Barisan pemenang kategori lelaki Kejohanan Asia & Oceania dirakam bersama (dari kiri) Michael Reichetzeder (Mischa), Pengarah Sukan Persatuan Larian Menara Dunia; Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB; Mark Bourne dari Australia (tempat kedua); Soh Wai Ching dari Malaysia (juara); Lo Ching Chun dari Taiwan (tempat ketiga); Yang Mulia Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures; dan Jeffrey Ross, Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan The Sky Race™.
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2025 – Sempena sambutan Hari Merdeka, Malaysia telah melakar sejarah dengan menjadi tuan rumah Kejohanan Towerrunning Asia & Oceania 2025 edisi ke-3 – The Sky Race™ di Merdeka 118. Acara berprestij ini bukan sahaja menjadi platform untuk menguji ketahanan fizikal, tetapi juga menjadi saksi kepada pencapaian luar biasa atlet Malaysia, Soh Wai Ching, serta penciptaan dua rekod kebangsaan.
Pelepasan edisi pertama The Sky Race™ bagi kategori Elit Lelaki dan Wanita telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, disaksikan oleh barisan VIP iaitu Puan Liza Karim, Ketua Komunikasi PNB Merdeka Ventures; Encik Nursulhi bin Jasmin, Pengurus Acara Sukan Antarabangsa, Bahagian Perkongsian Strategik, Malaysia Convention & Exhibition Bureau; Profesor Dato’ Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon, Pengarah Sukan dan Kecergasan Kardiovaskular & Pakar Perunding Kanan Bedah Torasik, Institut Jantung Negara; Yang Mulia Dato’ Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures; Encik Shahril Anuar Ismail, Pengurus Besar Fresh Events Asia; Mr. Ravinder Singh, Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia; Encik Mazuki Abdullah, Ketua Bersama Hartanah, Permodalan Nasional Berhad; Encik Mohd. Amirul Rizal bin Abdul Rahim, Ketua Sekretariat VM2026; YB Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Petaling Jaya; dan Encik Abdul Razak Bin Abdul Rashid, Pegawai Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan.
Lebih 5,800 peserta dari 70 negara telah menyahut cabaran untuk menawan 2,845 anak tangga hingga ke Aras 118 bangunan kedua tertinggi di dunia itu. Larian yang bermula di kawasan bersejarah Stadium Merdeka, tempat Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, telah menarik perhatian global dan meletakkan Malaysia sebaris dengan acara larian menara terkemuka dunia.
Yang Mulia Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, menerima sijil Malaysia Book of Records bagi acara Larian Menara Tertinggi pada ketinggian 503 meter.
Encik Jeffrey Ross (ketiga dari kiri), Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan The Sky Race™, bersama Encik Shahril Anuar Ismail (paling kanan), Pengurus Besar Fresh Events Asia, menerima sijil Malaysia Book of Records bagi kategori Peserta Paling Ramai Menamatkan Larian Menara/Acara.
Pengiktirafan Malaysia Book of Records
The Sky Race™ di Merdeka 118 telah mencatatkan pencapaian dua rekod berganda dalam Malaysia Book of Records:
Larian Menara Tertinggi pada ketinggian 503 meter.
Peserta Paling Ramai Menamatkan Larian Menara/Acara dengan 5,700 peserta.
Soh Wai Ching dari Malaysia berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori lelaki Kejohanan Asia & Oceania dengan catatan masa mengagumkan 15:37.
Soh Wai Ching Dinobatkan Sebagai Juara Asia & Oceania
Kemuncak acara ini ialah kemenangan gemilang jaguh larian menara Malaysia, Soh Wai Ching, yang dinobatkan sebagai juara Kejohanan Towerrunning Asia & Oceania kategori lelaki. Beliau menamatkan larian dengan catatan masa 15:37, menewaskan pelari dari Australia, Mark Bourne (15:56), dan Lo Ching Chun dari Taiwan (16:46).
Kemenangan ini membawa makna yang sangat istimewa bagi Soh Wai Ching. Beliau berkata, “Memenangi The Sky Race™ di Merdeka 118 pada hujung minggu Hari Kebangsaan melambangkan kemunculan Malaysia sebagai destinasi kelas dunia untuk larian menara. Berdiri di Aras 118, saya dapat merasakan kebanggaan luar biasa terhadap apa yang telah kita capai bersama, iaitu mengangkat kedudukan Malaysia dalam komuniti larian menara antarabangsa, sambil meraikan warisan serta semangat kebangsaan kita.”
Barisan pemenang kategori wanita Kejohanan Asia & Oceania dirakam bersama (dari kiri) Michael Reichetzeder (Mischa), Pengarah Sukan Persatuan Larian Menara Dunia; Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB; Le Qinghua dari Republik Rakyat China (tempat kedua); Yuko Tateishi dari Jepun (juara); Chao Jui Chuan dari Taiwan (tempat ketiga); Yang Mulia Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures; dan Jeffrey Ross, Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan The Sky Race™.
Bagi kategori wanita, Yuko Tateishi dari Jepun mempamerkan dominasi dengan catatan masa 19:59, diikuti Le Qinghua dari China (20:20) dan Chao Jui Chuan dari Taiwan (21:32).
Acara yang dianjurkan oleh Fresh Events Asia dan disokong oleh PNB Merdeka Ventures ini turut menarik penyertaan pelbagai kategori, termasuk Terbuka, Junior Veteran, dan kategori pasukan. Kehadiran 74% peserta kali pertama menunjukkan daya tarikan acara ini yang luas.
Para pelari meraikan kemenangan mereka di puncak Merdeka 118 selepas menakluki The Sky Race™, dengan bangganya memperagakan pingat kemenangan dan Jalur Gemilang di Aras 118.
Kejayaan The Sky Race™ di Merdeka 118 bukan sahaja membuktikan potensi Malaysia sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan reputasi negara di persada global.