembira melihat peserta-peserta menikmati larian sepanjang malam. Semangat mereka sama seperti apa yang kami harapkan iaitu sentiasa mencabar kemampuan diri untuk menghasilkan keputusan yang terbaik. Mereka telah mengharungi cabaran yang berliku seperti mengorbankan waktu tidur, berlari sepanjang malam dan bermacam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga buat mereka yang baru menjinakkan diri dengan acara larian. Ini satu permulaan yang positif bagi diri mereka dalam menjalani gaya hidup sihat. Kami di OSIM mempunyai satu matlamat iaitu memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Dalam masa yang sama, kami juga mahu membantu mengembangkan lagi aktiviti-aktiviti larian di dalam Malaysia dengan kemampuan yang kami ada.
Catatan terbaik peserta tempatan untuk acara Maraton Separuh lelaki dicatat Ow Yong Jin Kuang dengan masa 01:22:27, berada di tempat keempat keseluruhan di belakang kesemua pemenang podium dari Afrika iaitu Charels Munyua (pertama), Biwott Justus Kipruto (kedua) dan Kiptoo Joackim Kemboi (ketiga).
“Perlumbaan malam ini sangat berbeza dengan larian-larian yang biasa saya sertai di Pulau Pinang. Tapak acara penuh dengan aktiviti-aktiviti menarik dan mudah diakses untuk peserta serta pengunjung. Ia antara acara larian yang menyeronokkan dan saya pasti akan sertai lagi Sundown Marathon Penang pada masa akan datang” kata Ow Yong Jin Kuang.
Sementara itu, Yee Pei Ni muncul peserta wanita tempatan terbaik dalam kategori Maraton Separuh menerusi catatan 01:40:23 sekaligus muncul naib juara di belakang pemenang, Towett Cynthia Chelangat.
“Satu pengalaman yang cukup menyeronokkan berlumba dalam larian ini. Laluan perlumbaan agak mudah untuk saya berlari mengikut rentak saya. Penganjur memberi layanan yang cukup baik dan mesra sepanjang larian termasuk di tapak acara. Senaman zumba sebelum larian benar-benar membantu peserta untuk bersedia berlari sementara persembahan kugiran membuatkan kami sentiasa bersemangat untuk meneruskan larian. Ia satu pengalaman yang hebat untuk menyertai OSIM Sundown Marathon yang pertama kali diadakan di Pulau Pinang ini” jelas Yee Pei Ni.