
Kuala Lumpur, 25 Oktober 2025 — Olympic Day Run 2025 berlangsung meriah pagi ini di Kuala Lumpur Sports City dengan penyertaan lebih 2,000 pelari tempatan dan antarabangsa, sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan setiap Oktober.

Acara ini merupakan hasil kerjasama erat antara Majlis Olimpik Malaysia (NOC Malaysia) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), susulan pelantikan rasmi PSM sebagai Rakan Strategik Gerakan Olimpik pada 23 Jun lalu. Ia juga menyusuli Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan ibu pejabat baharu NOC Malaysia, Olympic House, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos 2025.

Presiden NOC Malaysia merangkap Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, Dato’ Sri Dr. Norza Zakaria berkata, “Hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama kami bersama PSM apabila berjaya menganjurkan Olympic Day Run 2025 di Kuala Lumpur Sports City.”

Walaupun berdepan cabaran penutupan jalan besar di sekitar ibu kota bagi persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, acara ini tetap berjaya menghimpunkan pelari dari 17 negara termasuk Afghanistan, Kanada, China, Jepun, Korea, Rusia, United Kingdom dan tuan rumah, Malaysia — menjadikannya antara edisi dengan penyertaan antarabangsa tertinggi dalam sejarah penganjuran.
Larian ini telah dilepaskan secara rasmi oleh lima tokoh utama termasuk Dato’ Sri Dr. Norza Zakaria, Timbalan Presiden NOC Malaysia Dr. Nur Azmi Ahmad, Datuk Bandar Kuala Lumpur TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Encik Ilyas Jamil, dan Ahli Lembaga Pengarah PSM Encik Monteiro Gerard Clair.

Dalam ucapannya, Dr. Norza turut mengimbas sejarah penganjuran Olympic Day Run pertama di Malaysia yang berlangsung pada 30 Jun 1991 di Dataran Merdeka. “Peristiwa bersejarah ini telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records, dan hari ini kita menyaksikan penyerahan pengiktirafan tersebut kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Turut hadir memeriahkan acara ialah tujuh atlet Olimpik negara yang tampil memberi inspirasi kepada peserta: Nurul Huda Abdullah (renang, Seoul 1988), Mirnawan Nawawi (hoki, Barcelona 1992–Sydney 2000), Noraseela Mohd Khalid (olahraga, London 2012), Johnathan Wong (menembak, Rio 2016 & Paris 2024), Khiew Hoe Yean (renang, Paris 2024), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat, Paris 2024) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun, Paris 2024).
Barisan kepimpinan tertinggi NOC Malaysia turut hadir, termasuk Naib Presiden Azizul Annuar Adenan, Mohamad Iruan Zulkefli dan Dr. Kim Fatt Chong, Setiausaha Agung Mohd Nasir Ali, Bendahari Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin serta pegawai-pegawai kanan lain.

NOC Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan agensi sukan negara yang terlibat, termasuk PSM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Samsung Malaysia, Sunrise Sports Sdn. Bhd. dan MILO Malaysia.
