Cyberjaya, 15 Januari 2017 – Pelari dari segenap lapisan masyarakat berkumpul di Cyberjaya hujung minggu ini untuk mengambil bahagian dalam Cyberjaya Twincity Marathon yang ketiga, merangkumi laluan di Cyberjaya dan Putrajaya.
Acara larian marathon ini adalah acara komuniti signatur yang dianjurkan oleh Cyberview Sdn Bhd, hab pelaksana teknologi untuk mengangkat Cyberjaya kepada Hab Teknologi Global.
“Tahun ini adalah penting bagi kami kerana kami berjaya mencapai jumlah pelari berdaftar yang tertinggi dalam penganjuran acara ini sejak tiga tahun lalu,” kata Dato’ Faris Yahaya, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd.
Marathon ini menarik 7,500 pelari tahun ini, satu peningkatan yang besar berbanding dengan tahun-tahun lampau iaitu 4,500 pada tahun 2014 dan 5,000 di tahun 2016.
“Objektif kami dalam penganjuran acara Twincity Marathon ini adalah untuk membina satu platform untuk menggalakan gaya hidup yang sihat di kalangan warga Malaysia.” ujar Dato’ Faris.
“Cyberview menumpukan perhatian untuk membangunkan ekosistem untuk individu, syarikat dan startup untuk menuju dan mengangkat Cyberjaya sebagai sebuah bandar pintar. Tetapi kita harus sedar bahawa transformasi kepada sebuah bandar pintar juga harus mempertimbangkan faktor kediaman. Walaupun sebuah bandar dihubungi oleh jaringan digital, kesejahteraan penduduknya juga adalah amat penting,” tambah Dato’ Faris.
Menurut Dato’ Faris, berlari adalah sukan yang didorong oleh komuniti dan boleh mengeratkan perpaduan sesama insan dari pelbagai laisan masyarakat.
“Pada saya, berlari adalah teras kepada segala sukan. Langkah demi langkah, tanpa mengira anda berlari seorang diri atau bersama rakan, anda sedang melakukan satu aktiviti yang memanfaatkan kesejahteraan diri anda,” kata Dato’ Faris.
Hadiah berjumlah lebih RM21,000 ditawarkan kepada pemenang dalam empat kategori untuk jarak yang berbeza. Wang tunai RM1,000 dihadiahkan kepada juara marathon penuh (42km) dalam empat kategori yang dipertandingkan.
Half marathon adalah kategori yang paling popular dengan penyertaan seramai 2,400 pelari. Twincity Marathon juga menawarkan jarak 12km dan 5km untuk pemula dan pelari ceria.
Antara penaja utama Cyberjaya Twincity Marathon tahun ini adalah Limkokwing University of Creative Technology, Setia Haruman Sdn Bhd, Prestariang dan Disitu Holdings Sdn Bhd.