Edisi baru Mizuno Wave Shadow 2 menampilkan upper yang diperbaharui dengan fabric mesh yang ringan, telus udara dan lebih selesa. Ia adalah kasut versatil bagi pelari berkaki neutral, dengan midsole berkusyen tanpa mekanisma pembetul pronasi. Sama seperti edisi terdahulunya, Mizuno Wave Shadow 2 adalah ringan dan responsif untuk kegunaan latihan atau berlumba di jalan raya.
Fabric mesh dengan liang-liang yang agak besar di bahagian depan memberi keselesaan kepada si pemakai. Liang-liang telus udara membenarkan peluh menyejat dan haba keluar dengan lebih pantas. Kolar dan lidah kasut adalah berkusyen lembut untuk keselesaan tambahan. Bahagian upper ini, walaupun fleksibel, mendakap bahagian depan dengan agak ketat. Jadi, kami sarankan anda mencuba dahulu kasut ini di kedai untuk mendapatkan fit yang sempurna sebelum membelinya.
Sistem Dynamotion Fit yang bersambung dengan sistem tali kasut bertindak sebagai pendakap kaki dan mengunci posisi kaki dengan stabil semasa dalam larian.
Tapak tengah (Midsole) kasut menggunakan teknologi U4ic (Sebutan: Euphoric) yang merupakan foam yang memberikan daya kusyen untk setiap langkah, dan mengurangkan impak apabila kaki mencecah tanah.
Ia juga dilengkapi teknologi Cloundwave, dari mana Mizuno Wave mendapat namanya – satu lapisan termoplastik di bahagian belakang kasut yang berbentuk ombak. Lapisan ini bertindak dengan memberikan stabiliti kepada kaki dan membantu menyebarkan daya gegaran semasa kaki mendarat.
Tapak luaran (outsole) Wave Shadow 2 diperbuat daripada getah pepejal X10, satu kompaun yang direka untuk mampu menahan geseran dan memberikan cengkaman semasa berlari.
Corak dan alur di bahagian tapak luar memberikan cengkaman yang lebih padu dengan setiap langkah.
Mizuno Wave Shadow 2 boleh didapati untuk lelaki dan perempuan.
Kesimpulannya, jika anda inginkan sepasang kasut yang versatil untuk kegunaan latihan dan berlumba, sila pertimbangkan Mizuno Wave Shadow 2. Daya kusyennya adalah sederhana dan tidak “memberatkan” kaki. Kami telah mencubanya untuk larian 5km dan 10km tanpa sebarang masalah.
Walaupun ringan, strukturnya yang stabil dan responsif membolehkan si pemakai bergerak sepantas bayang-bayang – seperti namanya, Wave Shadow 2.
Mizuno Wave Shadow 2 boleh didapati dengan harga RM539 sepasang di kedai-kedai World of Sports.