
Kuala Lumpur, 30 Jun 2026 – Olahraga Malaysia, badan induk kebangsaan bagi olahraga, hari ini mengumumkan bahawa Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) akan menjadi acara pra-pemilihan rasmi bagi kategori maraton untuk Sukan SEA 2027.
Pengumuman ini disampaikan oleh Timbalan Presiden Olahraga Malaysia, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, pada majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama Dirigo Events, pemegang hak dan penganjur KLSCM.

Majlis tersebut berlangsung di Wisma OCM dengan perjanjian ditandatangani oleh Dato’ Wan Hisham dan Rainer Biemans, Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM. Turut hadir sebagai saksi ialah Fong Wan Hor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia, serta Zaim Yusof, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara.
Olahraga Malaysia kini mengambil pendekatan lebih proaktif berorientasikan atlet dalam persiapan pasukan kebangsaan, bagi memberikan kejelasan dan masa persediaan yang lebih baik kepada atlet Malaysia, dengan matlamat meningkatkan peluang membawa pulang pingat pada Sukan SEA 2027.
“Malaysia memiliki bakat maraton yang boleh digilap lagi dan kami sedang meneroka laluan pembangunan yang lebih terancang untuk membawa mereka ke tahap seterusnya. Kami juga berharap dapat mencungkil bakat baharu yang berpotensi sepanjang proses ini,” ujar Dato’ Wan Hisham.
“Kami di Olahraga Malaysia komited untuk meningkatkan kehadiran atlet maraton Malaysia di pentas antarabangsa. Kami menghargai usaha, ketabahan dan semangat mereka dalam mengejar kecemerlangan setakat ini, dan berharap dapat menyokong mereka dengan latihan sepanjang tahun yang lebih tersusun, mengambil kira pembangunan serta prestasi mereka,” tambah beliau.

Melalui kerjasama ini, proses pemilihan atlet ke temasya dwitahunan tersebut akan menjadi lebih telus dan berstruktur. Susulan pengumuman ini, lima (5) pelari lelaki dan lima (5) pelari wanita terbaik yang berjaya melepasi penanda aras kelayakan yang ditetapkan—iaitu 2:45:00 bagi kategori lelaki dan 3:15:00 bagi kategori wanita—akan disenaraikan secara automatik ke dalam ‘Long List’ (Skuad Provisional) kebangsaan.
KLSCM merupakan satu-satunya acara larian jalan raya di Malaysia yang diiktiraf dengan World Athletics Elite Label, dengan edisi 2026 dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Oktober 2026. Ia adalah acara bertaraf antarabangsa yang menarik penyertaan dari seluruh Malaysia dan lebih 70 negara, termasuk pelari Sukan SEA dari negara jiran.

“Kami amat berbesar hati kerana KLSCM dipilih sebagai acara pra-pemilihan rasmi – ini adalah pencapaian penting dalam sejarah olahraga Malaysia dan sejajar dengan misi serta objektif organisasi kami. Dirigo Events sentiasa komited dalam mempertingkatkan mutu larian jarak jauh di Malaysia dan menyediakan acara bertaraf dunia untuk pelari tempatan menyerlah,” kata Biemans.
“Kami teruja dapat bekerjasama rapat dengan Olahraga Malaysia untuk membantu negara berdiri megah sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027. Ini merupakan langkah pertama dalam kerjasama jangka panjang untuk membangunkan serta memastikan kelestarian sukan ini bagi atlet dan industri,” jelas beliau.

Memorandum persefahaman antara Olahraga Malaysia dan Dirigo Events merangkumi langkah kerjasama termasuk menyediakan program pembangunan atlet yang lebih terstruktur, pendedahan perlumbaan di peringkat serantau dan antarabangsa, akses kepada kemudahan serta perkhidmatan sains sukan di bawah Institut Sukan Negara, serta program kolaborasi dalam bidang kejurulatihan. Kedua-dua pihak akan bertemu semula bagi memperincikan butiran perjanjian ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi KLSCM di www.kl-marathon.com atau ikuti saluran media sosial:
- Facebook – www.facebook.com/SCKLmarathon
- Instagram – www.instagram.com/SCKLmarathon
- TikTok – www.tiktok.com/@klscmarathon
