Home / Berita Terkini / Edisi Sulung L’ÉTAPE TOUR DE FRANCE Bakal Rancakkan Sukan Berbasikal Pada Jun 2022

Edisi Sulung L’ÉTAPE TOUR DE FRANCE Bakal Rancakkan Sukan Berbasikal Pada Jun 2022

Pencinta-pencinta aktiviti berbasikal di Malaysia akhirnya berpeluang merasai sendiri pengalaman berkayuh dalam perlumbaan Tour De France dengan menyertai L’Étape Malaysia yang bakal dilangsungkan buat julung kalinya pada 4 Jun 2022, iaitu kurang dari tempoh tiga bulan dari sekarang!

Digelar selaku “Acara Berbasikal Terulung Dunia”, L’Étape oleh Tour de France adalah satu-satunya siri ‘cyclosportive’ yang memberi peluang buat penunggang basikal amatur untuk berkayuh ibarat sang juara Tour de France dengan penuh semangat sambil menikmati suasana dan pemandangan indah secara berkumpulan bersama penunggang-penunggang lain. Acara bersiri ini telah pun dilangsungkan di lebih 20 buah negara termasuk Perancis, China, Thailand, Mexico, Brazil, Australia dan Malaysia kini akan menjadi destinasi terbaharunya.

L’Étape Malaysia adalah anjuran bersama MUSE Group Asia dan Sports Johor Sdn. Bhd. dengan rakan-rakan kongsi lain seperti Malaysia Airlines, Desaru Coast, aminoVITAL, Chek Hup, Majlis Sukan Negeri Johor, dan Buletin FM. Ia pastinya menjadi acara ikonik buat para pencinta acara berbasikal kerana mereka akan dicabar untuk berkayuh seperti seorang pelumba profesional menerusi dua pilihan jarak laluan berlainan iaitu 140km dan 60km. Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan bagi kedua-dua jarak berkenaan: Lelaki Individu, Wanita Individu, Lelaki Berpasukan (6 sepasukan), Wanita Berpasukan (6 sepasukan) dan and Pasukan Campuran (6 sepasukan dengan sekurang-kurangnya 1 ahli wanita).

“Sebagai tuan rumah bagi L’Étape Malaysia, kami berharap ianya dapat memartabatkan sektor pelancongan di Johor bagi mencapai reputasi premium yang sepatutnya; iaitu untuk meletakkan serta mengukuhkannya di peringkat global. Acara seperti ini membantu memperkenalkan Johor kepada pelawat tempatan dan antarabangsa. Kami berharap peserta L’Étape Malaysia bukan sahaja datang ke sini untuk berbasikal tetapi juga merasai budaya ikonik Johor, tempat menarik dan makanan di sini,” kata Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor.

Beliau menyambung, “secara keseluruhannya, saya berharap L’Étape Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia luar bahawa Johor adalah destinasi bertaraf dunia, sama ada dari segi infrastruktur, acara dan modal insan. Kami berkemampuan menganjurkan lebih banyak acara bertaraf global. Ini adalah sesuatu yang akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan saya pada masa akan datang.”

Kesemua laluan yang telah mendapatkan kelulusan pakar-pakar Tour de France adalah dirancang khusus mengikut kesesuaian kumpulan penunggang baharu mahupun berpengalaman. Acara ini akan dilangsungkan di Pantai Desaru yang serba indah di mana para peserta berkesempatan untuk menikmati pemandangan mengasyikkan sambil menyusuri kedua-dua laluan landai dan berbukit yang mencabar di sepanjang pinggir pantai. Selain landskap semulajadi yang mempesonakan, para penunggang juga akan dapat menikmati cuaca berangin sepanjang tahun di sini. Destinasi peranginan pantai bersepadu ini menampilkan sebilangan rangkaian hotel dan resort terkemuka dunia, dua lapangan golf bertaraf kejohanan, sebuah pusat persidangan serta sebuah taman tema air.

“ASO dan Tour de France berasa bangga untuk menjejakkan kaki ke Malaysia untuk kali pertama bagi penganjuran acara L’Étape Malaysia oleh Tour de France. Kami berbesar hati untuk memberi peluang kepada para penunggang basikal tempatan untuk menikmati sendiri pengalaman berlumba dalam Tour de France di laluan Pantai Desaru yang serba indah. Layanan mesra Malaysia yang terkenal di mata dunia sememang boleh diterap bersama nilai-nilai Tour de France, dan kami yakin semua peserta amatur L’Étape Malaysia oleh Tour de France pasti akan turut merasai semangat dan pengalaman yang sama sebagaimana yang dilalui penunggang profesional ketika beraksi di pentas Tour de France,” kata Clément Galzy daripada Amaury Sport Organisation (ASO).

