
KUALA LUMPUR, 5 Oktober — Edisi ke-17 Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 menyaksikan dominasi luar biasa pelari Kenya di pentas antarabangsa, dengan sapuan bersih podium dalam kategori Full Marathon Lelaki dan kemenangan bergaya dalam kategori Wanita Terbuka. Dalam acara dua hari tersebut, lebih 42,000 peserta membanjiri ibu kota, menjadikan acara ini bukan sahaja larian terbesar negara, tetapi juga pentas prestij dunia.

John Nzau Mwangangi akhirnya menebus dua kekalahan tipis sebelum ini apabila menjuarai kategori Full Marathon Lelaki Terbuka dengan masa 02:17:28, membawa pulang hadiah US$15,000 (RM63,225.00). Rakan senegaranya Kiprotich Kiru (02:17:45) dan juara bertahan Vincent Kiprono (02:18:06) melengkapkan podium, mengukuhkan reputasi Kenya sebagai kuasa besar dalam dunia larian jarak jauh.

“Saya belajar daripada kesilapan lalu dan ubah strategi. Laluan tahun ini seimbang dan saya berjaya tingkatkan masa,” kata Mwangangi, yang berlatih di kawasan berbukit Machakos, Kenya.
Dalam kategori Wanita Terbuka, Truphena Chepchirchir turut mengangkat nama Kenya dengan kemenangan bergaya, mencatat masa 02:41:36. Pelari Ethiopia, Almaz Negede Fekade (02:41:50) dan Joyline Chemutai dari Kenya (02:42:34) masing-masing di tempat kedua dan ketiga, menjadikan Kenya satu-satunya negara yang berjaya menempatkan dua wakil di podium wanita.
“Saya jangka cuaca panas dan laluan berbukit, jadi saya berlatih mendaki bukit curam di Eldoret di bawah terik matahari,” kata Chepchirchir, 35.

Pelari Malaysia Bangkit di Kategori Kebangsaan
Di pentas kebangsaan, Yeow Ni Jia mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori Full Marathon Lelaki Malaysia dengan masa 02:36:13, menewaskan Tan Huong Leong (02:37:05) dan Muhaizar Mohamad (02:44:37). Kemenangan ini bukan sahaja membawa pulang RM20,000, tetapi juga membuka peluang kelayakan ke Sukan SEA 2025.

“Saya sasarkan masa bawah 02:40 dan syukur berjaya capai. Kalau terpilih ke Sukan SEA, fokus saya akan beralih ke sana,” kata Yeow, 25.
Dalam kategori Wanita Malaysia, Chua Khit Yeng kembali merampas gelaran dengan masa 03:05:40, menewaskan Noor Amelia Musa (03:09:03) dan Lee Siok Chin (03:11:07). “Saya hanya fokus pada masa, bukan kemenangan. Tapi dapat pintas Amelia hari ini memang satu kejutan manis,” kata Chua.

KLSCM: Larian, Perpaduan & Tujuan Murni
Hari pertama (5 Oktober) dimulakan dengan kategori 5km, Pantai KL 10km dan Kids Dash, yang berlangsung meriah di sekitar pusat bandar dan trek Stadium Merdeka. Seramai 15,800 pelari menyertai acara pembukaan ini, dengan hampir 15,400 peserta memulakan larian dari Jalan Raja Laut, melalui bangunan ikonik Kuala Lumpur sebelum menamatkan larian di Stadium Merdeka. Kategori Kids Dash menjadi satu-satunya acara trek sepenuhnya, menampilkan pelari cilik yang penuh semangat.

Hari kedua pula menyaksikan acara kemuncak — Full Marathon dan ASICS Half Marathon — dilepaskan secara rasmi oleh Tan Sri Shahril Ridzuan, Pengerusi Standard Chartered Malaysia, bersama CEO Mak Joon Nien. Kategori Half Marathon pula dilepaskan oleh wakil ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik dan Low Sin Ting.
Lebih 25,200 pelari menyertai acara hari kedua, menjadikan jumlah keseluruhan peserta mencecah 42,000 orang, termasuk 3,300 pelari antarabangsa dari 53 negara. Laluan larian merentasi jalan raya dan lebuh raya utama Kuala Lumpur, dengan garisan penamat bersejarah di Stadium Merdeka menjadi simbol kejayaan peribadi buat setiap pelari.

KLSCM 2025 turut memperkenalkan cabaran EKIDEN Heroes sempena ulang tahun ke-150 Standard Chartered di Malaysia dan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN. Inisiatif Run For A Reason (RFAR) pula terus menjadi nadi acara, dengan kutipan dana untuk Futuremakers, Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen dan Teach for Malaysia.
“KLSCM bukan sekadar perlumbaan, ia lambang semangat komuniti dan peluang untuk pelari bangkit sebagai juara,” kata Rainer Biemans, Pengarah Projek KLSCM.

Dengan pengiktirafan World Athletics Elite Label dan sokongan padu daripada DBKL, KBS, Polis Trafik KL serta rakan penaja seperti ASICS dan Pantai Hospital Kuala Lumpur, KLSCM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara larian paling berprestij di Malaysia dan rantau ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi KLSCM di www.kl-marathon.com/ atau laman media sosial di Facebook – www.facebook.com/SCKLmarathon dan Instagram – www.instagram.com/SCKLmarathon