Standard Chartered Singapore Marathon (SCSM) bakal kembali tahun ini sebagai Perlumbaan Label Emas Olahraga Dunia (World Athletics Gold Label Race) buat kali pertama. Festival tiga hari itu, yang merangkumi Perlumbaan Elit Antarabangsa dan Kejohanan Kebangsaan Singapura akan berlangsung dari 1 – 3 Disember 2023, dan dijangka menarik sehingga 50,000 peserta dari seluruh dunia.
Bercakap mengenai pelancaran SCSM 2023, Jeff Edwards, Pengarah Urusan Asia untuk Kumpulan IRONMAN, berkata, “Maklum balas positif dan kejayaan tahun lepas amat memberangsangkan, dan kami, bersama rakan kongsi kami akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjadikan pengalaman perlumbaan 2023 lebih baik. Komitmen untuk menambah baik ini mencerminkan tema tahun ini, ‘Our Race to Go Beyond’, yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat melepasi jangkaan mereka sendiri dan melangkaui batasan mereka. Kami juga ingin melibatkan komuniti larian dengan lebih baik di Singapura dan seterusnya mempromosikan budaya larian yang positif. Selain daripada kembalinya Perlumbaan Elit, kami juga mempunyai beberapa inisiatif yang dirancang sepanjang laluan larian untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pelari, penonton dan masyarakat setempat pada keseluruhannya.”
Patrick Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kluster, Singapura dan Pasaran ASEAN (Malaysia, Vietnam, Thailand dan pejabat perwakilan), Standard Chartered berkata: “Kami berbangga menjadi penaja utama The Standard Chartered Singapore Marathon selama lebih dua dekad. Ia adalah salah satu perlumbaan paling berprestij di rantau ini dan acara larian utama Singapura. Dengan kembalinya Label Emas Olahraga Dunia dan Kejohanan Kebangsaan, kami berharap dapat menyaksikan kembalinya atlet jarak jauh antarabangsa dan tempatan yang terbaik ke garisan permulaan tahun ini. Pada masa yang sama, Standard Chartered Singapore Marathon adalah perlumbaan untuk orang ramai dari semua lapisan masyarakat bersama-sama untuk kekal aktif dan menjalani gaya hidup sihat, sambil mengeratkan lagi komuniti kita melalui nilai-nilai bersama iaitu daya tahan dan keazaman.”
Keith Tan, Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura, berkata: “Standard Chartered Singapore Marathon terus melonjakkan nama Singapura sebagai destinasi utama untuk pelancongan sukan di rantau ini. SCSM ialah acara utama di dalam kalendar sukan Singapura, dan saya yakin ia akan menawarkan pengalaman yang hebat untuk warga Singapura dan juga pelancong luar negara di bandaraya kami yang meriah.”
Seperti edisi tahun lepas, peserta juga boleh mendaftar untuk Double Up Challenge, serta SCSM TCS Corporate Challenge. untuk Cabaran Double Up, di mana peserta boleh memilih untuk mendaftar sama ada bagi kategori 5km atau 10km, digabungkan dengan setengah maraton 21.1km atau maraton 42.195km. Setelah selesai, mereka akan menerima pingat penamat acara masing-masing dan pingat Double Up Challenge eksklusif. Cabaran Korporat SCSM juga akan berlangsung tahun ini. Kadar korporat tersedia untuk syarikat yang ingin menyertai SCSM2023.
Penganjur SCSM, The IRONMAN Group, juga telah mengumumkan kembalinya Kejohanan Kebangsaan Singapura, yang akan menyaksikan atlet utama negara Singapura bersaing dalam maraton (kategori Terbuka dan Masters) dan separuh maraton. Setiap kategori dihadkan kepada kumpulan seramai 15 orang atlet lelaki dan 15 orang atlet wanita. Untuk melayakkan diri, atlet mestilah ahli semasa kelab larian Singapura yang bergabung dengan Singapore Athletics dan mesti telah mencapai masa kelayakan kategori masing-masing dalam perlumbaan Olahraga Dunia atau Persekutuan Kebangsaan yang dibenarkan mulai 1 Januari 2022hingga 31 Oktober 2023.Atlet lelaki yang berlari dalam kategori maraton perlu mempunyai masa 2jam 45min 00sec atau kurang, manakala atlet wanita perlu mencapai masa 3jam 15min 00sec atau lebih baik.
Acara tiga hari itu akan dimulakan dengan Kids Dash pada petang Jumaat, diikuti dengan 5km dan 10km pada pagi Sabtu, manakala kategori maraton dan separuh maraton akan bermula pada pagi Ahad.
Pendaftaran keutamaan untuk SCSM2023 akan dibuka mulai 26 April jam 10.00 pagi waktu Singapura untuk pelari Kelab 300KM SCSM serta peserta maraton SCSM2022. Harga Tahap 1 untuk maraton, separuh maraton, 10km, 5km dan Kids Dash masing-masing ialah $113, $95, $76, $58 dan $38. pendaftaran awam, serta pendaftaran untuk Kids Dash akan bermula pada 27 April jam 10.00 pagi waktu Singapura. Selain itu, pemegang kad Standard Chartered akan menikmati diskaun 15% daripada yuran pendaftaran.
Untuk mendaftar dan maklumat lanjut, sila layari https://singaporemarathon.com/.