Kuala Lumpur, 27 Ogos 2019 – IRONMAN, syarikat milik Kumpulan Sukan Wanda, hari ini mengumumkan penganjuran sulung pesta sukan di Desaru Coast, Malaysia pada 17 – 19 April 2020 – sebagai usaha IRONMAN memperkembangkan sukan lasak itu di Asia. Pesta Sukan Desaru Coast yang dibawakan oleh IRONMAN yang julung kalinya dilangsungkan di Asia itu menampilkan perlumbaan triathlon IRONMAN® 70.3®, Triathlon 5150TM serta IRONKIDS® dan ‘Sprint’.
Pesta sukan pada hujung minggu itu membariskan acara IRONMAN 70.3 Desaru Coast, selaku acara utama, yang menjadi tambahan terbaharu kepada kalendar perlumbaan IRONMAN 70.3 Asia bagi tahun hadapan. Di samping itu, tiga perlumbaan sampingan, iaitu 5150 Desaru Coast, Sprint Desaru Coast dan IRONKIDS Desaru Coast, turut dianjurkan untuk mencabar mereka yang baharu mula berjinak dengan sukan triathlon.
Pengarah Urusan IRONMAN Asia, Geoff Meyer, berkata, “Kami berasa teruja untuk mengumumkan pelancaran Pesta sukan yang bakal dilangsungkan buat kali pertamanya di Asia, sekaligus menunjukkan betapa triathlon kini begitu digilai ramai di Asia, serta komitmen IRONMAN untuk membangunkan sukan triathlon di benua ini. Acara tiga hari ini diatur khas untuk menawarkan pelbagai jenis format perlumbaan dan jarak untuk dipilih atlet-atlet mengikut kebolehanan masing-masing, malahan sesuai juga kepada mereka yang baru berkecimpung dalam sukan ini.”
Bertempat di penghujung Semenanjung Malaysia, Desaru Coast menampilkan laluan perlumbaan berpemandangan indah dengan pantai sepanjang 17km yang pasirnya memutih menghadap air laut yang membiru untuk dinikmati oleh semua peserta yang bertanding, dilengkapi dengan cuaca panas tropikal.
Ia diikuti dengan kayuhan 90-km (56-batu) merentasi dua pusingan laluan berbasikal yang rata dan selesa di sepanjang pinggir pantai. Para atlet kemudiannya akan dicabar pula dengan larian terakhir sejauh 21.1-km (13.1-batu) menuju ke garis penamat di The Westin Desaru Coast Resort. Perlumbaan ini pastinya sengit dengan 60 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 tahun 2020 yang akan berlangsung dari 28-29 November 2020 di Taupō, New Zealand, menjadi buruan.
“Suasana pesta ini akan memberikan pengalaman perlumbaan unik buat semua atlet tidak mengira kebolehan mahupun usia mereka. Keindahan gabungan hutan dan laut juga menjadikan lokasi pertandingan ini seronok untuk para peserta nikmati sambil mereka berlumba. Dengan sokongan padu kerajaan Malaysia, kami berasa teruja untuk terus membawakan lebih banyak sukan lasak untuk disertai atlet-atlet di negara ini, sekaligus melahirkan lebih ramai atlet Malaysia menjadi ahli ‘Ohana (keluarga) IRONMAN,” kata CG Lim, yang merupakan Pengarah Serantau, Malaysia, IRONMAN Asia.
Desaru Coast, yang merupakan destinasi peranginan tepi pantai terbaharu di Malaysia, menampilkan rangkaian hotel dan resort terkemuka dunia, dua lapangan golf bertaraf kejohanan, sebuah pusat persidangan dan sebuah taman tema air. Destinasi ini dirahmati dengan cuaca sederhana dan berangin sepanjang tahun selain landskap semulajadi itu sedia mengalu-alukan kedatangan atlet-atlet dari seluruh dunia.
“Kami berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada Pesta Sukan Desaru Coast yang dibawakan oleh IRONMAN yang pertama di Asia dan amat mengalu-alukan bukan sahaja atlet-alet, malahan ahli keluarga dan sahabat mereka ke Desaru Coast. Dengan cuaca dan rupa buminya yang hebat, kami berharap dengan penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Pesta Sukan Desaru Coast yang dibawakan oleh IRONMAN ini akan menjulang reputasi Johor dan Desaru Coast selaku destinasi pelancongan sukan yang digemari di rantau Asia Tenggara,” kata Roslina Arbak, Ketua Pegawai Eksekutif, Desaru Development Holdings One Sdn Bhd (DH1).
Pesta Sukan Desaru Coast yang dibawakan oleh IRONMAN merupakan salah satu acara dalam jadual acara tahunan destinasi itu, yang terdiri daripada pelbagai acara istimewa berasaskan sukan, gaya hidup dan hiburan, kesemuanya direka secara ekslusif untuk memupuk reputsai Desaru Coast selaku destinasi pilihan bagi acara berprestij tinggi. Terletak di tenggara Semenanjung Malaysia, Laluan masuk ke Desaru Coast kini mudah melalui darat, laut mahupun udara dan menawarkan kepelbagaian pilihan percutian menarik yang tidak sahaja terhad kepada acara sukan berkaliber tinggi, malahan peluang yang tidak terhingga untuk para atlet dan pengunjungnya melepaskan diri daripada kesibukkan bandar.
IRONMAN 70.3 Desaru Coast dan 5150 Desaru Coast bakal menjadi acara ketiga dan keempat sirkit IRONMAN Asia yang berlangsung di Malaysia selepas IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi.
Pendaftaran untuk Pesta Sukan Desaru Coast yang dibawakan oleh IRONMAN kini dibuka. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ironman.com/70.3desaru and www.ironman.com/5150desaru.