Kempen ‘Fuel Your Performance‘ Lucozade Sport™ dilancarkan dengan penuh meriah baru-baru ini dengan klinik larian yang pertama kali diadakan bersama Pacesetters Athletic Club, SMART Athletics Club dan Tadonamo Triathletes. Acara eksklusif ini adalah salah satu daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk melibatkan para pelari Malaysia dan merupakan usaha yang berterusan untuk memperkenalkan formulanya yang disahkan secara saintifik kepada lebih sejuta rakyat Malaysia menerusi acara-acara aktif dan penajaan acara popular seperti Reebok Spartan Race yang diadakan baru-baru ini. Peserta diberi peluang untuk belajar daripada pelari maraton berpengalaman, Edan Syah dan pakar pemakanan senaman & sukan, Dr Mahenderan Appukutty dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA. Mereka telah berkongsi pengalaman mereka tentang latihan dan pemakanan sukan di kalangan peminat-peminat sukan.
“Membantu para atlet yang berdedikasi untuk mencapai sasaran prestasi mereka adalah nilai amat penting bagi Lucozade Sport™. Menerusi sokongan terhadap atlet-atlet berjaya yang menjadi sumber inspirasi kepada atlet lain untuk mencapai impian mereka, kami dapat berkongsi sumber, kemahiran dan pengetahuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih aktif,” kata Lee Hon Tong, Pengurus Besar Serantau, Suntory Beverage & Food Malaysia, Singapura & Hong Kong. “Kami memulakan kempen ini untuk menarik minat atlet rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dan Penyokong Kempen ‘Fuel Your Performance‘ kami terdiri daripada individu-individu hebat yang telah mencapai impian mereka di samping memenuhi tugas kerja dan keluarga. Mereka adalah contoh yang mencetuskan inspirasi kepada para pelari baharu untuk terus mencapai impian mereka, dan sebagai bukti yang impian sememangnya boleh menjadi kenyataan.”
Selain berkongsi tentang strategi latihan peribadinya, Edan berkata, “Saya mengambil masa selama lapan tahun dan sembilan maraton untuk mencapai potensi sebenar saya sebagai seorang pelari – ia merupakan proses yang lama tetapi saya percaya tiada had untuk memulakan sesuatu asalkan kita bersedia untuk bekerja keras. Melalui perkongsian tentang pengalaman saya dan pengajaran sebagai ‘citizen runner’, saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dan harap-harap akan ada peserta maraton dari Malaysia di sukan Olimpik 2020!”
“Atlet berprestasi tinggi memerlukan pelan pemakanan yang direka khas untuk menyokong dan meningkatkan prestasi latihan mereka. Ini termasuklah mengambil jumlah protein yang secukupnya untuk membantu membina, mengekalkan dan membaiki tisu otot. Penghidratan dan tenaga juga adalah faktor penting untuk pelari kerana simpanan karbohidrat di dalam badan akan digunakan dengan cepat,” jelas Dr Mahenderan yang menyediakan panduan lengkap yang direka untuk membantu peserta meningkatkan larian mereka dengan pemakanan dan penghidratan yang betul.
Untuk mengekalkan paras tenaga yang konsisten, anggaran 30-60gram karbohidrat diperlukan setiap jam – bersamaan dengan 1-2 botol Lucozade Sport™ untuk setiap jam perlumbaan. Formulasi elektrolit dan karbohidratnya yang saintifik direka khas untuk membekalkan penghidratan yang ditingkatkan untuk memberi tenaga kepada atlet semasa latihan berpanjangan.
