Kuala Lumpur, 10 Mac 2026 – Pelari jarak jauh negara, Esther Joy Chen yang juga atlet New Balance, mencipta kejutan dengan catatan masa terbaik peribadi pada separuh maraton Nagoya City Marathon 2026, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bintang paling menyerlah dalam arena larian jarak jauh Malaysia.

Esther menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan dengan masa 1 jam 19 minit 27 saat, memperbaiki rekod peribadi lebih lima minit daripada catatan terdahulu 1:24:52 yang direkodkan di Nagoya dua tahun lalu. Pencapaian ini bukan sahaja meletakkan Esther dalam kelompok pelari wanita Malaysia terpantas, malah mengatasi rekod kebangsaan semasa 1:24:44.

Turut mencuri tumpuan ialah atlet New Balance dari Singapura, Nicole Low, yang muncul juara dengan catatan 1:17:41 – lebih pantas daripada rekod peribadinya 1:18:43 di Gold Coast Marathon 2025. Catatan itu menjadikan Nicole pelari wanita kedua terpantas dalam sejarah separuh maraton Singapura.

Kejayaan Esther dan Nicole mencerminkan peningkatan mutu larian jarak jauh Asia Tenggara serta komitmen New Balance dalam melahirkan bakat serantau ke pentas dunia. Esther yang menjalani persiapan rapi selama berbulan-bulan tampil dengan fokus dan ketahanan mental luar biasa, menewaskan saingan sengit untuk mencatat prestasi gemilang.
“Setiap blok latihan separuh maraton mengajar saya tentang disiplin dan ketabahan. Berdiri di garisan permulaan Nagoya, saya rasa gabungan gugup, teruja dan yakin. Saya bersyukur dengan perjalanan ini dan tidak sabar melihat sejauh mana saya boleh pergi,” kata Esther selepas perlumbaan.

Walaupun larian kekal penting dalam kariernya, Esther menegaskan matlamat jangka panjangnya adalah kembali ke sukan triathlon dengan sasaran kelayakan ke Sukan Asia. “Larian menguatkan saya dalam banyak aspek, tetapi fokus utama kini adalah latihan konsisten di kolam renang dan persediaan triathlon,” tambahnya.
New Balance mengukuhkan komitmen mereka untuk terus menyokong atlet yang berani mencabar batasan dan menetapkan penanda aras baharu dalam sukan. Pencapaian Esther dan Nicole di Nagoya menjadi bukti dedikasi jenama itu terhadap kecemerlangan atlet serantau.