“Kami begitu teruja untuk membawa acara ini ke Malaysia. Malaysia sememangnya memiliki cukup ramai penunggang basikal berpengalaman dan amatur kerana sambutan yang kami perolehi adalah amat memberangsangkan. Setakat ini, sebanyak 75% kapasiti sudah pun terjual dan kami mensasarkan penyertaan 4,000 pelumba bagi edisi sulung L’Étape Malaysia ini. Ini menunjukkan betapa sukan berbasikal semakin mendapat tempat di hati orang ramai di Malaysia dan benua Asia secara keseluruhan. Kami sedia mengalu-alukan mereka ke Pantai Desaru yang indah ini untuk mengambil bahagian dalam L’Étape Malaysia yang pastinya meninggalkan seribu satu kenangan untuk semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni.

Pengurus Besar Sports Johor Hj Mohd Johari Bin Tarmidi, juga berkongsi sentimen sedemikian dan berasa terdorong dengan sokongan padu daripada komuniti berbasikal Malaysia. “Kami bangga dapat menganjurkan acara ini di Johor bersama rakan kongsi MUSE Group Asia. Selama ini, memang menjadi visi kami untuk mewujud dan membangunkan komuniti kesukanan di Johor dan Malaysia. Justeru, kami tidak dapat memikirkan ada cara lebih baik lebih baik lagi daripada membawa acara berprestij seperti L’Étape ke Malaysia untuk untuk menarik penyertaan komuniti penunggang basikal dari seluruh tanah air,” katanya.

Para peserta tidak perlu bimbang mengenai aspek keselamatan kerana L’Étape Malaysia adalah acara yang telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia. Keselamatan semua peserta adalah menjadi keutamaan penganjur dengan semua jalan laluan perlumbaan akan ditutup sepenuhnya pada hari acara berlangsung. Stesen makanan dan minuman akan ditempatkan di lokasi bersesuaian selain bantuan-bantuan lain seperti sokongan mekanikal dan perubatan kecemasan juga disediakan.

Dalam usaha untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, para peserta akan diminta mengikuti Prosedur Operasi Standard seperti berikut:
· Semua peserta digalakkan untuk menjalani ujian saringan kendiri sebelum berangkat ke venue acara dan kepada mereka yang didapati positif dalam tempoh 48 jam sebelum hari acara tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian.
· Pelitup muka perlu dipakai pada setiap masa, termasuk ketika menunggu perlumbaan bermula. Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah dikecualikan sewaktu perlumbaan.
· Untuk mengekalkan jarak sosial, semua peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut kelajuan purata kayuhan mereka dengan jurang 15 minit di antara setiap kumpulan.

Jumlah pendaftaran untuk L’Étape Malaysia telah pun mencecah 3,100 setakat ini dan angka itu dijangka akan terus bertambah. Dengan slot penyertaan yang terhad, jangan lepaskan peluang untuk mendaftar www.letapemalaysia.com. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 4 Mei 2022.

Kesemua peserta L’Étape Malaysia akan menerima sehelai jersi perlumbaan rasmi L’Étape Malaysia yang dibuat oleh jenama terkemuka Triathlon Switzerland, ZOOT, selaku rakan pakaian rasmi acara ini. Kepada para pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh masa yang ditetapkan, mereka akan menerima pingat perlumbaan, beg tali cerut dan e-sijil. Hadiah Utama berupa pakej penerbangan dan penginapan empat malam untuk menyertai L’Étape du Tour, Tour De France pada Julai 2022 juga menjadi rebutan buat mereka berlumba dalam kategori Lelaki Individu dan Wanita Individu. Ia semestinya tawaran sekali dalam seumur hidup!

Antara syarikat dan jenama yang tampil menjayakan L’Étape Malaysia termasuklah Desaru Coast sebagai tempat rasmi; Malaysia Airlines sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi; Penaja Utama Chek Hup dan Majlis Sukan Negeri Johor,; aminoVITAL sebagai Pemakanan Sukan Rasmi; dan BuletinFM sebagai Radio Rasmi. Rakan Kongsi Sokongan termasuk; Garmin sebagai peranti basikal rasmi, Oakley sebagai kacamata rasmi, Hap Seng Star Mercedes-Benz Malaysia sebagai kereta rasmi, Tissot sebagai Jam Tangan Rasmi, ZOOT sebagai Pakaian Rasmi, Drink OPI sebagai Minuman Protein Rasmi, YAS Microinsurance sebagai pembekal insurans rasmi, Iskandar Investment, Cycology, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kebajikan (MAKSAK), ChampionChip, Orange Room, FACTOR, Plan A, The Westin; bersama Rakan Media TIKTOK, TheVibes.com, Cycling Malaysia; serta Rakan Strategik Kedutaan Perancis Malaysia dan CCI France Malaysia.

Untuk keterangan lanjut berkenaan laluan perlumbaan, idea penginapan dan lain-lain Soalan Lazim, sila layari

www.letapemalaysia.com / www.facebook.com/letapemalaysia / www.instagram.com/letapemalaysia / www.tiktok.com/@letapemalaysia

Check Also

SHOKZ Lancar Fon Kepala OPENRUN PRO2 dengan Teknologi DualPitch™

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, Malaysia, 23 September 2024 – Jenama elektronik pengguna terkemuka …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!