Home / Berita Terkini / Shamrock Run Malaysia 2025: Larian Ceria Raikan Persahabatan Malaysia – Ireland

Shamrock Run Malaysia 2025: Larian Ceria Raikan Persahabatan Malaysia – Ireland

Pelepasan peserta kategori 5km

Putrajaya, 29 Jun 2025 — Selepas lima tahun menyepi, Shamrock Run Malaysia akhirnya kembali dengan edisi keenam yang dinanti-nantikan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014. Bertempat di kawasan indah Taman Wetland Putrajaya, acara larian santai ini menghimpunkan kira-kira 600 peserta dalam satu perayaan persahabatan dan kepelbagaian budaya antara Malaysia dan Ireland.

Shamrock Run Malaysia 2025 turut mengalu-alukan penyertaan individu yang kelainan upaya.

Dianjurkan oleh Persatuan Alumni Ireland Malaysia dengan sokongan erat daripada Kedutaan Ireland di Malaysia, Shamrock Run 2025 menandakan kemunculan semula selepas terhenti akibat pandemik COVID-19. Larian ini bukan bersifat kompetitif, malah terbuka kepada semua — sama ada pelari tegar, keluarga, rakan-rakan, bahkan individu kelainan upaya — dengan pilihan laluan sejauh 5KM atau 10KM.

TYT Orla Tunney, Duta Ireland ke Malaysia (kedua dari kanan) turut menyertai acara 5km selepas melepaskan para peserta larian. Beliau diiringi oleh Hafidz Kosai bin Mohd Zihim, Presiden Persatuan Alumni Ireland Malaysia (ketiga dari kanan) dan Pengarah Urusan O’Briens Irish Sandwich Café, Encik Brian Pua (hujung kanan).

Para peserta telah dilepaskan oleh TYT Orla Tunney, Duta Ireland ke Malaysia, yang menekankan semangat keterangkuman acara ini:

“Shamrock Run menyatukan rakyat Ireland dan Malaysia dalam suasana yang ceria dan santai. Semua dialu-alukan — sama ada pelari tegar, peserta santai mahupun mereka yang kurang mobiliti. Ini adalah hari untuk kita bergerak, bergembira dan meraikan kebersamaan.”

Salah seorang peserta yang memenangi hadiah pakaian paling kreatif.

Salah satu sorotan utama Shamrock Run ialah sambutan terhadap kreativiti dan ekspresi budaya. Peserta digalakkan berpakaian bertemakan budaya Malaysia dan Ireland, dan 35 peserta yang paling kreatif membawa pulang hadiah istimewa — menambah keceriaan sepanjang acara.

Medal Eksklusif: Lambang Dua Dunia Bersatu

Rekaan unik medal penamat Shamrock Run Malaysia 2025.

Menurut Hafidz Kosai bin Mohd Zihim, Presiden Persatuan Alumni Ireland Malaysia, medal edisi 2025 menampilkan rekaan unik:

“Buat pertama kali, medal penamat kami menampilkan mercu tanda Malaysia yang ikonik iaitu Menara Merdeka 118 dan Menara Berkembar KLCC yang mengapit maskot Leprechaun — lambang tidak rasmi Ireland — bersama bunga raya dan juga shamrock. Ia benar-benar simbolik, menyatukan kedua-dua negara dalam satu rekaan eksklusif.”

Para peserta yang menceriakan suasana larian dengan memakai pakaian beragam .

Setiap peserta menerima kemeja-T acara, nombor bib, dan medal penamat istimewa. Sebaik tamat larian, peserta disambut dengan hidangan ringan daripada O’Briens Irish Sandwich Café selaku rakan utama acara — satu sentuhan gastronomi Ireland yang membangkitkan lagi semangat muhibah.

Para pemenang pakaian paling kreatif bersama barisan pihak penganjur Shamrock Run Malaysia 2025.

Shamrock Run Malaysia 2025 membuktikan kekuatan kolaborasi antara komuniti Ireland dan Malaysia dalam mempromosikan gaya hidup sihat sambil mengeratkan silaturahim. Ia bukan sekadar larian, tetapi acara yang meraikan keunikan dua budaya dalam suasana yang penuh ceria.

Foto oleh: ActionPix Malaysia

Check Also

7,000 Peserta Meriahkan Pos Malaysia Run 2025 di Stadium Merdeka

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, 26 November 2025 – Lebih 7,000 peserta membanjiri Stadium …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!