
Tanjong Malim, 30 April 2026 — Program Clean Nation Fun Run yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelajar dan kaki tangan menjadi acara tumpuan sempena Majlis Perasmian Penutupan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026, hari ini.
Menurut Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, acara larian santai sejauh 5KM itu dianjurkan bagi memupuk gaya hidup sihat, menggalakkan kecergasan fizikal serta menyemai kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dan keselamatan dalam kalangan warga universiti.
Beliau berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan bahawa kecemerlangan sesebuah institusi bermula dengan disiplin fizikal dan persekitaran yang bersih.
Beliau berkata demikian pada majlis berkenaan yang berlangsung di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, di sini.
Menurut beliau, program seperti Clean Nation Fun Run ini selari dengan aspirasi universiti untuk membudayakan keselamatan dan mengungguli kesihatan dalam kalangan warga kampus.

“Kecemerlangan akademik dan tadbir urus tidak akan tercapai tanpa tubuh badan yang sihat serta minda yang cerdas. Program seperti Clean Nation Fun Run membuktikan bahawa kecemerlangan bermula dengan disiplin fizikal dan persekitaran yang bersih.
Beliau berkata tema penganjuran tahun ini, ‘Membudayakan Keselamatan, Mengungguli Kesihatan’, amat bertepatan dengan usaha universiti memastikan kesejahteraan seluruh warga kampus.
Menurut beliau, budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diterapkan secara berterusan dan tidak terhenti selepas berakhirnya minggu sambutan berkenaan.
“Janganlah semangat OSH ini padam sebaik sahaja tirai program dilabuhkan. Jadikan amalan keselamatan, kesihatan dan integriti sebagai darah daging kita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UPSI, Profesor Dr. Haniza Hanim Mohd Zain berkata, penganjuran OSH Week menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan amalan kerja selamat dan sihat.
Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai aspek keselamatan di tempat kerja, malah menggalakkan penglibatan aktif warga kampus menerusi pelbagai aktiviti interaktif, ceramah, pameran dan program riadah.

“Melalui OSH Week, kita mahu membentuk budaya kerja yang lebih proaktif terhadap keselamatan serta memastikan setiap warga UPSI memahami bahawa pencegahan risiko adalah tanggungjawab bersama demi mewujudkan persekitaran kampus yang kondusif dan sejahtera,” katanya.
Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI 2026 berlangsung selama empat hari bermula 27 April lalu dengan pelbagai pengisian antaranya Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pertandingan Poster Integriti, Pertandingan TikTok dan Kempen Keselamatan Jalan Raya.
Artikel sumbangan: Bazli Razak
