
Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 – Menjelang Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) yang bakal berlangsung pada Jun ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan penganjuran sulung KLIMS Run 2026 pada 17 Mei 2026 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Acara ini bukan sekadar larian, tetapi simbol kepada tema Beyond Mobility yang dibawa KLIMS 2026. Ia menggabungkan gaya hidup aktif dengan mesej kelestarian dan tanggungjawab sosial, sekali gus menghubungkan masyarakat melalui sukan dan mobiliti. KLIMS Run 2026 akan diadakan bersempena program KL Car-Free Morning, bertindak sebagai pemanas badan kepada pameran automotif dan mobiliti terbesar negara.
Peserta boleh memilih kategori 5KM dengan yuran penyertaan RM60 atau 7KM dengan yuran RM65. Pendaftaran dibuka sehingga 26 April 2026 melalui laman rasmi KLIMS Run 2026. Setiap peserta akan menerima baju rasmi acara, nombor bib larian serta pingat penamat. Flag-off dijadualkan pada jam 7.00 pagi.


KLIMS Run 2026 menjadi langkah simbolik menuju masa depan mobiliti, sekaligus membina keterujaan menjelang KLIMS 2026 yang akan berlangsung dari 12 hingga 21 Jun di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Pameran tersebut bakal menampilkan inovasi terkini dalam dunia pengangkutan – daripada elektrifikasi, tenaga alternatif hingga solusi mobiliti pintar – dengan penyertaan pemain industri, jenama global serta peminat teknologi.
Untuk maklumat lanjut mengenai KLIMS 2026, orang ramai boleh melayari laman rasmi di https://klims.com.my.
