Petaling Jaya, 10 September 2017: Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge yang diadakan hari ini berlangsung dengan penuh meriah selepas lebih dari 9000 peserta menyertai cabaran kedua yang diadakan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Larian dimulakan dengan kategori 21km pada jam 5.30 pagi disusuli dengan pelepasan peserta kategori 10km pada jam 6.30 pagi. Para peserta mengambil peluang berlari di lebuhraya yang ditutup sepenuhnya dan menikmati pemandangan bandaraya yang menarik di sepanjang laluan larian bermula dari pusat membeli belah Sunway Pyramid .
Para peserta yang telah menyertai acara cabaran pertama di Lebuhraya BESRAYA, Julai lalu nyata lebih bersemangat pada acara kali ini memandangkan pemenang Duo Highway Challenge dipilih berdasarkan masa gabungan terpantas kedua-dua acara di Lebuhraya NPE serta BESRAYA.
Larian Duo Highway Challenge ini merupakan hasil kerjasama antara IJM Corporation Berhad (IJM) dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz) selaku penaja utama serta Besraya (M) Sdn Bhd dan New Pantai Expressway Sdn Bhd (anak syarikat IJM Corporation Berhad) selaku penaja lokasi perlumbaan. Acara ini dianjurkan oleh EC Pixels Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Dato’ Soam Heng Choon berkata: “Sangat mengagumkan apabila melihat para peserta berlari di kedua-dua lebuhraya yang ditutup sepenuhnya di mana ianya adalah yang pertama kali di Malaysia. Kami bersetuju untuk mengadakan larian di lebuhraya bagi memberi kesedaran kepada pengguna lebuhraya mengenai jajaran kedua-dua lebuhraya ini dengan cara yang tersendiri. Selain itu, ia adalah sebahagian dari Tanggungjawab Sosial Korporat kami untuk membawa komuniti bersama-sama memupuk gaya hidup sihat menerusi penganjuran acara sukan seumpama ini. Jumlah peserta hari ini melepasi sasaran awal yang ditetapkan dan ia jelas menunjukkan satu kejayaan dalam memupuk kesedaran tersebut. Di IJM, kami percaya kehidupan yang sihat akan sentiasa menghasilkan produktiviti dan keputusan yang lebih baik”.
Sean Wang, Ketua Pegawai Operasi Allianz Malaysia Berhad berkata: “Melihat kepada kesungguhan para peserta mencabar diri mereka dalam kedua-dua acara yang dianjurkan ini membuktikan bahawa objektif untuk menerapkan gaya hidup sihat telah berjaya. Allianz akan sentiasa menyokong program-program sebegini apatah lagi komuniti larian di Malaysia semakin meningkat dan aktif. Kami juga sangat berbangga dapat bersama IJM dalam penganjuran sulung Duo Highway Challenge ini dan berharap ia akan terus dianjurkan lagi pada masa akan datang.
Para pengunjung turut sama menyertai pelbagai aktiviti menarik di Race Village yang terletak di Bandar Sunway termasuk permainan elektrik buzzer, cabaran 1 minit serta booth digital foto yang dianjurkan oleh IJM selain berpeluang mendapatkan promosi plan premium insuran rumah terbaik dari Allianz yang ditawarkan di acara tersebut.
Tumpuan seterusnya adalah upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang Duo Highway Challenge. Juara, Poo Vasanthan Subramaniam Vasanthan menerima pakej penerbangan ke Jepun, wang tunai RM 2000 beserta dengan trofi setelah mencatatkan masa 2 jam 30 minit diikuti pemenang tempat kedua, Anas Rosli yang mencatatkan masa 2 jam 1 minit 36 saat untuk menerima hadiah pakej penerbangan ke Thailand, wang tunai RM 1000 dan trofi. Pemenang tempat ketiga, Azwan Bin Bujing juga turut menerima hadiah pekej penerbangan ke Thailand dengan hadiah wang tunai RM500 dan trofi selepas mencatatkan catatan 2 jam 5 minit 40 saat.
Juara kategori lelaki Duo Highway Challenge, Poo Vasanthan Subramaniam berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat menjuarai keseluruhan IJM Allianz Duo Highway Challenge. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan saya. Setiap hari, saya berlatih selama 2 jam dan hasilnya sangat berbaloi. Saya gembira dengan keputusan yang dicatatkan. Selepas ini, saya akan memberi fokus kepada perlumbaan di Terengganu”.
Bagi kategori wanita pula, Sheela Samivellu muncul juara keseluruhan Duo Higway Challenge dengan jumlah catatan 2 jam, 19 minit dan 38 saat untuk melayakkannya memenangi pakej ke Jepun beserta wang tunai RM 2000 dan juga trofi. Tempat kedua pula jatuh kepada Loh Chooi Fern dengan catatan 2 jam, 32 minit dan 21 saat sekaligus membawa pulang wang tunai RM 1000, trofi dan pakej percutian ke Thailand. Susan Khoo yang mencatatkan masa 2 jam 43 minit 56 saat pula berada di tempat ketiga turut akan diterbangkan ke Thailand selain hadiah wang tunai RM500 dan trofi.
“Perlumbaan hari ini agak mencabar kerana ia bermula seawal jam 5.30 pagi. Bagaimanapun, cuaca hari ini sangat baik. Ia memberi motivasi untuk saya tamatkan larian dengan catatan terbaik. Sedikit tips untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan acara larian ialah anda boleh memperbaiki larian secara perlahan-lahan. Jangan terlalu mendesak sehingga mencederakan diri anda. Selepas kejayaan ini, saya mahu kekalkan konsistensi saya dalam acara 21km dengan menyertai lebih banyak lagi perlumbaan sejauh 21km memandangkan ia satu jarak yang bukan mudah dan cukup mencabar “ jelas Samivellu, juara Duo Highway Challenge kategori wanita.