Home / Artikel Menarik / 10 Langkah Cegah Pecah Kereta & Apa Yang Perlu Dibuat Jika Ia Terjadi

10 Langkah Cegah Pecah Kereta & Apa Yang Perlu Dibuat Jika Ia Terjadi

pecah kereta

Saban masa kita dikejutkan dengan berita kejadian pecah kereta di acara larian. Kereta-kereta pelari memang menjadi sasaran kerana pencuri tahu yang pelari akan tinggalkan kereta mereka dengan lama; mungkin berjam-jam untuk acara marathon atau ultra.

Adakah anda perlu berserah begitu sahaja? Jangan jadi mangsa! Ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan secara proaktif untuk menyelamatkan kereta anda dan barangan yang ada di dalamnya daripada dikebas pencuri.

1. Rancang tempat letak kereta terlebih dahulu
Luangkan sedikit masa untuk merancang hari perlumbaan anda. Pastikan anda ketahui kawasan yang dikhaskan untuk letak kereta daripada program acara. Datanglah lebih awal supaya anda dapat memilih tempat letak kereta yang lebih selamat.

2. Letak kereta di tempat yang selamat
Pilih kawasan yang ramai orang dan terang. Jika boleh, letak kereta di lapangan kereta yang mempunyai attenden dan pegawai keselamatan. Elakkan kereta anda daripada terlindung oleh kenderaan besar, pagar, belukar dan sebagainya.

3. Kunci kereta anda
Pastikan anda menutup tingkap dan mengunci pintu kereta anda. Hampir 25% daripada kes kecurian dalam kereta adalah berpunca dari kereta yang tidak dikunci.

4. Pasangkan penggera
Alat penggera boleh mencegah kecurian. Dapatkan sistem penggera mempunyai paparan seperti lampu berkelip. Pencuri biasa akan mencari sasaran lain yang lebih menjimatkan masa.

5. Sorokkan barangan berharga
Banyak kes pecah curi adalah berpunca dari kesempatan. Jangan memudahkan kerja pencuri. Kalau sayangkan barang-barang anda, letakkan segala barangan yang berharga seperti peranti GPS, smart tag, beg, kasut, alatan sukan seperti raket tenis dan sebagainya di dalam but belakang. Jangan letakkan di dalam kotak depan atau di bawah tempat duduk kerana pencuri tahu dan mudah menyelongkar tempat tersebut.

6. Tinggalkan barangan berharga di rumah
Tak payahlah nak bawa komputer riba, tablet, wang tunai yang banyak, barang kemas untuk pergi berlari. Simpan sahaja elok-elok di rumah.

7. Jangan berikan kunci kepada pencuri
Jangan tinggalkan kunci pendua di dalam kereta. Bawakannya bersama anda untuk mengelakkan kereta anda dicuri.

8. Simpan barangan anda sebelum sampai
Pencuri yang berpengalaman biasanya akan memerhatikan mangsa-mangsa mereka meletakkan barangan ke dalam but kereta. Jika anda terpaksa membawa barangan bernilai seperti komputer riba, beg dokumen dan peralatan elektronik, simpankan sebelum anda tiba di tempat letak kereta. Jangan tinggalkan aksesori yang boleh mengundang pencuri seperti wayar pengecas, adapter kuasa komputer, pemegang GPS di tempat terdedah di dalam kereta.

9. Laporkan kegiatan yang mencurigakan
Jika anda ternampak individu-individu yang mencurigakan, pandulah ke tempat yang lain dan laporkan kepada attenden atau polis. Anda boleh mencegah kes kecurian sebelum ia berlaku kepada orang lain.

10. Ambil langkah pencegahan tambahan
Banyak kereta yang dipecah masuk dengan tujuan untuk mencuri kereta itu sendiri. Peralatan pencegah kecurian seperti kunci stereng, kunci gear, kunci pedal brek dan sebagainya boleh menjadi senjata anda untuk mengelakkan kes pecah kereta.

Apa yang anda harus lakukan jika kereta anda dipecah masuk juga?

1. Bawa bertenang dan hubungi pihak polis.

2. Sementara menunggu ketibaan polis, ambil gambar kereta – plet nombor, tingkap yang pecah dan sebagainya untuk membuat tuntutan insuran. Senaraikan barangan yang dicuri.

3. Apabila polis tiba, beritahu mereka apa yang terjadi – di mana ia terjadi, waktu anda tinggalkan kereta, waktu anda kembali,barangan yang hilang dan sebagainya.

4. Anda masih perlu pergi ke balai polis yang terdekat untuk membuat laporan. Laporan wajib dibuat dalam Bahasa Malaysia sahaja.

5. Pastikan laporan polis anda dicop dengan alamat balai polis dan pegawai yang bertanggungjawab kerana laporan anda tidak sah jika tidak dicop.

6. Hubungi syarikat insurans untuk membuat tuntutan dan mengenal pasti bengkel yang telah tetapkan untuk membaiki kerosakan. Setelah mengemukakan borang tuntutan kecurian, anda perlu terus berhubung rapat dengan syarikat insurans atau wakilnya semasa siasatan polis dijalankan. Harus diketahui bahawa tuntutan insurans hanya untuk kerosakan yang terjadi kepada kereta anda dan bukan untuk barang milik peribadi yang hilang. Oleh itu, seelok-eloknya jangan tinggalkan barangan berharga di dalam kereta.

#jomkitalari

Check Also

SHOKZ Lancar Fon Kepala OPENRUN PRO2 dengan Teknologi DualPitch™

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, Malaysia, 23 September 2024 – Jenama elektronik pengguna terkemuka …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!