Kuala Lumpur, 20 Mac 2017 – Bina Darulaman Berhad (BDB) hari ini melancarkan edisi kedua BDB Triple Challenge dengan dirasmikan oleh Yang Berhormat Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Masih mengekalkan konsep tiga acara seperti tahun lepas, penganjuran pada tahun ini menampilkan tiga acara iaitu BDB Climb & Run Langkawi (22 April 2017), BDB Extreme Jitra (23 September 2017) dan pengenalan acara baharu BDB Rafting Kulim, (18 November 2017) menggantikan acara marathon yang menutup tirai kalendar BDB Triple Challenge pada tahun lepas.
BDB Triple Challenge juga masih mengekalkan matlamat penganjurannya dalam menarik penyertaan penggiat-penggiat sukan larian, sukan ekstrim dan sukan air di samping memberi peluang kepada para peserta tempatan dan antarabangsa untuk merasai sendiri keindahan panorama di sekitar Kedah selain turut serta di dalam acara yang dianjurkan.
Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin berucap pada majlis hari ini berkata, “BDB dikenali sebagai penaja utama pasukan bola sepak Kedah, iaitu merupakan pasukan kegemaran saya sejak dari kecil lagi dan saya berbesar hati untuk hadir di dalam satu lagi inisiatif BDB yang unik pada hari ini.
“Penganjuran acara-acara ini akan mempromosikan gaya hidup sihat dan sukan di peringkat tempatan dan juga akan membantu Kedah sebagai destinasi pelancongan dan sukan ekstrim yang menawarkan pelbagai tarikan,” beliau menambah.
BDB Triple Challenge 2017 merupakan gabungan tiga acara yang dianjurkan oleh Bina Darulaman Berhad (BDB). BDB Climb & Run Langkawi akan membuka tirainya pada 22 April 2017, akan memberi peluang kepada peserta untuk menawan puncak tertinggi di Pulau Langkawi. Acara kedua iaitu BDB Extreme Jitra akan berlangsung pada 23 September di Tasik Darulaman menampilkan cabaran-cabaran berhalangan. Acara baharu, BDB Rafting Kulim akan menutup tirai kalendar tahun ini pada 18 November di Sungai Sedim, Kulim.
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Dato’ Izham Yusoff dipetik berkata, “Hari ini merupakan hari yang istimewa buat BDB kerana kami teruja dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin yang sudi merasmikan acara pada hari ini, sekaligus memberi nilai tambah kepada penganjurannya.
“Bermula dengan edisi kedua, kami berhasrat untuk memberi cabaran yang lebih tinggi kepada para peserta. Tidak seperti sukan-sukan tradisional yang lain, acara-acara yang dianjurkan akan berunsurkan nilai-nilai yang unik seperti kesungguhan, kerjasama sepasukan, cabaran halangan yang memerlukan fokus dan akan mencabar ketahanan diri para peserta.”
BDB telah memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan acara-acara sukan di Kedah melalui penajaan-penajaan beberapa pasukan di Kedah seperti sukan bola sepak, sepak takraw dan kriket.
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://bdbtriplechallenge.my/