Kuala Lumpur, 24 July 2016: Hujan tidak menjadi halangan bagi lebih 1,622 pelari yang mengambil bahagian dalam larian amal tahunan #myMERCYrun pagi ini. Larian yang dianjurkan buat kali ketiga oleh MERCY Malaysia (Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia) dan Go International Group bertemakan ‘Run Like A Superhero’ (Berlari Bagaikan Adiwira), meraikan sumbangan dan pengorbanan yang diberi oleh “adiwira” di dalam masyarakat yang sedia menghulurkan bantuan untuk membantu satu sama lain, seperti yang boleh dilihat dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan di MERCY Malaysia.
Larian amal ini dianjurkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang kerja-kerja bantuan kemanusiaan oleh MERCY Malaysia di Malaysia dan luar negara. Larian ini Berjaya mengumpul sebanyak RM 113,000 di mana akan disalurkan ke Tabung Umum Kemanusiaan MERCY Malaysia.
Presiden MERCY Malaysia, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dan Setiausaha Kehormat YM Datin Raja Riza Shazmin Badrul Shah melepaskan pelari-pelari #myMERCYrun, di Padang Merbok. Tiga jarak laluan yang boleh dipilih oleh para pelari adalah 3km, 7km dan 15km.
“Kami merasa sukacita apabila menyaksikan ramai peserta yang hadir dengan keluarga dan rakan-rakan mereka untuk larian amal ini. Kami juga terharu dengan semangat mereka dalam menghulurkan sumbangan bagi misi-misi kami untuk memberi bantuan perubatan, pembangunan kesihatan dan memperkasakan komuniti sejagat,” kata YM Datin Raja Riza Shazmin Badrul Shah.
“Di MERCY Malaysia, kami percaya yang kita semua patut bersatu untuk membantu mangsa-mangsa yang dilanda malapetaka atau krisis, di dalam dan luar negara. Larian #myMERCYrun adalah satu platform bagi kami meningkatkan kesedaran terhadap matlamat kemanusiaan persatuan kami. Terima kasih kami ucapkan kepada penaja dan penyokong yang telah memberikan sumbangan kepara usaha kami,” kata Dato’ Dr Ahmad Faizal Perdaus.
Semua pelari #myMERCYrun ‘Run Like A Superhero’ yang menamatkan acara larian diberi pingat penamat serta beg goodie. Peserta dengan pakaian adiwira yang paling kreatif juga berpeluang untuk memenangi hadiah.
Selepas tamat larian, acara diteruskan dengan persembahan hiburan dari artis-artis tempatan seperti Altimet, Ady Suwardy dan Fhara Mohd. Semua peserta juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dan juga peraduan selfie yang menjanjikan hadiah yang istimewa dari pihak penaja.
Untuk maklumat lanjut mengenai MERCY Malaysia dan #myMERCYrun, sila layari www.mercy.org.my.