Kepentingan latihan, pemakanan dan penghidratan dibuktikan menerusi empat Penyokong Kempen ‘Fuel Your Performance’ yang merupakan empat atlet berjaya yang telah mencapai pelbagai kejayaan. Kejayaan-kejayaan mereka membuktikan pentingnya bagi seseorang untuk mencapai impian mereka:
- Edan Syah mula berlari lapan tahun lalu. Dengan melatih diri sendiri, beliau telah melayakkan diri untuk Boston Marathon yang ke-119 pada tahun 2015 dan berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 2:41:55, dan menjadi pelari Malaysia yang termuda dan terpantas yang pernah menghabiskan Boston Marathon ini! Di Tokyo Marathon 2016, beliau memecahkan rekod peribadinya dengan catatan masa 2:38:55 dan kini diiktiraf sebagai pelari maraton terpantas di Malaysia untuk tahun 2016. Edan bercita-cita untuk menjadi rakyat Malaysia termuda dan terpantas yang melengkapkan 6 Maraton Utama Dunia (WMM)[1] di bawah 2 jam 45 minit menjelang tahun 2018.
- Mohd Amran bin Abdul Ghani telah berkhidmat sebagai ahli bomba sejak 2001. Pada tahun 2014, atlet penuh dedikasi ini mendapat tempat pertama dalam IRONMAN 70.3[2] di Putrajaya dan seterusnya di IRONMAN Langkawi dengan catatan masa 10:15. Beliau dinobatkan sebagai Pelumba Malaysia terbaik di kedua-dua acara tersebut. Kejayaan ini dikecapi setelah beliau memperoleh pencapaian membanggakan dalam Powerman[3] Malaysia iaitu tempat pertama bagi kategori umurnya untuk lima tahun berturut-turut, dari tahun 2009 hingga 2013. Impian Amran adalah untuk berlumba dalam triatlon antarabangsa di seluruh dunia.
- Mohamed Allie Helmy merupakan seorang korporal dalam Angkatan Tentera yang mengamalkan gaya hidup cergas kerana minatnya sendiri, dan bukan hanya demi tugasnya. Beliau merupakan juara Port Dickson International Triathlon, Kedah International Duathlon 2015 dan 113 Desaru Triathlon, dan mendapat tempat kedua di IRONMAN Langkawi 2015. Helmy memasang impian untuk berlumba di Kejohanan Dunia IRONMAN di Kona, Hawaii tahun hadapan.
- Alex Au-Yong ingin menyalurkan minatnya dalam lumba lari jarak jauh kepada sesuatu yang bermanfaat untuk golongan yang kurang bernasib baik, oleh itu beliau telah menubuhkan XtraMile Run, larian amal 100km yang pertama seumpamanya di Malaysia. Acara pertama pada tahun 2011 telah berjaya mencatatkan kutipan RM111,000 untuk StART Academy, dan larian seterusnya pada tahun 2013 telah mengutip sebanyak RM165,000 untuk Dignity for Children Foundation. Untuk tahun 2016, sasarannya adalah untuk mengutip RM500,000 bagi meningkatkan penglibatan masyarakat dan memberikan pendidikan pemakanan menyeluruh kepada kanak-kanak.
Keempat-empat Penyokong Kempen ini menunjukkan erti sebenar mencapai impian, dan kini, Lucozade Sport™ menjemput pelari dan atlet umum yang lain untuk berkongsi harapan dan impian mereka menerusi [email protected].
Sebuah jenama yang dipercayai sejak 1927, Lucozade Sport™ terus memberikan penghidratan dan menarik minat atlet-atlet Malaysia di acara-acara sukan berprofil tinggi. Dapatkan maklumat lanjut tentang kempen ‘Fuel Your Performance’ di www.lucozadesport.com atau www.youtube.com/lucozade.
[1] World Marathon Majors adalah siri maraton yang terdiri daripada enam maraton terbesar dan paling terkenal di dunia: Tokyo Marathon, Boston Marathon, Virgin Money London Marathon, BMW BERLIN-MARATHON, Bank of America Chicago Marathon dan TCS New York City Marathon.
[2] IRONMAN 70.3 adalah perlumbaan triatlon antarabangsa yang termasuklah acara berenang 1.9km, berbasikal 90.1 km dan larian 21.1km.
[3] Powerman Malaysia adalah acara duatlon yang terdiri daripada larian 10km, berbasikal 60km dan larian 10km.