Kebanyakan kita pernah melaluinya. Segala-galanya nampak sempurna. Kita sudah berlatih berbulan-bulan. Badan kita rasa selesa, kaki kita rasa ringan dan kita bersedia untuk melakukan full marathon/ half marathon kita yang pertama mahupun kita bersedia untuk memecut dan cuba untuk membuat personal best yang terbaru.
Tiba-tiba kita terdengar guruh dan kita ternampak kilat. Kadang-kadang langit gelap, kadang-kadang hujan turun dengan lebat, kadang-kadang ia datang sewaktu langit cerah. Kita mula bertanya: Adakah perlu kita terus larian?
Jawapannya JANGAN! Dan ini adalah kenapa.
- Malaysia merupakan negara yang terletak berdekatan dengan kawasan Khatulistiwa. Iklim dan pembentukan awan di Malaysia menjadikan negara ini antara negara yang paling kerap menerima panahan petir. Secara purata Malaysia menerima dalam anggaran 180-200 hari dengan panahan petir setiap tahun.
- Menurut data daripada CELP (Centre of Electromagnetic & Lightning Protection) UPM terdapat 112 kes kematian dan 156 kes kecederaan akibat panahan petir di Malaysia antara tahun 2008 hingga 2017.
- Kebanyakan kes kematian akibat panahan petir berlaku apabila mangsa berada di luar rumah. Sejumlah besar kes berlaku apabila mereka sedang bersukan termasuk (berlari, bermain bola, perkhemahan, bermain golf, bermain bola keranjang).
- Kebanyakan kes kematian berlaku apabila mangsa berada di kawasan lapang diikuti apabila mangsa sedang berteduh samada di bawah pokok, di perhentian bas mahupun di pondok teduhan.
Petir boleh mencederakan manusia dengan beberapa cara:
- Dengan panahan terus ke atas manusia.
- Side splash atau petir yang terkena pada manusia setelah ia memanah objek berdekatan (pokok atau tiang) dan kemudiaannya menuju ke manusia yang terdekat.
- Aliran elektrik dari tanah yang mengalir setelah kilat memanah ke arah bumi dan mengalir kepada manusia yang terdekat. Ini antara punca kecedaraan yang melibatkan ramai orang.
- Barotrauma akibat letusan daripada objek berdekatan ataupun hentakan akibat individu tersebut tercampak setelah di panah petir.
Kecederaan akibat panahan petir boleh jadi ringan, sederhana dan kritikal. Kecederaan ringan biasa melibatkan kesan melecur pada kulit. Kesan sederhana melibatkan tidak sedar, hilang pendengaran, hilang ingatan dalam masa beberapa ketika yang kembali kepada normal setelah beberapa jam manakala kesan kritikal melibatkan serangan jantung, serangan terhadap saraf tunjang, gegedang telinga pecah, sawan dan kegagalan fungsi pernafasan.
Menurut anggaran 1 daripada 10 mangsa maut akibat panahan petir kebanyakannya akibat serangan jantung, manakala 7 daripada 10 mangsa panahan petir mengalami kesan kesihatan kronik yang berkekalan. Antara kesan kesihatan kronik adalah seperti penglihatan yang terjejas, sakit yang berpanjangan, kehilangan fungsi saraf dan kesan-kesan psychology seperti risau, sukar tidur, kurang daya tumpuan dan sebagainya.
Langkah pencegahan
Sekiranya kita nampak petir dan mendengar guruh, terus segera mencari tempat selamat walaupun tiada hujan yang turun. Tempat yang selamat adalah di dalam bangunan ataupun di dalam kenderaan. Tiada tempat di luar benar-benar selamat biarpun anda berteduh daripada hujan. Sekiranya tiada pilihan dan anda perlu berteduh di luar, jangan menyentuh apa-apa objek besi dan jangan memilih untuk berteduh di bawah objek-objek tinggi seperti pokok atau tiang.
Aktiviti luar hanya boleh diteruskan setelah 30 minit hanya boleh diteruskan setelah kilat dan guruh terakhir. 30 minit ini adalah anggaran masa untuk keadaaan cuaca bertukar yang mengurangkan risiko untuk petir berlaku.
Sekiranya anda nampak seseorang di panah petir, panggil ambulan, bawa ke tempat selamat dan terus lakukan pertolongan cemas dan CPR sekiranya jantung dan pernafasan terhenti. Manusia tidak menyimpan cas elektrik daripada petir dan adalah selamat untuk anda menyentuh mangsa.
Kepada penganjur acara, haruslah peka dengan ramalan cuaca atau boleh berhubung dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia untuk amaran dan ramalan ribut petir. Ada beberapa alat boleh digunakan untuk meramal ribut petir dan ramalan ini boleh membantu dalam membuat keputusan.
Di kawasan terbuka, amaran boleh dikeluarkan dengan bunyi siren atau pengumuman.
Kebanyakan kecederaan dan kejadian adalah apabila mangsa tidak memperdulikan dan tidak mengetahui bahaya panahan petir. Ketahuilah, apabila anda melihat petir atau mendengar guruh, kawasan antara 4 ke 15 kilometer daripada panahan petir itu adalah berisiko untuk menerima panahan petir.
Ambil peduli, selamat diri dan sayangi nyawa anda.
Teks oleh:
Dr Fadly Khairie
Doktor Kesihatan Awam
Marathoner anda