Kuala Lumpur, 17 Oktober 2017 – Bahang Sukan Komanwel 2018 semakin terasa apabila Baton Ratu (Queen’s Baton) Sukan Komanwel tiba di Kuala Lumpur. Berada di Kuala Lumpur selama empat hari, Malaysia menjadi negara ke 54 penjelajahan Larian Baton Ratu Sukan Komanwel 2018 selepas Sri Lanka sebelum terbang ke Brunei Sabtu ini.
Seperti tradisi sebelumnya, tuan rumah temasya akan menganjurkan Larian Baton Ratu untuk menjelajah setiap negara Komanwel.
Hampir 300 peserta termasuk pemenang pingat Sukan Komanwel terdahulu, menyertai Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) yang berlangsung dalam suasana meriah di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Larian sejauh 1.3 kilometer mengelilingi stadium itu bermula di Dataran Keris dan melibatkan lima kumpulan antaranya badan induk sukan negara, delegasi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dan pemenang pingat terdahulu serta atlet kebangsaan.
Larian dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi bersama 60 kakitangan mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil sejauh 1.2 kilometer sebelum diserahkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Datuk Ahmad Shapawi turut disertai atlet negara antaranya termasuklah Farah Ann Abdul Hadi, Tracey Ng, Nur Eli Ellina Azmi (gimnastik), Johnathan Wong, Muhd Izuan Nasir Khan (menembak), Jong Yee Khie (Powerlifting) Muhammad Afiq Afifiy Rizan (Para Cycling) dan Muhd Afiq Mohd Ali Hanafiah (Para Olahraga).
Pelari-pelari dari komuniti larian tempatan juga dijemput oleh Queensland Tourism untuk memeriahkan Larian Baton Ratu, termasuk pelari marathon terkenal, Edan Syah.
Larian ini juga disertai beberapa personaliti Astro Arena, antaranya Zainal Abidin Rawop dan Hasnizam Uzir.
Baton Ratu adalah dilengkapi sistem pengesan kedudukan global (GPS) yang membolehkan pengesanan baton 24 jam sehari menerusi Internet sepanjang menjelajah seluruh dunia.
Selain itu, Sarina Sundara Rajah dan Datuk Mirnawan Nawawi antara lagenda sukan negara yang pernah beraksi pada Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur turut dijemput untuk berlari sambil memegang Baton Ratu.
Malaysia dijangka menghantar jumlah kontinjen terbesar bagi temasya Komanwel dengan 98 slot sudah pun disahkan setakat ini.
Baton Ratu akan sejauh 230,000 km selama 388 hari melalui 70 negara Komanwel sebelum tiba di Australia, di mana mesej Ratu Elizabeth II tersebut akan dibaca pada majlis pembukaan rasmi CG2018 pada 4 April, tahun depan.
Ia akan melengkapkan siri jelajah ke Asia dengan kunjungan ke Brunei Darussalam dan Singapura sebelum dibawa ke benua Oceania.
Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung di Gold Coast, Queensland, Australia, bermula 4 hingga 18 April.
Untuk maklumat lanjut tentang Queen’s Baton Relay dan Gold Coast 2018 Commonwealth Games, sila layari https://www.gc2018.com/