Kuala Lumpur, 3 Mac 2017 – SEMANGAT komuniti Asia Tenggara bakal disemarakkan di Brunei Darussalam pada 5 Mac 2017 ini apabila Larian Baton Bangkit Bersama (The Rising Together Baton Run) Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017) tiba di Bandar Sri Begawan, ibu negara tersebut.
Brunei Darussalam adalah destinasi pertama siri larian baton Bangkit Bersama yang sememangnya bersejarah kerana ia julung kali diadakan. Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin dijadualkan untuk menyerahkan baton larian tersebut kepada Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien sebagai tanda simbolik permulaan larian tersebut.
Bermula jam 7 pagi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, larian baton ini akan bergerak sejauh 7.42 kilometer melalui monumen bersejarah negara tersebut seperti Tugu Peringatan Sukan SEA 1999, Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddin, Dirgahayu Mercu 60 dan Cendera Lambang Kenangan. Antara jalan utama yang akan dilalui sepanjang larian baton di negara ini adalah Jalan Budiman, Jalan Kumbang Pasang dan Jalan Mc Arthur.
Selain atlet Sukan SEA Brunei Darussalam, kumpulan atlet daripada Sukan Para ASEAN juga akan turut menyertai larian untuk memeriahkan lagi acara dan sebagai tanda sokongan kepada temasya sukan KL2017. Pemenang Pingat Gangsa Sukan SEA ke 28 Singapura 2015, Awang Mohd Sufi Shayiran bin Roslan dari Sukan Wushu akan memulakan larian di Checkpoint 1 iaitu dari Tugu Peringatan Sukan SEA 1999.
Larian Baton Bangkit Bersama dianjurkan oleh Jawatankuasa Penganjur Malaysia (Malaysian Organising Committee – MASOC) Kuala Lumpur 2017 dengan kerjasama negara-negara terlibat sebagai pra-acara kepada Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Ia merupakan salah satu usaha mempromosikan KL2017 kepada rakyat di negara-negara peserta temasya ini di seluruh Asia Tenggara serta untuk mewujudkan kesedaran mengenai penganjuran sukan ini dalam kalangan penduduk serantau.
Selepas Brunei Darussalam, Larian Baton Bangkit Bersama akan diteruskan ke negara Filipina pada 12 Mac 2017. KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.
JADUAL PENUH LARIAN
1. Brunei Darussalam : 5 Mac 2017 (Ahad)
2. Filipina : 12 Mac 2017 (Ahad)
3. Lao PDR : 18 Mac 2017 (Sabtu)
4. Myanmar : 25 Mac 2017 (Sabtu)
5. Thailand : 1 April 2017 (Sabtu)
6. Vietnam : 9 April 2017 (Ahad)
7. Timor Leste : 17 April 2017 (Isnin)
8. Kemboja : 22 April 2017 (Sabtu)
9. Indonesia : 30 April 2017 (Ahad)
10. Singapura : 13 Mei 2017 (Sabtu)
11. Malaysia : 14 Mei 2017 (Ahad) – 12 Ogos 2017 (Larian Obor)