
Pasir Gudang, 13 April 2026 – SMK Kota Masai terus membuktikan dominasi apabila mengekalkan kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut dalam Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pasir Gudang yang berlangsung di Tanjung Puteri Golf Resort.
Kejohanan yang dianjurkan di bawah pengurusan PPD Pasir Gudang itu menghimpunkan atlet pendidikan khas dari seluruh daerah. Suasana berlangsung dengan penuh meriah serta semangat kesukanan tinggi, walaupun terdapat persaingan sengit dalam kalangan peserta.
Dalam acara individu, Nur Aida Najma Norazman berjaya meraih tempat pertama bagi kategori perempuan bawah 15 tahun (B15), manakala Safiy Humaira Mohd Safizal turut cemerlang apabila muncul johan bagi kategori perempuan bawah 19 tahun (B19).
Jurulatih pasukan, Cikgu Ashrul Haron, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil disiplin tinggi, latihan berterusan serta komitmen luar biasa para atlet sepanjang persediaan menghadapi kejohanan.
“Alhamdulillah, ini adalah hasil kerja keras semua atlet yang tidak pernah berputus asa. Sokongan pihak sekolah dan ibu bapa juga menjadi pemangkin utama kejayaan ini,” katanya.
Pengetua SMK Kota Masai, Cikgu Subramaniyan Dorasamy, pula menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai bukti kemenjadian murid melalui bidang sukan. Beliau berkata, kejayaan berterusan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan sukan sekolah, malah menunjukkan keberkesanan usaha membentuk sahsiah, disiplin dan keyakinan diri dalam kalangan murid pendidikan khas.
“Kejayaan ini adalah hasil budaya sekolah yang menekankan kemenjadian murid secara holistik. Sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi medium membina jati diri dan semangat tidak mudah mengalah,” katanya.
Tambah beliau lagi, SMK Kota Masai akan terus komited memperkasa pembangunan sukan sebagai salah satu platform utama melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan reputasi SMK Kota Masai sebagai antara kuasa besar dalam sukan pendidikan khas di peringkat daerah Pasir Gudang. Bagi penganjuran kali ini, kategori Prasekolah PPKI turut mewarnai kemeriahan kejohanan, sekali gus memberi ruang untuk mencungkil bakat muda yang bakal menjadi penerus atlet di pentas tertinggi.
Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSS Johor pula akan berlangsung pada 22 April 2026 yang akan menghimpunkan ramai atlet berbakat dari seluruh pelosok negeri Johor. Selain itu, Johor juga akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas peringkat kebangsaan (MSSM) yang dijadualkan pada 20 Mei 2026 di bawah pengelolaan Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Artikel sumbangan: Rozak Hadi
