Home / Artikel Menarik / 9 Manfaat Berlari Untuk Kesihatan Anda

9 Manfaat Berlari Untuk Kesihatan Anda

lari sihat

Berlari banyak memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan dari segi mental dan fizikal. Tanyalah mana-mana pelari. Ia bukan sahaja satu aktiviti riadah hujung minggu malah ia menjadi sebahagian gaya hidup yang sihat dan cergas. Bacalah seterusnya 9 sebab mengapa anda harus menyarungkan kasut lari anda!

Manfaat #1 : Menurunkan Berat Badan
Berlari memang terbukti dapat melangsingkan badan kerana ia adalah satu aktiviti aerobik yang cepat mebakar kalori. Tetapi, berhati-hati! Berlari juga boleh menyebabkan anda lapar, terutamanya berlari jarak jauh dan ia bukanlah lesen untuk anda makan semua makanan tanpa mengira masa. Aktiviti berlari diikuti dengan pengambilan makanan yang sihat boleh membawa anda lebih dekat kepada berat badan yang menjadi idaman.

Manfaat #2 : Memanjangkan Usia
Walaupun tiada penawar di dunia untuk mengekalkan keremajaan, berlari dapat melambatkan proses penuaan. Menurut sebuah kajian, jangka hidup warga emas yang berjogging dengan kerap adalah lebih panjang daripada warga emas yang tidak berlari. Senaman yang kerap dapat menghindarkan diri anda daripada penyakit dan seterusnya membantu anda hidup lebih lama. Berlari juga menguatkan tubuh dan jantung anda tidak seperti senaman lain. Ia juga mengawal tekanan darah. Berlari dalam lima minit sehari dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 50%.

Manfaat #3 : Menguatkan sendi dan otot
Banyak khabar angin yang menyatakan bahawa berlari boleh memudaratkan kesihatan lutut dan sendi. Sebenarnya, ia adalah tidak benar. Golongan yang aktif berlari lebih sukar untuk diserang osteoarthritis. Ini adalah disebabkan berlari bolah mengakibatkan penurunan berat badan dan pengurangan tekanan di bahagian sendi. Dengan berlari juga, sendi-sendi dan otot-otot dapat diperkuatkan dalam jangka panjang.

Manfaat #4 : Menguatkan Paru-paru
Selain daripada membantu jantung anda, kapasiti paru-patu anda boleh ditingkatkan dengan berlari. Ini bermakna lebih banyak oksigen dapat disalurkan ke tubuh anda. Kajian menunjukkan yang berlari boleh membantu memulihkan kembali kekuatan paru-paru penghisap rokok.

Manfaat #5 : Meningkatkan keyakinan diri
Tanyalah mana-mana pelari, perasaan bangga dan gembira setelah menamatkan sebuah perlumbaan sama ada 5K atau marathon adalah sukar untuk digambarkan. Kemampuan untuk menamatkan sesebuah larian boleh disamakan dengan kemampuan mengatasi sebuah cabaran yang berat. Ia boleh meningkatkan keyakinan diri seseorang, apatah lagi jika pelari tersebut telah memuat persiapan dan berlatih dengan tekun sebelum hari perlumbaan.

Manfaat #6 : Mengatasi masalah kemurungan
Tindakan hormon endorphin dan neurotransmitter yang dirembeskan oleh otak ketika berlari boleh membuatkan seseorang itu merasa gembira dan secara langsungnya mengurangkan tekanan. Aktiviti berlari juga boleh memberi motivasi dan menghasilkan mood yang lebih baik kepada seseorang yang mudah dilanda kemurungan.

Manfaat #7 : Meningkatkan kuasa minda
Berlari boleh membantu ingatan dan perkembangan otak. Sebuah kajian di Harvard membuktikan ada kaitan diantara aktiviti berlari dengan peningkatan memori. Kajian di Cambridge juga membuktikan perkara yang sama di mana berlari menyebabkan perkembangan jisim kelabu otak (grey matter). Kajiselidik kreativiti yang dijalankan di Rhode Island College juga menunjukkan berlari meningkatkan kreativiti dan konsentrasi sehingga dua jam selepas senaman. Ini bermakna, larian di pagi hari adalah satu permulaan yang baik untuk produktiviti hari kerja anda.

Manfaat #8 : Memperkuatkan tenaga batin
Dr James White, profesor di University of California yakin bahawa aktiviti larian boleh meningkatkan stamina di kamar tidur. Dalam kajiannya, pelari melakukan lebih 15-20% hubungan kelamin berbanding dengan bukan pelari. Salah satu sebab peningkatan tersebut adalah keyakinan diri yang dibina daripada aktiviti berlari dari segi bentuk fizikal dan stamina. Kajian dari Endocrine Society menunjukkan yang berlari meningkatkan produksi hormon testosterone di kalangan lelaki, dan mengurangkan hypogonadism, sejenis kondisi yang berkait dengan mati pucuk dan lemah syahwat. Libido didapati meningkat disebabkan pengurangan berat badan di mana pengurangan lemak di bahagian abdomen dapat memudahkan pengaliran darah ke zakar.

Manfaat #9 : Tidur lebih nyenyak
Jika anda mengalami masalah sukar tidur di waktu malam, berlari mungkin boleh menyelesaikan masalah tersebut. Sebuah kajian di Northwestern Medicine mendapati aktiviti berlari dapat mengurangkan dan akhirnya menyembuhkan insomnia. Selain daripada memudahkan seseorang itu tidur, berlari juga boleh mempertingkatkan kualiti tidur yang lena. Seperti dijangkakan, seseorang itu mudah tidur apabila penat berlari. Otot-otot menjadi lebih tenang akibat tindakan hormon endorphin dan seterusnya mengembalikan tenaga apabila terjaga kelak.

Apa lagi manfaat-manfaat berlari untuk kesihatan yang tidak disenaraikan di atas?

Sila berikan komen anda di bawah!

#jomkitalari

Check Also

Diganggu Penunggu Presint 18, Putrajaya? Pelari Kongsi Kisah Seram Ketika Berjoging

Share this on WhatsApp Gambar hiasan Pernahkah anda mengalami insiden yang menyeramkan ketika berlari di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!