
Dunia larian dikejutkan dengan pengumuman rasmi daripada pengeluar jam tangan sukan berteknologi tinggi, COROS, yang mengesahkan pengakhiran kerjasama lima tahun mereka bersama jaguh maraton dunia, Eliud Kipchoge. Pengumuman tersebut dibuat melalui kenyataan di platform media sosial pada 21 November.
Kolaborasi yang bermula sejak 2019 ini secara rasmi telah berakhir, namun COROS menzahirkan penghargaan mendalam atas sumbangan dan perjalanan bersama ikon Kenya itu.
Dalam kenyataan rasmi di Facebook, COROS menulis:
“As our partnership with @kipchogeeliud comes to a close, we celebrate the run we had together. The work, progress, and miles we’ve put in together over the past five years have driven us to build better tools for athletes everywhere,”
Kerjasama strategik ini dikenali sebagai salah satu kolaborasi paling berpengaruh dalam dunia larian moden, menggabungkan kepakaran teknologi COROS dengan inspirasi dan kepakaran latihan daripada pelari maraton terhebat sepanjang zaman itu. Sepanjang tempoh ini, kedua-dua pihak telah bekerjasama erat untuk membangunkan teknologi dan alat latihan yang lebih baik untuk komuniti atlet global.
Misi “No Human Is Limited” Diteruskan
COROS turut menekankan bahawa Kipchoge telah berjaya membuktikan falsafahnya yang terkenal, “no human is limited”, sekali gus menginspirasi jutaan pelari di setiap sudut dunia.
Walaupun kolaborasi rasmi jenama telah berakhir, COROS mengesahkan bahawa Kipchoge akan meneruskan misinya yang lebih besar:
“Eliud has shown that no human is limited, and together, we have helped make the world a running world, a mission that he will continue during his World Tour over the next two years. Thank you, Eliud,” tambah COROS.
Eliud Kipchoge dilaporkan bakal meneruskan usaha murni beliau bagi merealisasikan impiannya menjadikan dunia sebagai ‘running world’. Misi tersebut akan digerakkan melalui siri jelajah antarabangsa yang dijadualkan berlangsung sepanjang tempoh dua tahun akan datang.
Pengakhiran kerjasama ini menandakan berakhirnya satu era penting, tetapi legasi dan sumbangan yang ditinggalkan oleh Eliud Kipchoge dalam membentuk teknologi larian moden akan terus dirasai oleh komuniti atlet di seluruh dunia.
