Kuala Lumpur, 14 Mei 2017 – Acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’ kembali lagi buat kali ke-17 pada Ahad, 14 Mei 2017. Acara tahunan ini diadakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada peserta yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental serta menawan puncak Menara Kuala Lumpur. Tahun ini, ianya bertemakan ‘Let’s Be Victorious’ bakal menyemarakkan lagi demam SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017.
Perlumbaan ini telah bermula di kawasan parkir terbuka Menara Kuala Lumpur di mana peserta perlu berlari mendaki bukit sejauh 800 meter sehingga ke lobi Menara Kuala Lumpur. Seterusnya, mereka perlu memanjat 2,058 anak tangga sehingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak 288 meter dari aras bumi.
“Sejak penganjuran kali pertama pada tahun 1998, rekod terbaik yang dicatatkan oleh peserta lelaki Malaysia setakat ini adalah 11 minit 56 saat, manakala peserta wanita Malaysia mencatatkan masa terbaik 14 minit 51 saat”, kata Encik Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd.
“Istimewa pada edisi tahun ini, ia diadakan sebagai acara sokongan untuk menghangatkan lagi bahang SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017. Disamping itu, kami memperkenalkan satu lagi kategori baru iaitu Kategori Selebriti. Dimana kategori ini adalah diatas undangan khas dari pihak Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada para selebriti yang meminati sukan lasak dan ingin mencabar diri untuk bersama-sama mendaki 2,058 anak tangga di KL Tower. Ini bermakna, pada tahun ini, terdapat 9 kategori yang akan dipertandingkan”, tambah beliau lagi.
Untuk memeriahkan lagi KL Tower International Towerthon Challenge 2017, Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengadakan perlumbaan Bomba Tower Running yang telah diadakan semalam sebagai acara sampingan.
Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah mengadakan pameran keselamatan, kenderaan penyelamat, flying fox, persembahan bina badan Mr. Wonderful, 90 minit tarian zumba tanpa henti, cabaran belia sihat, Explorace belia, Flash mob, pertandingan Hakka dan bermacam-macam lagi.
Setelah 17 tahun penganjurannya, acara berprestij ini telah menjadi acara sukan lasak utama Menara Kuala Lumpur dan ia bertepatan dengan aspirasi Menara Kuala Lumpur untuk mempromosikannya Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi Kebudayaan (Culture), Aktiviti Lasak (Adventure) dan Alam Semulajadi (Nature).
Rakan acara untuk KL Tower International Towerthon Challenge 2017 adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Biro Pelancongan Kuala Lumpur (KLTB), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Bomba, New Balance, 100 Plus, Momawater, Celebrity Fitness, Adabi, FAMA, Majalah Running Malaysia, Galderma, Persatuan Seniman Malaysia, Kelab Pemilik Lamborghini Malaysia, Mighty White dan Cetaphil.