Home / Berita Terkini / Peserta PD Triathlon Mati Lemas

Peserta PD Triathlon Mati Lemas

lemas di PD Triathlon
Sumber Foto: Sin Chew Daily

Port Dickson, 15 Julai 2018 – Seorang peserta Port Dickson International Triathlon lemas ketika menyertai acara tahunan itu di sini, pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Mohd Faisal Mohd Noor dalam kenyataan di sini berkata Tharm Wei Wong, 39, yang berasal dari Pulau Pinang lemas semasa berenang di pantai Port Dickson ketika menyertai acara renang.

“Mangsa telah berenang dari garis permulaan menuju ke pantai untuk meneruskan acara yang seterusnya iaitu acara berbasikal. Jarak antara permulaan acara renang ke pantai lebih kurang 750 meter.

“Semasa berenang, mangsa dipercayai telah lemas. Anggota bomba telah memberi bantuan kecemasan dan bantuan penafasan dari mulut ke mulut (CPR) namun mangsa tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.

Beliau berkata seterusnya mangsa di bawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata seorang lagi peserta triathlon dikhuatiri hilang ketika menyertai acara renang hasil daripada makluman awal penganjur.

“Pada 11.55 pagi ini, pihak penganjur telah melaporkan seorang lagi peserta tidak melaporkan kepada urusetia…jadi selepas menerima (laporan) kita telah gerakkan pasukan mencari dan menyelamat.

“Individu ini kita kenal pasti warganegara Hong Kong bernama Yuen Chi Yuen berumur 42 tahun.

“Setakat ini Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersedia untuk mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata sebarang makluman atau pengesahan lanjut berkaitan operasi ini akan dibuat oleh pihak polis.

Syed Saddiq
Sumber Foto: Bernama

 
UPDATE:
Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian seorang peserta Port Dickson International Triathlon.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali.

“Jawatankuasa ini akan melihat sekiranya berlaku apa-apa yang bercanggah atau yang tidak dipenuhi  dari segi undang-undang dan kami akan maklumkan kepada media,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata siasatan itu juga akan melihat dari segi keselamatan oleh pihak penganjur Port Dickson International Triathlon termasuk kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sebab itu kena tunggu keputusan jawatankuasa sebab kita kena tengok kalau ada apa-apa syarat yang tidak dipenuhi dan kalau tiada akan ada tindakan susulan… tapi perlu adakan dahulu jawatankuasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Thram Wei Wong, 39, yang lemas ketika menyertai acara renang pada kejohanan Port Dickson International Triathlon, pagi ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan meluangkan masa kira-kira 25 minit mendengar taklimat dan menziarah keluarga terdekat Thram di unit forensik Hospital Port Dickson (HPD).

Beliau kemudian turut meninjau lokasi kejadian sambil diiringi Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

– BERNAMA

 

 

Check Also

GARMIN RUN ASIA SERIES 2023 Kembali dengan Tema ‘ZERO to HERO’

Share this on WhatsApp Malaysia, 10 Mei 2023 — Garmin Malaysia hari ini mengumumkan acara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!