
Kuala Lumpur, 16 Mei 2025 – adidas hari ini mengumumkan edisi terkini inisiatif tahunan globalnya, Move For The Planet, yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya tahan kemudahan sukan terhadap kesan cuaca ekstrem di seluruh dunia. Dengan menggalakkan para atlet menjejak pergerakan mereka, dana akan dikumpulkan untuk menyokong penyampaian pendidikan kelestarian dan menambah baik kemudahan sukan.
Bermula dari 12 hingga 25 Mei 2025, adidas akan menyumbangkan €1 bagi setiap sepuluh minit aktiviti fizikal yang direkodkan di aplikasi adidas Running – dan buat pertama kali, juga melalui Strava – sehingga mencapai jumlah maksimum €1.5 juta – yang akan disalurkan kepada beberapa projek di seluruh dunia. Peserta boleh memilih daripada lebih 100 jenis sukan dan aktiviti yang boleh dijejak, termasuk larian, renang dan ragbi kerusi roda – menambah kepada lebih 400,000,000 minit pergerakan yang telah direkodkan sejak inisiatif ini dilancarkan pada 2023.

Dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Common Goal dan UN Climate Change, adidas akan menyalurkan dana yang dikumpulkan untuk melaksana dan menaik taraf infrastruktur sukan bagi komuniti yang terkesan oleh cuaca ekstrem. Ini termasuk penyediaan kemudahan tahan cuaca seperti sistem penuaian dan penulenan air untuk projek United Through Sport di Afrika Selatan serta proses pengurusan sisa seperti sistem yang dilaksanakan melalui Enabling Leadership di India.
Dana yang dikumpulkan juga akan membuka akses kepada platform pendidikan bagi NGO dan organisasi global, untuk membolehkan perkongsian ilmu mengenai tindakan kelestarian – memanfaatkan kuasa sukan untuk membantu memastikan kesinambungannya dalam komuniti. Tahun ini, dana tersebut akan memberi impak langsung kepada projek seperti Girls United di Mexico, El Rio di Colombia, Red Deporte di Sepanyol dan United Through Sport di Afrika Selatan.
Sejak pelancarannya, Move For The Planet telah memperkenalkan program pendidikan kelestarian kepada lebih 8,000 individu dan lebih 23,000 orang telah dapat mengakses kemudahan sukan yang telah ditambah baik melalui semua projek yang terlibat.

Ashley Czarnowski, Pengarah Kanan, Pemasaran Tujuan Global adidas berkata: “Kami teruja untuk membawa kembali Move For The Planet untuk tahun ketiga. Ia adalah inisiatif penting yang menyokong komuniti sukan dalam menghadapi kesan cuaca ekstrem. Dengan peluasan aktiviti dan projek yang disertakan dalam Move For The Planet, kami teruja untuk menyaksikan pergerakan dan impaknya terus berkembang lebih besar. Tahun ini, kami menyeru komuniti adidas untuk menjadi pemangkin perubahan; menyemarakkan semangat orang sekeliling untuk turut serta dan bergerak bersama.”
Untuk menginspirasi lebih banyak pergerakan, adidas turut memperkenalkan barisan atlet global yang menyertai inisiatif Move For The Planet buat pertama kalinya, antaranya juara Piala Dunia FIFA Alexis Mac Allister, Juara Downhill Mountain Bike World Cup Valentina Höll, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Ferdinand Omanyala serta jurulatih kesihatan dan kecergasan terkenal, Massy Arias. Mereka tampil dalam siri filem pendek yang diilhamkan daripada pertalian peribadi mereka dengan kemudahan sukan asas, di mana setiap atlet mewakili komuniti yang bergantung kepada kemudahan tersebut dan peranan pentingnya dalam membentuk generasi atlet masa depan.
Rute Caldeira, Ketua Impak di Common Goal berkata: “Move For The Planet menyerlahkan kekuatan kerjasama dalam memacu tindakan segera yang diperlukan untuk menjadikan kemudahan sukan lebih berdaya tahan. Kerjasama ini amat bernilai bagi kami kerana ia menggabungkan inovasi dengan impak sebenar. Pendekatan yang memanfaatkan organisasi sukan-demi-kebaikan, yang berakar umbi dalam komuniti masing-masing, merupakan strategi yang mengubah pendekatan kami dalam mencapai matlamat ini. Sepanjang dua tahun lalu, Move For The Planet telah menghasilkan perubahan yang ketara, membawa penambahbaikan sebenar dan berkekalan kepada beberapa kawasan yang paling terhad sumber di dunia. Kami amat berbesar hati untuk meneruskan usaha penting ini ke tahun ketiga, demi membina masa depan yang lebih cerah buat komuniti yang paling memerlukannya.”
Lindita Xhaferi-Salihu, Ketua Tindakan Iklim untuk Sukan di UN Climate Change, berkata: “Kerjasama ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan tindakan kelestarian dalam komuniti sukan dengan menghimpunkan pelbagai kepakaran serta amalan terbaik kepada organisasi dan NGO sukan. Melalui perkongsian pandangan dan keperluan serta kerjasama dalam penyelesaian, kita dapat mencipta perubahan positif, memperkuat komuniti, dan mencipta impak yang berkekalan menerusi sukan.”
Sempena Move For The Planet, adidas Malaysia memperkenalkan TRACK & TAG – sebuah pengalaman eksklusif pencetakan peribadi menggunakan teknologi heat press yang tersedia di adidas Brand Centre Pavilion Kuala Lumpur dan adidas Brand Centre Sunway Pyramid. Pelanggan yang telah merekodkan sekurang-kurangnya 300 minit pergerakan sepanjang Fasa Penjejakan layak menebus sehelai t-shirt peribadi dengan jumlah minit mereka, dan boleh menaik taraf rekaan dengan pembelian Move For The Planet Pack (mengandungi 1x vinil kecil, 1x vinil besar dan 1x aksesori) pada harga RM79. Perkhidmatan TRACK & TAG akan disediakan dari 26 hingga 30 Mei 2025, sementara stok masih ada.
Sebagai tambahan, adidas Runners Kuala Lumpur akan menganjurkan acara komuniti khas untuk menyokong inisiatif ini:

LARIAN PAGI MOVE FOR THE PLANET
Tarikh: Sabtu, 17 Mei 2025
Masa: 6:30 pagi – 9:30 pagi
Tempat: Laman Indera Kayangan, Marina Putrajaya
Program: Larian Jarak Jauh Perlahan (LSD)
LARIAN MALAM MOVE FOR THE PLANET
Tarikh: Khamis, 22 Mei
Masa: 7:30 malam – 10:30 malam
Tempat: Bijou Cafe, Ara Damansara
Program: Larian Mudah 5.5KM atau Jalan Santai
Para peserta boleh mendaftar untuk Move For The Planet melalui langkah-langkah yang diterangkan dalam aplikasi adidas Running atau untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, sila layari www.adidas.com/movefortheplanet.
