Home / Artikel Menarik / 5 Petua Bersaing Secara Berhemah dan Sihat

5 Petua Bersaing Secara Berhemah dan Sihat

hijabi runner

Di mana ada perlumbaan, di situlah ada persaingan. Dengan adanya persaingan, sepatutnya kita akan menjadi lebih gigih, berdaya saing dan lebih komited. Sebaliknya, jika tiada persaingan, keadaan ini boleh menyebabkan kita alpa dan merasakan diri adalah yang terbaik kerana sentiasa berada dalam zon selesa.

Di sini dicadangkan beberapa petua berjaya untuk berhadapan dengan suasana persaingan, di dalam atau di luar arena perlumbaan.

l. Bersaing adalah ibadah
Di samping solat, puasa dan ibadah khusus yang lain, kerja yang kita laksanakan juga sebenarnya adalah ibadah. Ini bermakna, apabila wujudnya persaingan dalam bekerja, ia menunjukkan masing-masing sedang berusaha dan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah yang terbaik. Ini selaras dengan dorongan daripada firman Allah SWT: “..Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”(Surah Al-Baqarah : 148)

 
2. Minda yang betul
Kejayaan adalah satu permainan minda. Ungkapan ini menggambarkan betapa perlunya kita memiliki minda yang betul.

Kita perlu membuat penetapan dan kelaziman minda bahawa pesaing adalah rakan yang akan membantu kita untuk lebih menyerlahkan potensi dan kekutan diri untuk menjadi lebih cemerlang. Budaya minda betul ini mudah untuk diucapkan. Tetapi untuk mencetuskan pemikiran yang positif melalui tindakan memerlukan ikhtiar berterusan.

Lalu setiap kegagalan perlu diubah sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan diri seperti kata pujangga ‘kita tidak pernah kalah cuma apa yang kita alami sekarang adalah satu kemenangan yang tertangguh’.

Lihatlah dan belajarlah dari kehebatan pesaing, bukannya kelemahan yang ada kepada mereka. Ini untuk bangunkan potensi diri agar lebih hebat dari pesaing-pesaing yang ada. Hikmah atau kebijaksanaan itu perlu dipelajari, walaupun dari musuh kita sendiri.

Nabi SAW bersabda:
“Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

 
3. Pesaing bukannya musuh
Bersaing dengan orang lain perlu dilihat dalam konteks menjadikan mereka sebagai rakan dan bukannya lawan dalam erti kata sebenar. Gunakan pesaing-pesaing anda sebagai pendorong untuk meningkatkan prestasi pecutan. Semakin kuat larian pelumba-pelumba lain, maka semakin pantas pecutan dibuat dengan sepenuh tenaga. Situasi ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Kehebatan yang ada kepada pesaing dianggap sebagai pendorong untuk meningkatkan potensi diri agar menjadi lebih hebat.

 
4. Diri sebagai pesaing utama
Kegagalan yang sebenar ialah apabila kita tewas untuk bersaing dengan diri sendiri. Pesaing sebenar adalah diri kita sendiri. Ukuran sebuah kemenangan adalah apabila kita mampu meningkatkan kualiti diri lebih baik daripada semalam.

Kita seharusnya tidak perlu iri hati atau cemburu terhadap kejayaan orang lain. Kalah sekali tidak bererti kalah untuk selama-lamanya. Asalkan kita mempunyai iltizam untuk berjaya dan memperbaiki kelemahan diri, kejayaan pasti diperoleh. Seharusnya, kita perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Jadikannya pendorong untuk terus berusaha dan menonjolkan kemampuan anda bagi tugasan yang berikutnya.

 
5. Perancangan yang strategik
Untuk menguruskan sesuatu persaingan, kita memerlukan kepada perancangan yang strategik dengan memilih tindakan yang terbaik untuk respons kepada persekitaran yang dinamik.

Kita perlu bijak untuk mencari peluang baru dan teknik baru dalam latihan. Belajarlah daripada pesaing-pesaing untuk mencapai prestasi lebih tinggi. Apabila kita gagal untuk merancang, sebenarnya, kita merancang untuk gagal.

Demikianlah beberapa petua untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing. Walau apa pun tindakan yang kita ambil, pastikan kita benar-benar mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri.

Diadaptasikan untuk pelari dari Bicara Agama, Utusan Online.

Check Also

Uji Had Kecergasan Anda di UNDER ARMOUR COMBINE

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, 20 September 2024 – Under Armour mengumumkan kembalinya UA …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!