Shah Alam, 14 Februari 2017 – Malaysia Women Marathon (MWM), acara yang ditunggu-tunggu oleh pelari-pelari wanita kembali dengan edisi kelima tahun ini di lokasi baru, Stadium Shah Alam. Acara lumba lari yang khususnya untuk kaum Hawa ini telah memperkasakan kaum wanita secara emosi dan fizikal sejak tahun 2013 lagi.
Tahun ini, beberapa kategori baru ditampilkan untuk kanak-kanak dan pelari lelaki. Kanak=kanak berumur 6 – 9 tahun (Kumpulan 1) dan 10 – 12 tahun (Kumpulan 2) bakal berlari sejauh 2.5km dengan bimbingan dewasa, manakala pelari berumur 13 – 15 tahun boleh menguji kecergasan mereka dalam larian sejauh 5km..
Habuan yang bakal diterima oleh semua pemenang juga telah diselaraskan menjadi lebih lumayan. Acara ini bakal bermula pada 3 Mac dengan expo pengambilan kit lumba dan juga sesi ceramah serta pelbagai aktiviti sampingan sebelum hari perlumbaan pada 5 Mac. Expo MWM bakal diadakan di Acappella Suite Hotel di mana terdapat pelbagai gerai menjual barangan larian dan kelengkapan sukan.
DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dijangka akan mencemar duli untuk melepaskan untuk kategori 6KM.
“Kami merasa amat berbangga kerana mendapat persetujuan daripada Permaisuri Selangor untuk melepaskan pelari-pelari di MWM. Ini bakal menyemarakkan lagi semangat kepada semua pelari dan membuktikan yang Selangor seemamngnya memberikan sokongan yang padu kepada semua wanita dan bukan hanya acara marathon ini sahaja,” kata Pengarah Acara Lumba MWM, Ms. Karen Loh.
“Kami bersyukur dan berterimakasih kepada semua penaja yang memberikan sokongan untuk menrealisasikan edisi kelima Malaysia Women Marathon’. Kami berharap lebih ramai wanita mengambil bahagian dalam acara larian pada masa akan datang.” tambah Karen Loh di majlis pelancaran media MWM.
Acara pelancaran tersebut juga dihadiri oleh para VIP dan penaja termasuk, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, YB Puan Elizabeth Wong. Beliau juga bakal menyertai acara larian 10km tahun ini.
“Kami memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada MWM yang merupakan acara utama di dalam kalendar Selangor. Maklumbalas yang positif daripada pelari-pelari yang pernah menyertai acara ini mendorong kami untuk meneruskan acara ini setiap tahun. Acara ini turut mendapat perhatian daripada pelari-pelari antarabangsa dan meningkatkan nama Selangor di mata dunia,” kata YB Puan Elizabeth Wong.
Tourism Selangor nampak akan potensi acara ini dan telah menyokong acara ini dari awalnya. “Kami merasa gembira kerana MWM meneruskan penganjuran acara ini di negeri Selangor. Kami berharap akan menarik lebih ramai wanita dari dalam dan luar negeri untuk datang ke Selangor,” kata Puan Noorul Ashikin Mohd Din, Pengurus Besar Tourism Selangor.
Pendaftaran dibuka untuk empat kategori iaitu, Marathon (42KM), Half Marathon (21KM), 6KM, Larian Kanak-kanak (2.5km & 5km) dan Larian Ceria 5KM. Seramai 5000 dijangka mengambil bahagian tahun ini. Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai dan baucer bernilai RM42, 000.00.
Untuk mendaftar, sila layari laman www.mwm.my, atau MWM Facebook, @MalaysiaWomenMarathon untuk maklumat lanjut.