KUALA LUMPUR, 28 Julai 2016 – Royal Bank of Canada (RBC) hari ini mengumumkan bahawa Kuala Lumpur, buat julung kalinya, akan menjadi salah sebuah bandaraya penganjur kepada siri perlumbaan ‘RBC Race for the Kids’ yang menjelajah ke serata dunia demi mengutip dana untuk tabung bantuan bagi kebajikan kanak-kanak, pada Ahad, tanggal 16 Oktober 2016.
‘RBC Race for the Kids Kuala Lumpur’ akan diadakan di Taman Botani Perdana yang terkenal dengan kehijauannya di tengah bandaraya. Semua orang daripada pelbagai lapisan masyarakat adalah dialu-alu untuk berlari atau berjalan kaki di sepanjang laluan 5-kilometer yang diatur selain melibatkan diri dalam acara-acara sampingan di festival pasca-perlumbaan. Larian santai dan bukan kompetitif ini adalah terbuka kepada semua tanpa mengira usia mahupun keupayaan dan ianya bakal menyaksikan ribuan orang terdiri daripada keluarga, komuniti dan kakitangan RBC berganding bahu demi mengutip dana untuk tabung bantuan bagi disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.
“‘RBC Race for the Kids’ adalah sebahagian daripada komitmen global kumpulan bank kami demi menyumbang kembali kepada masyarakat setempat, di mana kami beroperasi,” kata Doug Moore, Ketua Pegawai Eksekutif, Pasaran Modal Asia RBC dan Ketua Perkhimatan Pelaburan & Perbendaharaan RBC Asia-Pacifik. “Untuk perlumbaan sulung kami di Kuala Lumpur, kami berbangga untuk menjalin kerjasama bersama RMHC Malaysia dan turut serta menyokong mereka dalam usaha memberi bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.” RBC mempunyai lebih daripada 750 orang kakitangan di Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
‘RBC Race for the Kids Kuala Lumpur’ dijangka menarik 1,500 penyertaan dan mampu mengutip dana mencukupi untuk mendirikan sebuah bilik rangsangan deria baharu bagi membantu perkembangan kanak-kanak istimewa. Bilik tersebut akan dibina di Brickfields sebagai projek kemasyarakatan RMHC Malaysia yang bertujuan memberi sokongan buat kanak-kanak yang memerlukan keperluan khas.
“Kami amat berterima kasih kepada RBC di atas sokongan jitu mereka terhadap RMHC dan hasrat organisasi itu untuk membantu golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik menjalani kehidupan yang lebih baik, sekaligus mendorong mereka untuk mencapai potensi sepenuhnya. Kami telah mendengar pelbagai cerita positif berhubung ‘RBC Race for the Kids’ daripada rakan-rakan sejawat kami dari seluruh dunia, maka dengan itu kami begitu yakin bahawa larian di Kuala Lumpur juga pastinya merupakan pentas terbaik untuk dijadikan hari keluarga buat semua,” kata Victor Sim, Presiden, RMHC Malaysia.
‘RBC Race for the Kids’ menampilkan 11 larian amal kesemuanya di serata dunia termasuk Australia, Kanada, Hong Kong, Luxembourg, Malaysia, Trinidad & Tobago, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sambutan yang diterima ‘RBC Race for the Kids’ tersebut meningkat saban tahun menyaksikan lebih 100,000 ribu peserta telah mengambil bahagian setakat hari ini dan 21.7 juta Dolar Kanada dikutip untuk tabung kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia.
Siri perlumbaan ini merupakan sebahagian besar komitmen kami terhadap pembangunan kanak-kanak dan remaja melalui ‘RBC Kids Pledge’ (Ikrar Kanak-kanak RBC), iaitu satu janji untuk menyalurkan 100 juta Dolar Kanada dalam tempoh lima tahun untuk menambah baik kesejahteraan lebih sejuta kanak-kanak dan remaja. Untuk maklumat lanjut mengenai siri perlumbaan ini dan cara mendaftar, sila layari www.rbcraceforthekids.com/kualalumpur