Johor, 29 November 2017 – Acara larian merentasi halangan, Ridiculous Obstacle Challenge (R.O.C) telah diadakan dengan jayanya di Forest City, Johor pada Sabtu lepas. Para peserta dilaporkan mula beratur untuk pendaftaran seawal pukul 5.30 pagi sebelum memulakan perlumbaan melepasi halangan-halangan unik yang telah disediakan.
Para peserta dilepaskan secara berperingkat-peringkat dalam selang 30 minit di mana kumpulan pertama dilepaskan seawal pukul 7.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 pagi. Perlumbaan ini diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Strategi Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Dr. Yu Runze dan Ketua Jabatan Komersial, Encik Eric Yu yang melepaskan para peserta pada pukul 8.00 pagi.
Sepuluh halangan seperti ‘Wrecking Balls’, ‘Sweeper’, ‘Jump Balls’, ‘The Hippo’- gelongsor air dengan ketinggian empat tingkat dan lain-lain menguji kehebatan para peserta di sepanjang laluan 5km. Di garisan penamat, mereka menerima sehelai kemeja-T dan pingat selepas berjaya melepasi garisan penamat.
“Para peserta pasti terpikat dengan suasana dan persekitaran di bandar ini dan kami amat berbesar hati kerana dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk Perlumbaan R.O.C yang pertama di rantau Asia. Kami juga berharap untuk menjadi tuan rumah sekali lagi pada tahun hadapan dan para peserta dapat menikmati suasana yang lebih menarik di bandar ini sejajar dengan pembangunan yang sedang kami jalankan,” ujar Dr. Yu Runze.
Dengan Malaysia Major Events, salah satu divisyen dari Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) iaitu satu agensi dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) menyatakan sokongan kepada acara ini, Perlumbaan R.O.C, semakin berkembang dan popular dikalangan peminat sejak edisi pertama pada 2011. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Sepang tahun hadapan.
“Kami sangat seronok ketika berada di Forest City dan kami sangat berbangga kerana seramai 7,000 peserta mendapat pengalaman yang manis serta berharga untuk mereka bawa pulang. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Sepang pada 30 Jun 2018 dan saya mengharapkan yang kami akan membawa momentum ini untuk mencapai tahap yang lebih tinggi lagi,” ujar David Wright, Pengasas R.O.C.
Salah seorang peserta, Ludo, 46 dari Perancis yang bekerja sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah antarabangsa di Singapura melahirkan rasa gembiranya kerana berpeluang mengambil bahagian untuk pertama kalinya dalam Perlumbaan R.O.C
“Saya amat gembira hari ini bersama isteri kerana kami berjaya melepasi kesemua halangan. Kami mengambil masa selama 60 minit sebelum melintasi garisan penamat. Saya amat menyukai halangan “The Hippo” kerana ia sangat seronok untuk menggelongsor ke bawah dari altitud yang tinggi,” ujar guru disiplin tersebut.
Untuk keterangan lanjut mengenai R.O.C, sila layari https://www.rocrace.my/