KUALA LUMPUR, 25 September 2016 – Dana berjumlah RM240,000 berjaya dikumpul melalui acara Orchid Run & Ride 2016 yang dilangsungkan di Kuala Lumpur hari ini. Lebih 5,000 pelari dan penunggang basikal mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) dan PETRONAS bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Hasil sumbangan daripada acara ini akan disalurkan kepada empat badan amal iaitu Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Unit Pediatrik Penyakit Jantung Kongenital (PCHC) Institut Jantung Negara (IJN), Bank Kanta Intraokular Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (BKIKKKM) dan Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Institute-HEARS).
“Orchid Run & Ride adalah acara sukan yang pertama dan terbesar yang dianjurkan oleh PETRONITA bersama PETRONAS. Kita harap program ini akan diteruskan sebagai acara tahunan dan percaya ia mampu pergi jauh kerana kita mahu semua orang mengambil peranan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan,” kata Presiden PETRONITA, Datin Dr Azura Ahmad Tajuddin.
Acara tersebut juga dimeriahkan oleh kehadiran dan sokongan daripada pemandu pasukan Formula One MERCEDES AMG PETRONAS, Lewis Hamilton dan Ketua Mercedes-Benz Motorsport, Toto Wolff. Juga hadir adalah Timbalan Presiden Eksekutif PETRONAS & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk George Ratilal dan Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Urus Harta, Datuk Hashim Wahir.
Para peserta juga dihiburkan oleh penghibur tempatan seperti Noh Salleh, KL Stompers dan Insomniacks. Antara selebriti yang hadir termasuk Sazzy Falak, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Daphne Iking dan Sharifah Sakinah.