Kuala Lumpur, 25 Ogos – Berita baik untuk pelari, pejalan kaki dan mereka yang sentiasa menjaga kesihatan! Hulurkan sumbangan dan sokongan anda untuk amal dengan menyertai “Pink Love Charity Run” (Larian Amal Pink Love ) anjuran Marysharon dan Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara atau BCWA yang akan kembali dengan lebih besar dan lebih menarik bagi tahun kedua!
Larian Amal Pink Love Marysharon dan BCWA sejauh 5KM akan dianjurkan pada hari Ahad, 9 Oktober 2016 di Taman Botani Putrajaya, bermula pada jam 7:30 pagi. Seramai 3,000 peserta yang terdiri daripada bekas pesakit kanser payu dara dan orang ramai dijangka turut serta.
Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai kegiatan fizikal yang menyeronokkan dan bermakna secara aktif dan pada masa yang sama, membantu pesakit kanser. Di samping itu, usaha amal ini menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan dan memupuk semangat perihatin dan memberi sokongan di kalangan masyarakat.
Larian ini juga menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menyokong acara kesihatan global pada bulan Oktober / November seperti Bulan Kesihatan Kanser Payu Dara atau Pink Oktober, Minggu Kesihatan Mental Sedunia, Hari Diabetes Sedunia dan sebagainya.
Kesemua 100% keuntungan yang diperolehi daripada acara mengumpul dana ini didermakan kepada BCWA. Pendaftaran untuk setiap peserta adalah RM60. Setiap peserta akan diberi pek pelari dan pingat yang menarik. Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam larian ini boleh kunjungi laman web http://www.myraceonline.com/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar.
Pengarah Eksekutif Marysharon, Lee Joyce, menegaskan: “Marysharon telah memulakan inisiatif tanggungjawab social korporat (CSR) bersama dengan BCWA untuk membina masyarakat yang lebih sihat sambil menyemaikan sikap prihatin. Larian ini adalah satu acara bermakna yang membolehkan kita semua merasai sinar matahari pagi, menghirup udara segar dan meluangkan sedikit masa yang berkualiti dengan keluarga tersayang sambil membantu usaha amal. Acara ini bertujuan untuk mengisi tabung BCWA untuk pelbagai program pendidikan dan sokongan pesakit dan membantu usaha masyarakat.
“Marysharon ingin mengingatkan bahawa setiap seorang daripada kita perlu bersenam bagi menghindarkan penyakit mental dan fizikal,” kata Joyce.
Anda boleh menyertai larian ini secara berseorang atau bersama keluarga dan kawan-kawan. Selain berlari dan menghabiskan masa untuk mengakrabkan hubungan, terdapat juga aktiviti lain yang boleh disertai seperti pemeriksaan kanser payu dara di klinik bergerak MURNI BCWA, paparan peralatan pendidikan kanser payu dara, jualan barangan reben merah jambu dan cabutan bertuah – yang menawarkan hadiah daripada Marysharon.
Kanser payu dara adalah penyakit kanser yang paling umum dialami oleh wanita Malaysia dan juga kanser paling umum di kalangan wanita semua kaum antara tahun 2003 dan 2005. Kanser payu dara membentuk 31.1% daripada kes kanser yang baru disahkan sepanjang tempoh yang sama.
Menurut Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat, hubungan antara aktiviti fizikal dan serangan kanser telah dikaji secara meluas, dengan lebih 60 hasil kajian diterbitkan di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Australia. Kebanyakan hasil kajian ini menunjukkan bahawa wanita yang aktif dari segi fizikal mempunyai risiko kanser payu dara lebih rendah berbanding wanita tidak aktif.
Kebanyakan bukti menunjukkan bahawa aktiviti fizikal mengurangkan risiko kanser payu dara di kalangan wanita sebelum menopaus dan selepas menopaus. Sungguhpun aktiviti senaman lasak secara tetap sepanjang hayat dipercayai dapat memberikan manfaat paling baik, wanita yang menambah aktiviti fizikal mereka selepas menopaus (putus haid) juga boleh mengurangkan risiko berbanding wanita tidak aktif.
Presiden BCWA Ranjit Kaur berkata, “Kami menghargai sumbangan dan sokongan Marysharon untuk membantu misi kami mengurangkan risiko kematian awal di kalangan wanita disebabkan kanser payu dara, menambah baik kehidupan wanita yang disahkan menghidap kanser payu dara, dan memperkasakan orang ramai untuk sentiasa berwaspada tentang kesihatan payu dara mereka.
“BCWA menganjurkan pelbagai aktiviti seperti program mendekati masyarakat dan pendidikan awam termasuk bimbingan pesakit, untuk menggalakkan pengesanan awal kanser payu dara dan rawatan perubatan awal. Kami juga memberi sokongan psikososial dan menganjurkan aktiviti penjagaan sokongan dan mencari manfaat untuk wanita yang menghidap kanser payu dara. Untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ini, kami perlu mengumpul dana,” kata Ranjit.
Untuk maklumat lanjut, klik https://www.fb.com/pinklovecharity