Dengan pembukaan Taman Tugu, anda tidak lagi perlu keluar dari pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk menikmati keindahan alam hutan malar hijau Tropika. Laluan hutan di Taman Tuga yang kini dibuka untuk orang awan terletak di tengah-tengah ibu negara tetapi terasing daripada hiruk pikuk kota.
Taman Tugu diwujudkan sebagai usaha memperjuangkan pemeliharaan dan pemuliharaan ruang hijau. Ia juga menyediakan pelbagai kemudahan riadah untuk orang ramai.
Jom kita baca serba sedikit panduan untuk kemudahan anda sebelum menjejakkan kaki ke sana.
1. Percuma
Sesiapa pun boleh masuk ke dalam trail ini tanpa dikenakan bayaran.
2. Waktu Buka
Taman Tugu dibuka dari 7 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.
3. Berhampiran Tugu Negara
Taman Tugu terletak ke utara Taman Botani Perdana dikelilingi oleh Tugu Negara di sebelah barat daya, Padang Merbok di arah tenggara dan Lanai Kijang Bank Negara di sebelah timur tapak. Kawasan ini bersempadankan Taman Botani Perdana dan terpisah hanya oleh Jalan Parlimen dan boleh dianggap sebagai penambahan kepada ruang hijau tersebut.
Kawasan-kawasan yang disebutkan di atas adalah mesra-pelari, dengan laluan untuk larian pendek dan juga LSD.
4. Trail/ Denai
Dibuka sejak September 2018, Taman Tugu menampilkan satu laluan hutan utama sejauh kira-kira 1 km (Dari CP1 ke CP19). Jadi pergi balik, anda boleh mendapatkan larian sejauh 2km. Tetapi taman ini mempunyai banyak laluan sekunder untuk diterokai.
Laluan-laluan di taman ini telah dilabel dengan papan tanda yang jelas. Jadi, jangan bimbang akan tersesat.
Pelbagai binaan yang didirikan di Taman Tugu juga mengunakan bahan yang dikitar semula. Lebih 4,000 pokok dari 250 spesies akan ditanam untuk menarik lebih banyak fauna bagi menjadikan Taman Tugu sebagai habitat baharu.
5. Peraturan & Larangan
Sila rujuk papan tanda di atas.
6. Kasut/ Pakaian
Gunakan pakaian riadah yang sesuai dan kasut trail/ trekking bertapak getah yang mempunyai daya cengkaman kuat. Semburkan penghalau serangga (insect repellent) untuk menjauhi nyamuk dan serangga lain.
7. Mesra Kanak-kanak
Dilaporkan kanak-kanak yang termuda yang pernah melalui laluan hutan ini berumur dua tahun. Taman Tugu menjadi lokasi terbaharu untuk riadah sekeluarga sambil mendidik generasi muda mengenai hutan dan kelestarian alam. Terdapat buaian dan tempat duduk untuk berehat di dalam laluan hutan.
8. Bagaimana ke sini
Jika anda memandu atau menggunakan Grab, cari lokasi “Taman Tugu Nursery” di dalam aplikasi peta Google atau Waze. Ia akan membawa anda ke pintu masuk laluan hutan – Taman Tugu Nursery Entrance.
Tempat letak kereta yang terdekat adalah di PPTD, bersebelahan dengan pintu masuk tapak semaian Taman Tugu.
Sebagai alternatif, anda boleh meletak kereta di tempat letak kereta Padang Merbok, 12-15 minit untuk berjalan ke Taman Tugu.
Anda juga boleh meletak kereta di Lake Gardens Multi-Storey Carpark., juga 12-15minit untuk berjalan ke Taman Tugu.
Stesen LRT yang paling dekat adalah Masjid Jamek, kira-kira 2 km dari Taman Tugu.
9. Kemudahan Awam
Terdapat beberapa kemudahan awam di dalam taman ini termasuk The Forest House untuk tujuan pendidikan yang dilengkapi meja, kerusi, air minuman dan tandas. Semasa lawatan kami, terdapat payung dan tongkat disediakan di sini.
10. Akan Datang
Sebuah tapak perkhemahan akan dibangunkan di Taman Tugu bagi membolehkan warga kota menikmati keindahan hutan hujan di tengah-tengah bandar raya. Dijangka 4km laluan denai akan dibuka untuk orang awam menjelang bulan Disember tahun ini.
Untuk maklumat lanjut tentang Taman Tugu, sila layari http://tamantuguproject.com.my/bm/
Kredit foto: Rudy Irwan dan #jomkitalari