Subang Jaya – 29 Julai 2018: IJM Allianz Duo Highway Challenge 2018 pada tahun ini berakhir dengan jayanya serta melihatkan kesungguhan dan keazaman yang tinggi dari setiap peserta yang bertungkus-lumus mengejar garisan penamat dan mengambil peluang untuk berlari di lebuhraya yang ditutup sepenuhnya. Acara larian yang diadakan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ini telah menarik perhatian 9,000 peserta dari pelbagai latar belakang yang memulakan larian dari Sunway Pyramid, melalui jajaran persimpangan bertingkat Pantai Sentral yang baru dibina dan menuju ke arah Pantai Dalam sebelum kembali ke garisan penamat, sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbit.
Selepas kejayaan julung kali pada tahun lepas serta permintaan yang tinggi, kategori antarabangsa telah dibuka bagi menarik peserta-peserta antarabangsa dari serata dunia seperti Kenya, Australia, Scotland, Perancis, Jepun, Singapura, India, Iraq, Itali dan Hong Kong.
Peringkat akhir IJM Allianz Duo Highway Challenge pada tahun ini menyaksikan peserta membanjiri Lebuhraya Baru Pantai (NPE) seawal 4.30 pagi untuk menunggu waktu pelepasan. Waktu pelepasan bagi larian 21km adalah 5.30 pagi manakala bagi larian 10km pada 6.30 pagi.
Peserta yang telah menghabiskan cabaran peringkat pertama di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 29 April yang lalu sangat teruja untuk bertanding pada peringkat kedua di Lebuhraya NPE bagi menuntut gelaran Juara Duo Highway Challenge. Pemenang akan dinilai berdasarkan gabungan masa terpantas daripada larian 21km di NPE dan 13km di Besraya .
IJM Allianz Duo Highway Challenge telah diadakan dengan kerjasama IJM Corporation Berhad (IJM) dan Allianz Malaysia Berhad selaku penaja utama dan dianjurkan secara bersama oleh Besraya (M) Sdn Bhd (Besraya) serta New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) di bawah divisyen Tol IJM dan EC Pixels. Faktor keselamatan telah pun diambil kira dimana lebuhraya ditutup sepenuhnya demi keselamatan peserta selain memberikan mereka pengalaman larian yang menarik.
Penyokong dan pelari NPE Highway Challenge turut berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik di Race Village seperti pelbagai jenis permainan dan photobooth yang dibawakan oleh para penaja. Selain daripada itu, mereka juga dapat menikmati persembahan daripada penari untuk menyemarakkan semangat para peserta, pasukan sorak dan gegendang Cina yang turut memberi semangat kepada peserta saat mereka tiba di garisan penamat,.
Dato’ Soam Heng Choon, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad berkata:
“Kami berasa amat berbesar hati dan gembira di atas peluang yang diberikan untuk menaja acara ini sekali lagi. IJM Allianz Duo Highway Challenge telah memberikan pengalaman positif terhadap acara larian di lebuhraya yang ditutup sepenuhnya serta diakui sebagai acara penting buat peminat sukan larian dari semua peringkat. Keselamatan para peserta sentiasa menjadi keutamaan kami supaya mereka dapat menikmati larian ini sepenuhnya tanpa gangguan. Di IJM, kami mempunyai minat yang mendalam terhadap acara sukan dan amat komited dalam menganjurkan acara yang menggalakkan gaya hidup sihat, serta dengan penglibatan komuniti.”
Zakri bin Mohd Khir, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd berkata: “Kami amat berbesar hati kerana dapat melihat beribu peserta tempatan dan antarabangsa mempraktik gaya hidup sihat dengan mengambil bahagian dalam acara Duo Highway Challenge. Kejayaan ini membuktikan kepada kami bahawa usaha menyokong inisiatif yang mempamerkan kehidupan sihat dalam kalangan warga Malaysia amat berbaloi. Kerjasama bersama IJM sentiasa memberi manfaat melalui sokongan bersama terhadap acara larian seumpamanya yang mampu membawa masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sihat dengan melibatkan diri dalam acara-acara larian. Allianz akan terus menyokong dan menggalakkan acara yang berfaedah kepada komuniti ke arah gaya hidup lebih sihat.”
Juara bagi NPE Highway Challenge bagi Kategori Terbuka Lelaki 21km jatuh kepada Poo Vasanthan Subramaniam, dengan catatan masa 1 jam 14 minit dan 31 saat. Manakala, Muhaizar Mohamad berada di tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 14 minit dan 41 saat. Tempat ketiga pula jatuh kepada Anas Rosli dengan catatan masa 1 jam 15 minit dan 25 saat. Bagi Kategori Terbuka Wanita 21km, Sheela Samivellu mengaut gelaran juara NPE Highway Challenge dengan catatan 1 jam 26 minit dan 45 saat, diikuti oleh Chua Khit Yeng yang berada di tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 33 minit dan 44 saat. Tempat ketiga jatuh kepada Noor Amelia Musa dengan catatan 1 jam 34 minit dan 34 saat.
Berdasarkan gabungan masa daripada Besraya Highway Challenge, Poo Vasanthan Subramaniam telah dinamakan Juara IJM Allianz Duo Highway Challenge Kategori Terbuka Lelaki. Poo turut berkata “Saya amat gembira kerana dapat kekalkan gelaran Juara cabaran ini. Laluan baharu iaitu Pantai Sentral Park agak mencabar memandangkan jalan yang berbukit. Walau bagaimanapun, pemandangan yang indah daripada laluan tersebut membuatkannya lebih berbaloi.”
“Saya amat berbangga dinobatkan sebagai Juara Duo Highway Challenge Wanita sekali lagi bagi tahun ini. Walaupun larian pada tahun ini lebih mencabar, saya amat gembira kerana berjaya memenangi 3 ganjaran; Juara Keseluruhan Duo Highway Challenge Kategori Wanita, tempat pertama bagi Kategori Wanita 21km dan ke-2 bagi Kategori Antarabangsa. Laluan baru yang diberi agak menguji kemampuan, namun begitu, semuanya terletak pada kekuatan mental lalu membuatkan saya berjaya mengharunginya,” kata Sheela Samivellu, Juara IJM Allianz Duo Highway Challenge Kategori Terbuka Wanita.
IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad, bersama EC Pixels dengan berbesar hati mengumumkan bahawa IJM Allianz Duo High Challenge akan kembali pada tahun hadapan pada 31 Mac 2019 untuk Besraya dan 28 April 2019 untuk NPE.
Untuk maklumat lanjut tentang IJM Allianz Duo Highway Challenge, serta untuk mendapatkan keputusan terkini, layari http://www.ijmhighwayrun.com/