Kuala Lumpur, 8 April 2017 – Lebih 1,200 pelari menyertai Chow Kit Run yang julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur. Kebanyakan daripada mereka memakai topeng, sejajar dengan tema larian – “Be a Hero for Every Child in the Country”.
Larian anjuran Yayasan Chow Kit bermula di Sekolah Kebangsaan Perempuan Jalan Batu dan sesi senamrobik telah diadakan untuk memanaskan badan sebelum pelari-pelari dilepaskan oleh para kenamaan yang hadir.
Tema bertopeng ini adalah sebahagian daripada perjuangan YCK untuk mengenalpasti pedofil. Secara simbolik dan artistik, pemakaian topeng adalah untuk membayangkan betapa susah untuk mengenalpasti pedofil di kalangan masyarakat umum.
Antara misi utama YCK adalah untuk memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada menjadi mangsa kepada pedofil. YCK sentiasa komited dalam menyediakan tempat perlindungan buat kanak-kanak di kawasan sekitar Chow Kit untuk bermain dan menimba ilmu.
Larian Chow Kit menampilkan dua kategori jarak – iaitu 6km dan 2km. Pelari-pelari berpeluang “menjelajah” sekitar kawasan Chow Kit yang ikonik.
Sebelum ini, tiada lagi larian yang menggunakan jalan-jalan di sekitar Chow Kit sebagai laluan. Pelari-pelari dapat melihat sendiri keunikan Chow Kit yang pernah menjadi tapak konsert gergasi Seniman Negara, Datuk Sudirman Hj Arshad.
Larian tidak bosan dengan adanya hiburan “live” dari penyanyi-penyanyi jalanan atau buskers.
Para peserta perlu melalui beberapa tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur seperti Sunway Putra Mall, Putra World Trade Center (PWTC) dan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kawasan rimbunan hijau di sekitar Bukit Tunku.
Seorang pelari memakai kostum Supergirl!
Terima kasih diucapkan kepada para sukarelawan yang sentiasa tersenyum sambil memberi sorakan kepada para pelari.
Peluang berselfie memang banyak sekali. Di sini dua wanita berhenti seketika daripada berlari untuk bergambar bersama buskers yang sibuk menghiburkan para peserta larian Chow Kit.
Walaupun sudah tamat larian, keseronokan masih tidak berhenti. Banyak aktiviti sampingan yang dianjurkan untuk orang ramai di tapak larian.
Setelah penat berlari dan lapar, para peserta boleh menjamu selera di gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
Kanak-kanak tidak kering gusi dihiburkan oleh persembahan silap mata.
Kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit turut tampil menunjukkan bakat menari mereka.
Suasana karnival diteruskan dengan cabutan bertuah dan persembahan pentas daripada artis-artis seperti Atilia Haron dan Neves dari Band Pretty Ugly.
Chow Kit Run dijayakan oleh Penaja Platinum ; TechnipFMC and Yayasan Sime Darby, Penaja Silver & Rakan Radio Rasmi; iM4U 107.9 FM, dan Penaja Bronze ValueCap Sdn Bhd.
Untuk melihat lebih banyak gambar-gambar dari Chow Kit Run 2017, sila klik DI SINI.