Mengembara, sama ada untuk tujuan bercuti atau bertugas tidak semestinya bermakna anda harus mengorbankan rutin kecergasan anda. Dengan perancangan dan fleksibiliti, anda boleh mengekalkan momentum latihan anda, walaupun ketika berada jauh beribu batu dari rumah.
Buat Perancangan Awal
Sebelum anda berangkat, semak jadual perjalanan anda dan kenal pasti hari-hari yang berpotensi untuk berlari. Pertimbangkan destinasi dan aktiviti anda untuk menentukan masa terbaik untuk bersenam. Jangan lupa untuk rancang hari rehat (recovery) dan kurangkan jarak larian dan jarak larian panjang untuk merehatkan badan dan minda anda. Anda juga boleh memanfaatkan persekitaran baru anda dengan latihan silang (cross training) seperti berenang, berkayak, atau kelas kecergasan untuk melengkapkan senaman anda.
Libatkan Rakan Perjalanan Anda
Bincangkan matlamat senaman anda dengan rakan perjalanan. Jika mereka mempunyai minat yang sama dalam larian, pertimbangkan untuk berlari bersama. Jika tidak, mungkin anda boleh melakukan aktiviti senaman yang lain secara berkumpulan.
Manfaatkan Destinasi Anda
Layari internet bagi mendapatkan acara perlumbaan yang bakal dilangsungkan di destinasi anda. Ia adalah cara yang baik untuk memasukkan latihan berkualiti ke dalam percutian anda. Gunakan peta untuk meneroka destinasi berhampiran tempat penginapan. Anda mungkin dapat menyaksikan lebih banyak tarikan di sepanjang laluan arian anda. Pastikan hotel anda mempunyai kemudahan gim jika anda tidak dapat bersenam diluar disebabkan oleh faktor cuaca, keselamatan atau masa.
Bawa Barangan Keperluan untuk Berlari
Pastikan anda mempunyai semua keperluan larian anda, termasuk kasut, pakaian, botol air, dan pemakanan yang bersesuaian.
Berikan Kelonggaran Kepada Jadual Anda
Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun dengan perancangan yang terperinci, tidak semua yang dirancang akan berjalan mengikut kehendak kita. Jangan stres jika anda terlepas satu atau dua sesi latihan. Walaupun anda tidak berlari setiap hari, anda mungkin masih lebih aktif daripada di rumah.
Dengan mengikuti panduan ini, anda boleh kekal komited kepada matlamat latihan anda sambil menikmati perjalanan anda. Ingat, kuncinya adalah untuk mengamalkan sikap fleksibel, pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran, dan mengutamakan kesejahteraan diri anda.
#jomkitalari