Home / Artikel Menarik / Lebih 360 Warga Malaysia Sertai Marathon Maybank Bali

Lebih 360 Warga Malaysia Sertai Marathon Maybank Bali

MBM 2016

Seramai 368 warga Malaysia akan menyertai Maybank Bali Marathon yang akan berlangsung pada 28 Ogos tahun ini – tambahan hampir 30% berbanding 286 yang didaftarkan tahun lalu. Mereka merupakan lebih 5% daripada peserta maraton dari 39 negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam acara ini, yang akan berlangsung di Daerah Gianyar di Bali, pulau percutian terkemuka di Indonesia.

Presiden Direktor Maybank Indonesia Taswin Zakaria berkata pihaknya berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan terhadap penganjuran acara larian ini yang juga merupakan acara tahunan kali kelima dianjurkannya.

“Kami begitu gembira dapat melihat begitu ramai warga Malaysia mengambil bahagian dalam acara ini dan kami yakin mereka akan diberikan sambutan hangat serta mendapat pengalaman unik tidak seperti di marathon lain,” katanya. “Rakyat Malaysia merupakan satu daripada kontinjen peserta luar negara terbesar di marathon yang kami anjurkan ini, dan bilangannya semakin meningkat berbanding 186 peserta pada tahun pertama acara ini pada 2012. Saya percaya, jika tidak kerana kami terpaksa menutup pendaftaran kerana jumlah peserta telah melebihi sasaran, lebih ramai rakyat Malaysia yang berpeluang menyertainya.”

“Kami sebenarnya mahu mengehadkan bilangan penyertaan kepada 6,000 peserta, tetapi kemudiannya membuat keputusan untuk meningkatkannya kepada lebih 7,000 kerana kami tidak mahu menghampakan mereka yang amat berminat dan mahu menyertai acara ini,” jelas beliau.

Taswin berkata slot larian yang disediakan telah diserbu sebaik pendaftaran dibuka dan ditutup hanya dalam tempoh seminggu berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Maybank Bali Marathon yang diperkenalkan pada 2012, merupakan maraton standard antarabangsa pertama yang dianjurkan di Indonesia dalam tempoh 22 tahun, dengan seramai 2000 peserta pada tahun pertama penganjurannya. Acara ini terdiri daripada Marathon Penuh (42.195 km), Separuh Marathon (21.0975 km), 10 km dan larian untuk kanak-kanak. Selain itu, ia turut menawarkan kategori berkerusi roda untuk memberi peluang kepada golongan kurang upaya turut serta.

Taswin berkata, “Maybank Bali Marathon amat istimewa kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk turut menikmati budaya Bali yang kaya dan lanskap yang indah di sepanjang laluan larian di Gianyar, di samping bersaing dengan pelari terbaik di dunia.”

MBM 2016a

“Acara yang kami anjurkan ini juga unik kerana kami turut menetapkan matlamat untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat di Gianyar selaras dengan misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,” katanya.

“Sejak 5 tahun yang lalu, kami telah menyokong perkembangan sekolah-sekolah di kawasan itu dengan menyediakan kemudahan pendidikan selain membantu menaik taraf klinik komuniti untuk ibu-ibu dan kanak-kanak. Kami turut melaksanakan program kesedaran alam sekitar termasuk pertandingan kebersihan untuk mewujudkan penghayatan yang lebih terhadap pemuliharaan alam sekitar di kalangan penduduk kampung di kawasan yang terlibat.”

Sejak 2015, Maybank Indonesia juga telah menyokong program memperkasakan golongan kurang upaya dengan menyediakan sokongan kewangan kepada pusat bagi Insan Hilang Upaya di Bali. Pihak Bank menyokong mereka dalam penghasilan kerusi roda dan anggota badan tiruan selain turut membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan. Di samping itu, bantuan kewangan juga diberikan untuk mereka mendapatkan kenderaan bagi memudahkan pergerakan termasuk untuk memudahkan mereka mengedarkan produk.

Taswin berkata, “Tahun ini, kami melangkah setapak lagi ke hadapan dengan memohon peserta dari Bank kami, membuat pilihan untuk menyokong golongan kurang upaya di Bali dengan membuat sumbangan sebanyak Rp 5000 untuk mendapatkan nama mereka dicetak pada bib (nombor penyertaan). Dana yang dikumpul akan disumbangkan kepada inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) yang dilaksanakan oleh Maybank Indonesia, terutama bagi meringankan beban golongan kurang upaya.

Sejak 2014, peserta Maybank Bali Marathon yang layak boleh mendaftar dalam Boston Marathon yang merupakan antara enam maraton dunia utama (selain Marathon Berlin, New York, London, Chicago dan Tokyo).

Check Also

Bawa Prestasi Larian Anda Ke Tahap Seterusnya Dengan Kasut Plat Karbon BMAI JING TAN FLY

Share this on WhatsApp Sejak pelancarannya pada 2014, BMAI, jenama kasut Cina yang ditransliterasi daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!