Home / Artikel Menarik / 10 Tips untuk Berlari di dalam Hujan

10 Tips untuk Berlari di dalam Hujan

Malaysia adalah sebuah negara Tropika yang dirahmati hujan sepanjang tahun. Walaupun ia agak kurang selesa untuk berlari di dalam keadaan hujan, anda boleh gunakan masa latihan tersebut untuk meningkatkan ketahanan mental dan fizikal.

Jom kita cuba tips berlari dalam hujan yang kami kongsikan, sama ada untuk sesi latihan atau di hari perlumbaan.

1. Pakai topi
Gunakan topi untuk melindungi muka, terutamanya mata daripada titisan air hujan. Ini seterusnya mengelakkan pandangan anda terjejas walaupun dalam keadaan hujan lebat.

2. Guna pakaian yang sesuai
Dalam keadaan cuaca yang sejuk dan hujan, anda mungkin harus memakai dua lapis pakaian. Pakailah jaket lari yang tahan air (water-resistant) dan tahan angin di luar. Elakkan memakai baju hujan plastik yang 100% kalis air (water-proof) kerana ia akan memerangkap haba dan kelembapan di dalam. Untuk lapisan dalam, gunakan baju lari anda yang biasa, yang diperbuat daripada bahan Dri-fit dan seumpamanya.

3. Biar orang nampak
Utamakan keselamatan. Gunakan pakaian yang berwarna terang dan mempunyai strip pemantul cahaya keselamatan. Pakai blinker dan lampu kepala (headlamp) untuk larian malam. Hujan boleh menjejaskan pandangan pemandu dan mereka mungkin tidak menyangka akan adanya pelari di jalan raya ketika hujan.

4. Elakkan kulit melecet
Keadaan yang lembap akan meningkatkan risiko kulit melecet. Sapukan pelincir seperti BodyGlide atau Vaseline di bahagian badan yang cenderung untuk melecet seperti celah jari kaki, bahagian dalam peha, ketiak, bahagian pinggir bra (wanita), dan bahagian puting (lelaki).

5. Lindungi peranti elektronik
Simpan gajet seperti telefon bimbit dan pemain mp3 dalam beg zip-lock atau beg kalis air.

6. Berhenti berlari jika ribut petir
Walaupun berlari di dalam hujan adalah agak selamat, tetapi kehadiran ribut petir boleh membawa maut. Patuhi arahan daripada pihak penganjur. Cari perlindungan jika berlaku ribut petir semasa larian.

7. Berhati-hati ketika memijak
Beri perhatian yang sepenuhnya pada laluan larian. Anda harus berjaga-jaga kerana hujan akan menyebabkan jalan menjadi licin dan berlopak. Awasi kehadiran akar, ranting dan batu yang boleh menyebabkan anda terjatuh atau tersadung.

8. Tukar kepada pakaian kering serta-merta
Bawa satu persalinan pakaian dan tukaran pakaian anda sebaik sahaja menamatkan perlumbaan untuk mengelakkan hypothermia, penurunan suhu badan secara mendadak. Jika anda menyimpan pakaian anda di kaunter bagasi, pastikan anda masukkannya di dalam beg plastik yang kalis air.

9. Bawa stokin tambahan
Jika anda menggunakan beg larian (running pouch), bawa sepasang stokin tambahan yang dimasukkan ke dalam beg plastik. Tip ini sangat berguna bagi mencegah kulit melecet untuk larian jauh apabila hujan turun di permulaan tetapi berhenti di pertengahan larian.

10. Keringkan kasut anda
Selepas berlari di dalam hujan, tanggalkan kasut anda, keluarkan pelapik stokin (sockliner) dan sumbatkan dengan suratkhabar lama. Ini dapat membantu untuk mengekalkan bentuk asal kasut dan menyerap lembapan dari dalam kasut. Biarkan kasut kering dengan sendiri tanpa menggunakan alat pengering yang boleh merosakkan kasut.

Check Also

Rekod Baru Malaysia Larian 24 jam di atas Treadmill dicipta!

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, 30 September 2018 – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.