Home / Berita Terkini / Kempen ‘Women of Endurance’ Garmin Hargai Kecekalan Wanita dalam Kehidupan Seharian

Kempen ‘Women of Endurance’ Garmin Hargai Kecekalan Wanita dalam Kehidupan Seharian

Malaysia, 5 Mei 2026 – Kempen Women of Endurance oleh Garmin memberi nafas baharu kepada konsep daya tahan (endurance) yang lazimnya dikaitkan dengan atlet profesional. Dilihat daripada perspektif seorang ibu, kempen ini menonjolkan tuntutan fizikal dan mental luar biasa yang dihadapi wanita dalam mengimbangi pelbagai peranan setiap hari. Garmin menyifatkan usaha berterusan ini sebagai satu bentuk “latihan halimunan” berintensiti tinggi yang sering tidak didendang.

Melalui siri ilustrasi kreatif, Women of Endurance menghidupkan momen-momen harian ini. Pada masa yang sama, data daripada peranti boleh pakai Garmin memberikan gambaran nyata terhadap tahap keletihan yang dialami. Ini menjadikan kepenatan yang dahulunya tidak dapat dilihat kini boleh diukur, sekali gus membantu wanita memahami tahap tenaga mereka dengan lebih baik serta mengutamakan rehat dan pemulihan.

Keletihan yang ditanggung para ibu dalam kehidupan seharian sering kali berpunca daripada “kepenatan halimunan” kronik yang sukar diukur dan kerap kali dipandang remeh. Kajian psikologi menunjukkan bahawa walaupun wanita lebih kerap melaporkan keletihan berbanding lelaki, kepenatan mereka sering disalah anggap oleh orang sekeliling. Jurang ini menyebabkan keletihan wanita hanya dirasai sendiri tanpa pembelaan, walaupun ia sebenarnya mencerminkan daya adaptasi dan kecekalan luar biasa mereka di bawah tekanan yang berpanjangan.

Menggambarkan Detik Kecekalan Wanita dalam Rutin Harian

Bagi menterjemah daya tahan seharian ini, Garmin telah bekerjasama dengan artis wanita dari Taiwan, Chouyi, yang terkenal dengan hasil seni komik eksperimental dan ilustrasi. Melalui penggunaan warna yang bertenaga dan sentuhan berus yang halus, beliau mengubah konsep abstrak kepada ilustrasi kehidupan harian yang menyentuh hati, merakam detik-detik tepat di mana wanita sebenarnya menyerupai atlet dalam rutin mereka.

Momen harian ini mencerminkan prestasi atletik yang sebenar—daripada mengangkat bebanan berat dan mendukung anak mendaki tangga yang meningkatkan kadar degupan jantung setara dengan sesi latihan HIIT, hinggalah perjalanan pulang ke rumah yang diibaratkan seperti pecutan ke garisan penamat setelah seharian menguruskan tanggungjawab. Malah, aksi mengejar anak kecil pada waktu makan serta mengemas rumah tanpa henti boleh mencecah intensiti larian berhalangan sejauh 10km.

Melalui naratif visual yang menarik ini, karya seni tersebut berjaya merakam pengalaman hidup para wanita, membuktikan bahawa tahap fokus dan ketahanan mereka adalah setanding dengan atlet yang menghadapi cabaran intensiti tinggi.

Menjadikan Keletihan Sesuatu yang Nyata

Ramai wanita sering memaksakan diri walaupun sudah letih kerana ketiadaan tanda-tanda amaran fisiologi yang jelas. Peranti boleh pakai Garmin hadir sebagai peneman harian terbaik berasaskan sains kesihatan, menggabungkan metrik Variabiliti Kadar Jantung (HRV), tahap stres, dan kualiti tidur ke dalam ciri Body Battery. Skor intuitif dari 0 hingga 100 ini membantu wanita memantau penggunaan tenaga mereka dan menentukan masa yang tepat untuk berehat.

Garmin mengesyorkan agar wanita memanfaatkan data peranti mereka untuk membina ritme pemulihan peribadi melalui lima pendekatan utama:

  1. Kenal Pasti Tidur Terganggu: Gangguan kerap ketika menjaga anak menjejaskan pemulihan tenaga. Garmin Sleep Coach (dikuasakan oleh Firstbeat Analytics) membantu mengenal pasti tempoh rehat berkualiti rendah bagi membolehkan pelarasan rutin atau keperluan mendapatkan bantuan luar.
  2. Pantau Trend Stres: Tahap stres yang tinggi secara berterusan menunjukkan badan berada dalam tekanan. Latihan pernafasan berpandu yang mudah boleh membantu mengembalikan badan ke keadaan tenang.
  3. Jejaki Pemulihan dan Imun: HRV sering berubah mengikut kitaran haid, pemulihan yang tidak mencukupi, atau sebelum jatuh sakit. Memantau trend ini membolehkan wanita mengutamakan rehat lebih awal.
  4. Perhatikan Impak Pemakanan: Ciri Lifestyle Logging Garmin menjejak kesan kafein atau makanan tinggi gula terhadap kadar pernafasan, membantu wanita menyesuaikan nutrisi mengikut keperluan sebenar badan.
  5. Amalkan Rehat Aktif: Seperti atlet elit, rehat yang disengajakan adalah penting untuk mengekalkan prestasi berterusan dan kesejahteraan menyeluruh.

Bagi meraikan kekuatan wanita melalui kecergasan dan komuniti, Garmin akan menganjurkan aktiviti khas, “Women of Endurance – Here’s to Her” pada 24 Mei 2026, jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang di PARC, Subang. Direka sebagai hari kesejahteraan yang menggabungkan aktiviti fizikal, pendidikan, dan ekspresi kreatif, para ibu boleh membawa anak-anak mereka untuk menyertai tiga sesi pilihan:

  • Sesi jalan kaki atau larian 2KM untuk pemula bersama Ibu.
  • Move with Mom – Sesi Pilates Mat mesra kanak-kanak.
  • Bengkel lukisan Process Painting kendalian humankind.

Penyertaan akan dibuka tidak lama lagi melalui pendaftaran dengan slot terhad. Maklumat lanjut mengenai acara ini akan dikongsikan di laman Instagram Garmin Malaysia.

Melalui kempen Women of Endurance, Garmin menggalakkan wanita, terutamanya para ibu, untuk mengambil alih semula kawalan terhadap kesejahteraan fizikal mereka. Hanya dengan mendedahkan kepenatan yang tersembunyi, pemulihan yang nyata dan berpanjangan dapat bermula.

Check Also

FILA Perkenalkan Siri FLOAT MAX 2.0 dan E7 4.0 di Fila Fun Run 2026

Share this on WhatsApp Putrajaya, 25 April 2026 — Jenama sukan global, FILA, secara rasminya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!