Baru-baru ini #jomkitalari telah menerima suatu permintaan yang agak luar biasa melalui DM dari seorang pelari Muslimah.
Jom kita baca kisah pelari yang ingin dikenali sebagai NINJA sahaja.
“Saya mula jatuh cinta dalam berlari pada awal 2017. Pada mulanya, saya hanya berlari suka-suka untuk mengisi masa lapang. Saya mula berlari dengan jarak 3km di taman dan kawasan perumahan saya pada setiap minggu. Larian itu dibuat sebanyak 4-6 kali seminggu. Lama-kelamaan, saya mula meningkatkan jarak larian saya dari 5km ke 10km, 21km ke 42km dan seterusnya. Jarak larian saya yang paling jauh adalam sebanyak 52km. Alhamdullilah, saya berjaya menghabiskan larian itu dalam masa 10 jam.”
“Kini, larian sudah menjadi satu routine dalam kehidupan saya. Setelah berlari dengan konsisten di sekitar rumah, saya pula mula beranikan diri untuk menyertai acara perlumbaan atau roadrace. Medal pertama saya adalah dari Larian Bersama Bomba, sejauh 5km. Saya merasa amat teruja apabila dapat menamatkan larian pertama saya. Dan, Alhamdullilah, setakat ini, saya sudah pun menyertai sebanyak 157 larian mendapat sebanyak 157 pingat penamat dalam koleksi saya.”
“Cuma saya sedih setiap kali event yang saya join, mesti ada yang terkejut apabila saya pintas. Maklumlah, saya serba hitam. Kalau boleh, saya nak war-warkan kepada mereka agar tidak terkejut apabila nampak saya ketika di dalam larian, terutamanya di larian malam. Kalau ada yang terjumpa di mana-mana hutan pun dimohon jangan terkejut, sebab saya akan pakai jubah juga.”
“Oleh kerana pakaian saya yang serba hitam, saya dikenali sebagai NINJA oleh semua sahabat runner saya. Pada mulanya, saya rasa janggal dengan panggilan nama itu. Lama-kelamaan, terasa cute pula apabila orang menggelar saya NINJA.”
“Saya juga mula menyertai kelab larian, Lari Untuk Kesihatan (LAUK). Tujuan saya menyertai kelab larian adalah untuk mendapatkan ilmu dan berkongsi info larian dengan pelari-pelari yang lain. Selain itu juga, saya cuba tanamkan sifat ikatan ukhwah di kalangan pelari-pelari seperti saya.”
“Kenapa saya berlari dan masih berlari hingga ke hari ini? Dari hari ke hari, saya dapat merasakan perbezaan pada diri saya. Dengan berlari, ia dapat membantu menenangkan minda saya, meningkatkan positiviti, dan juga boleh menghilangkan stress sepanjang hari. Walaupun penat semasa berlari, saya rasa lebih bertenaga sepanjang hari.”
“Oleh itu, InsyaAllah saya akan terus berlari untuk terus kekal menjadi seorang yang positif dan ceria setiap hari.”
Begitulah kisahnya. #JOMKITALARI berharap, setelah membaca luahan hati pelari Ninja ini, janganlah mudah terkejut apabila ternampak kelibat serba hitam yang memintas ketika larian!
Penafian: Gambar-gambar disumbangkan oleh pelari sendiri dan diperolehi daripada pelbagai sumber. Kami tidak memiliki hakcipa gambar-gambar tersebut.