Home / Berita Terkini / Heritage Run 2026: Alliance Bank Catat Rekod 6,300 Pelari & Lancar Cabaran ‘KM to RM’

Heritage Run 2026: Alliance Bank Catat Rekod 6,300 Pelari & Lancar Cabaran ‘KM to RM’

Pulau Pinang, 13 Julai 2026 – Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) meraikan kejayaan penganjuran edisi keempat Heritage Run 2026 (“Heritage Run” atau “Acara Larian”), yang berjaya menarik rekod bilangan peserta tertinggi mencecah hampir 6,300 orang pelari. Diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, edisi khas ini menampilkan format berwajah baharu serta cenderamata eksklusif edisi terhad, sekali gus memperkukuh komitmen Bank terhadap komuniti dan kelestarian di samping mempromosikan warisan kaya Pulau Pinang.

Bertempat di Padang Kota Lama yang bersejarah pada 12 Julai, Acara Larian tersebut mengetengahkan mercu tanda unik serta identiti masyarakat majmuk Pulau Pinang. Ia kini telah berkembang daripada sekadar acara sukan berteraskan warisan kepada sebuah pengalaman pelancongan budaya yang dinamik. Upacara pelepasan acara ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Alliance Bank, Ronnie Royston Fernandiz.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam, melahirkan rasa gembira atas maklum balas yang amat positif terhadap edisi keempat Acara Larian ini sambil menyatakan, “Orang ramai dan warga Pulau Pinang memberikan sokongan yang luar biasa terhadap acara ini, dan kami berharap dapat membawa momentum positif ini ke peringkat yang lebih tinggi demi kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.”

Beliau menambah, “Pada terasnya, larian ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif di samping menghargai warisan kaya Pulau Pinang serta memacu kelestarian. Ini mencerminkan komitmen jitu Bank sebagai ‘The Bank for Life’ dalam memupuk komuniti yang lebih sihat dan memacu pertumbuhan yang bertanggungjawab serta lestari.”

Semasa Acara Larian tersebut berlangsung, Alliance Bank turut memperkenalkan Cabaran KM TO RM 2026, iaitu cabaran simpanan berkonsepkan ‘berlari sambil menjana pendapatan’ (run-to-earn) yang pertama di Malaysia. Ia direka khas untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia yang kekal aktif di samping memupuk tabiat kewangan yang sihat. Berlangsung selama tiga bulan dari Ogos hingga Oktober 2026, cabaran ini menggalakkan peserta untuk konsisten dalam aktiviti larian mereka sambil mengumpul ganjaran melalui Akaun Simpanan Asas/-i Alliance Bank.

Mengulas mengenai inisiatif baharu tersebut, Kellee Kam berkata, “Aktiviti larian kini bukan lagi sekadar untuk kecergasan. Ia telah menjadi satu gaya hidup dan sebuah komuniti yang kian berkembang yang menyatukan masyarakat. Di Alliance Bank, kami percaya bahawa disiplin yang sama digunakan untuk membina kehidupan yang lebih sihat juga boleh membantu individu membina tabiat kewangan yang lebih kukuh. Melalui Cabaran KM TO RM 2026, kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia untuk kekal aktif, konsisten, dan diberikan ganjaran atas usaha mereka membina kesihatan diri serta kekayaan kewangan.”

Sementara itu, Heritage Run tahun ini merangkumi tiga kategori perlumbaan: acara jalan kaki santai keluarga sejauh 3 kilometer (km), larian kompetitif 10 km yang direka untuk peserta meningkatkan sasaran kecergasan peribadi, serta acara separuh maraton 21 km yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM24,400.

Bagi menggalakkan penyertaan daripada semua lapisan umur dan memupuk semangat kemasyarakatan yang lebih erat, Acara Larian ini turut memperkenalkan “Cabaran Keluarga Berpakaian Terbaik” di bawah kategori 3 km, yang menyaksikan para peserta menyertai larian dengan menggayakan busana tradisional terbaik mereka.

Bagi kategori terbuka lelaki 21 km, pelari kebangsaan, Yeow Ni Jia, muncul sebagai johan, diikuti oleh Lim Kok Leong (naib johan) dan Edmund Pang (tempat ketiga). Sementara itu, Nik Fakaruddin bin Ismail merangkul gelaran johan bagi kategori veteran, manakala Amirullah Bambang dan Leow Thai Lih masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori terbuka wanita 21 km, Melanie Goh See Ler menduduki tempat teratas, disusuli oleh Chew Huey Ming di tempat kedua dan Eryn Yen Ling Tan di tempat ketiga. Seterusnya, kategori veteran wanita menyaksikan Noor Amelia Binti Musa muncul sebagai johan, manakala Chew Lay Ling dan Wong Mi-Chi masing-masing menamatkan larian di tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori terbuka lelaki 10 km, Mohammad Izul Amirul Mukmim muncul sebagai johan, diikuti oleh Mohamad Nur Radzman dan Ong Wei Xiang. Kategori veteran lelaki pula dimenangi oleh Armeet Singh sebagai johan, disusuli oleh Mohd Faizul bin Muhaieddin dan Tan Tong Hai. Bagi kategori terbuka wanita 10 km, kejuaraan milik Ong Ee Ling, manakala Heng Jia Yee dan Lim Tung Ern masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga. Kategori veteran wanita pula menyaksikan Chuah Joo Khim muncul johan, diikuti oleh Lim Siok Har dan Foo Yin Yin.

