Kuala Lumpur, 19 April 2017 – Acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’ kembali lagi buat kali ke-17 pada Ahad, 14 Mei 2017. Acara tahunan ini diadakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada peserta yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental serta menawan puncak Menara Kuala Lumpur. Tahun ini, ianya bertemakan ‘Let’s Be Victorious’ bakal menyemarakkan lagi demam SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017.
Perlumbaan ini akan bermula di kawasan parkir terbuka Menara Kuala Lumpur di mana peserta perlu berlari mendaki bukit sejauh 800 meter sehingga ke lobi Menara Kuala Lumpur. Seterusnya, mereka perlu memanjat 2,058 anak tangga sehingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak 288 meter dari aras bumi.
“Sejak penganjuran kali pertama pada tahun 1998, rekod terbaik yang dicatatkan oleh peserta lelaki Malaysia setakat ini adalah 11 minit 56 saat, manakala peserta wanita Malaysia mencatatkan masa terbaik 14 minit 51 saat. Kami berharap peserta tempatan pada kali ini akan lebih kompetitif untuk memecahkan rekod yang tercipta sebelum ini”, kata Encik Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd.
“Istimewa pada edisi tahun ini, ia diadakan sebagai acara sokongan untuk menghangatkan lagi bahang SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017. Disamping itu, kami memperkenalkan satu lagi kategori baru iaitu Kategori Selebriti. Dimana kategori ini adalah diatas undangan khas dari pihak Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada para selebriti yang meminati sukan lasak dan ingin mencabar diri untuk bersama-sama mendaki 2,058 anak tangga di KL Tower. Ini bermakna, pada tahun ini, terdapat 9 kategori yang akan dipertandingkan”, tambah beliau lagi.
Untuk memeriahkan lagi KL Tower International Towerthon Challenge 2017, Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengadakan perlumbaan Bomba Tower Running yang akan diadakan pada pagi, 13 Mei sebagai acara sampingan.
Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga akan mengadakan pameran keselamatan, kenderaan penyelamat, flying fox, persembahan bina badan Mr. Wonderful, 90 minit tarian zumba tanpa henti, cabaran belia sihat, Explorace belia, Flash mob, pertandingan Hakka dan bermacam-macam lagi dari 13 hingga 14 Mei 2017.
Pada pagi 14 Mei, Kelab Pemilik Lamborghini Malaysia akan mengadakan pameran 11 buah kereta Lamborghini terpantas istimewa untuk peserta-peserta dan pelawat-pelawat KL Tower International Towerthon Challenge 2017. Mereka akan mempamerkan sejarah dan evolusi kereta Lamborghini ini. Peserta-peserta dan pelawat-pelawat disarankan agar mengambil peluang untuk mengenali kereta Lamborghini yang terpantas ini secara lebih dekat lagi.
Setelah 16 tahun penganjurannya, acara berprestij ini telah menjadi acara sukan lasak utama Menara Kuala Lumpur dan ia bertepatan dengan aspirasi Menara Kuala Lumpur untuk mempromosikannya Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi Kebudayaan (Culture), Aktiviti Lasak (Adventure) dan Alam Semulajadi (Nature).
Peserta mestilah berumur 13 tahun dan keatas. Yuran penyertaan sebanyak RM80 bagi peserta dewasa, RM40.00 bagi pelajar sekolah dan RM110.00 bagi peserta dari luar negara Manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran penyertaan adalah percuma. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 5 Mei 2017.
Pelbagai hadiah lumayan dan menarik boleh dimenangi para peserta, dimana secara keseluruhannya bernilai RM48,500.00. Rekod Masa Terbaik bagi individu lelaki dan wanita Malaysia juga akan memenangi wang tunai tambahan sebanyak RM2,000.00 setiap seorang.
Kepada para peminat acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’, anda masih berpeluang untuk mendaftar dengan cara menghubungi talian 03-20205448 / 03-20205499 atau layari laman sesawang kami di www.menarakl.com.my untuk maklumat selanjutnya.
Rakan acara untuk KL Tower International Towerthon Challenge 2017 adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Biro Pelancongan Kuala Lumpur (KLTB), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Bomba, New Balance, 100 Plus, Momawater, Celebrity Fitness, Adabi, FAMA, Majalah Running Malaysia, Galderma, Persatuan Seniman Malaysia dan Kelab Pemilik Lamborghini Malaysia.