Semua pemenang dihadiahkan pingat penamat serta hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka. Dalam pada itu, Isaac Alistair, Nora Sikin, Shalina Sarip, serta keluarga masing-masing membawa pulang anugerah Keluarga Berpakaian Terbaik, yang memukau para penonton dengan penampilan yang menyerlah dari garisan permulaan hinggalah ke garisan penamat.

Setiap aspek kelengkapan larian telah diberi nafas baharu dengan mengambil kira elemen kelestarian. Daripada pingat yang diperbuat daripada buluh sumber lestari sehinggalah beg kanvas guna semula, cenderamata acara ini memperkukuh usaha mengurangkan sisa selain memberi jangka hayat kedua kepada bahan-bahan tersebut.

Sentuhan bermakna ini diterapkan di sepanjang acara berkenaan. Baju-T larian eksklusif direka secara unik bagi setiap kategori dengan inspirasi daripada warisan budaya kaya Pulau Pinang, termasuk elemen kebaya, mi udang, dan kasut manik. Tali pingat (lanyard) pula menampilkan motif berunsurkan batik, manakala beg kanvas eksklusif mencerminkan identiti budaya Pulau Pinang.

Para peserta juga berpeluang mengunjungi Bazar #SupportLokal, di mana usahawan tempatan Pulau Pinang memamerkan hasil kraf tangan artisanal serta makanan tradisi tempatan, sekali gus membantu merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.

Berlatarbelakangkan pesona kawasan Melindungi Warisan Dunia UNESCO George Town yang malar segar, Acara Larian berwajah baharu ini menterjemahkan pengalaman perlumbaan sebagai sebuah acara kebudayaan bergerak yang meriah. Buat julung kalinya, acara jalan kaki santai keluarga 3 km dimeriahkan dengan “Cabaran Keluarga Berpakaian Terbaik” yang menyaksikan para peserta segak dan anggun mengenakan busana tradisional di sepanjang laluan larian.

Menambahkan lagi debaran, kategori kompetitif 10 km yang baharu diperkenalkan telah menarik kehadiran pelari yang ingin mencabar kemampuan diri serta memecahkan rekod peribadi terbaik mereka, menandakan tahap persaingan dan cita-cita yang lebih tinggi. Sementara itu, acara separuh maraton 21 km terus menjadi tunjang acara, dengan menarik penyertaan pelari berpengalaman serta peminat tegar maraton dari dalam dan luar negara, yang kesemuanya berhimpun di bandar raya yang menyatukan sejarah, budaya, dan sukan ini.

Dengan meletakkan kelestarian sebagai teras utama Heritage Run 2026, acara ini turut menekankan usaha Bank dalam menyokong warisan budaya George Town, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 11.4) mengenai perlindungan warisan budaya dan semula jadi dunia.

Lebih daripada sekadar sebuah perlumbaan, Alliance Bank Heritage Run menterjemahkan komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) Bank secara nyata melalui usaha pemuliharaan alam sekitar, meraikan kebudayaan, memperkasakan ekonomi tempatan, serta memelihara kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai Cabaran KM TO RM 2026 boleh mendaftar sebelum atau pada 31 Julai 2026 dengan membuka Akaun Simpanan Asas/-i Alliance Bank. Berbeza dengan kempen perbankan konvensional, Cabaran KM TO RM 2026 memberikan ganjaran berasaskan amalan yang konsisten dan bukannya perbelanjaan. Peserta perlu melengkapkan sasaran larian bulanan yang dijejak melalui aplikasi BiiB dan akan menerima ganjaran selepas berjaya melengkapkan setiap cabaran.

Dengan hanya 1,200 tempat yang tersedia, peserta yang berjaya melengkapkan cabaran penuh selama tiga bulan akan layak ke cabaran cabutan bertuah hadiah utama yang menawarkan jam tangan Garmin Forerunner. Bagi mereka yang melengkapkan sekurang-kurangnya satu bulan cabaran, mereka juga layak untuk menyertai cabutan bertuah hadiah sagu hati berasingan yang menawarkan ganjaran menarik seperti kad hadiah JD Sports.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.alliancebank.com.my/

Check Also

Toyota Start Your Impossible Outrun 2026 Himpun 7,500 Pelari, Kumpul RM200,000 Untuk NCSM

Share this on WhatsApp Putrajaya, 5 Julai 2026 – Satu lagi acara mega dalam kalendar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!